More

    Ulasan ZTE Blade V40 Vita – Telefon bajet dengan rekaan menarik

    ZTE Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan ZTE Blade V40 Vita pada bulan Mei lalu dan ia menawarkan beberapa spesifikasi ringkas untuk telefon kategori ini seperti bateri besar 6,000mAh, skrin berukuran 6.75 inci dan tiga kamera belakang. Buat mereka yang sekadar inginkan telefon murah untuk kegunaan asas, peranti ini nampak seperti pilihan yang sangat menarik.

    Dengan harga RM599, telefon ini menghadapi banyak saingan dalam pasaran oleh telefon jenama lain, jadi adakah ia layak menjadi telefon anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Sangat unik untuk telefon kelas permulaan

    Untuk sebuah telefon yang dijual pada harga RM599, ZTE Blade V40 Vita mempunyai rekaan yang sangat unik dan ia mungkin adalah tarikan utama untuk peranti ini. Ia mempunyai tekstur bergaris yang boleh dirasa pada jari dan corak jalur ‘sinaran’ yang berpusat pada bonggol kamera.

    Bahagian belakangnya dibuat daripada plastik dan mempunyai permukaan pusam (matte) jadi ia tidak akan meninggalkan kesan cap jari. Sebaris logo “ZTE Blade” juga jelas terpapar pada telefon ini.

    Ia mempunyai rangka sisi melengkung (curved) yang turut dibuat daripada plastik. Bahagian sisi kanan menempatkan pengimbas cap jari yang turut berfungsi sebagai butang kuasa dan butang kawalan audio, manakala sisi kiri pula menempatkan dulang dwi-kad SIM serta kad memori microSD.

    Bahagian sisi bawah pula menempatkan bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara. Secara keseluruhan, V40 Vita mempunyai luaran yang lengkap untuk telefon kelas permulaan.

    Spesifikasi – Skrin besar!

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk ZTE Blade V40 Vita:

    • Skrin 6.75 inci, resolusi 1600×720, kadar segar semula 90Hz
    • Cipset Unisoc T606
    • RAM 4GB, boleh dibesarkan dengan RAM Fusion sebanyak 2GB lagi
    • Storan 128GB, boleh dibesarkan dengan microSD
    • Kamera utama 48MP+ kamera makro 2MP+sensor kedalaman 2MP, kamera swafoto 8MP
    • Bateri 6,000mAh
    • Pengecasan pantas 22.5W
    • Sistem operasi Android 11, akan terima kemas kini selama dua tahun
    • Pengimbas cap jari di bahagian sisi, bicu audio 3.5mm, port USB-C
    • Pembesar suara tunggal
    • Pilihan warna Zeus Black & Pine Green

    Pastinya perkara yang paling menarik dalam senarai ini adalah saiz skrin yang agak besar iaitu 6.75 inci, jadi anda boleh tonton video atau bermain game dengan lebih puas. Malah dengan kadar segar semula 90Hz, semua animasi dan gerakan pada skrin akan nampak lebih lancar berbanding telefon kelas permulaan lain.

    "
    "

    Sungguh pun begitu, ia mempunyai resolusi HD+ sahaja (1600×720) dan ini bermaksud petak piksel boleh dilihat dengan jelas pada skrin. Selain itu, skrin ini mempunyai panel IPS LCD yang masih boleh menghasilkan warna yang memuaskan, namun tidak secantik panel OLED. Kecerahannya yang agak rendah juga sukar untuk digunakan di bawah cahaya matahari terik.

    Sewaktu menonton video pula, audio yang dihasilkan daripada pembesar suara tunggal dalam telefon ini agak memuaskan, namun ia tidak kuat.

    (Kiri) Ringkasan spesifikasi V40 Vita, (tengah) fungsi RAM tambahan maya, (kanan) pilihan kadar segar semula 60Hz, 90Hz atau automatik

    Selain daripada itu, V40 Vita mempunyai spesifikasi yang agak standard untuk telefon yang dijual pada harga ini, seperti RAM 4GB dan storan dalaman 128GB. Baterinya sangat besar iaitu dengan kapasiti 6,000mAh yang pasti boleh bertahan selama sehari dengan baik. Ia turut menyokong kadar pengecasan 22.5W dan pengecas turut disertakan dalam kotak.

    Satu keburukan telefon ini adalah ia masih mempunyai sistem operasi Android 11, walaupun untuk sebuah telefon yang dilancar pada 2022. Buat mereka yang sekadar ingin menggunakan telefon ini untuk kegunaan asas, ini mungkin bukan satu isu yang besar namun anda tidak dapat menggunakan fungsi Android 12.

    Sungguh pun demikian, anda pasti akan dapat kemas kini untuk Android 12 kerana ZTE menjanjikan kemas kini utama selama dua tahun untuk telefon ini. Sewaktu ulasan ini ditulis, telefon ini masih mempunyai Android 11. Ia mempunyai antara muka (UI) MyOS 11 yang sangat mirip dengan Android asal (stock) dan tidak mempunyai banyak perisian remeh (bloatware) untuk penggunaan yang lebih ringkas dan mudah.

    (Kiri) Home Screen, (kanan) App Drawer
    Fungsi-fungsi kamera dalam Vita V40

    Untuk kamera pula, satu keburukan telefon ini adalah ketiadaan kamera ultra-lebar, jadi anda tidak boleh dapatkan gambar dengan sudut yang luas seperti dalam telefon lain. Selain daripada itu, ia masih menawarkan fungsi-fungsi standard seperti mod potret, mod malam, mod pro, mod makro dan banyak lagi. Ia boleh merakam video pada resolusi 1080p sahaja, sesuatu yang boleh dijangkakan untuk telefon ini.

    Prestasi – OK untuk kegunaan harian sahaja

    Berikut adalah markah penanda aras untuk ZTE Blade V40 Vita:

    (Kiri) Ujian penanda aras 3D Mark dan (kanan) Geekbench

    Seperti yang anda boleh jangkakan, ia tidak mencatatkan markah yang tinggi. Namun ini tidak semestinya bermakna telefon ini tidak bagus kerana ia masih boleh berfungsi dengan baik untuk kegunaan umum seperti menonton video, melayari laman web dan media sosial, menaip nota, bermesej dan lain-lain.

    Selain itu, ia boleh menangani beberapa aplikasi serentak dengan baik dan anda boleh bertukar-tukar aplikasi yang dipaparkan dengan cepat. Ini adalah sebuah ciri yang bagus untuk mereka yang gemar multi-tasking.

    Untuk tugasan yang lebih berat seperti gaming, anda boleh lakukannya dengan tetapan grafik rendah. Saya telah memainkan tiga game kegemaran saya iaitu Asphalt 9, COD Mobile dan PUBG Mobile dan ketiga-tiga game boleh dimainkan dengan selesa, namun saya terpaksa mengorbankan kualiti grafik bagi mendapatkan kadar bingkai yang sekata. Permukaan belakang telefon pula tidak menjadi terlalu panas sewaktu bermain game.

    Pengimbas cap jari di bahagian sisi berfungsi dengan pantas, walaupun dengan ibu jari yang basah. Anda juga boleh membuka kunci skrin dengan pengimbasan muka dan ia turut berfungsi dengan baik, selagi anda berada di bawah cahaya terang.

    Untuk hayat bateri pula, Vita V40 boleh bertahan dengan sangat cemerlang kerana ia boleh bertahan selama sehari dengan selesa. Jika digunakan secara cermat, ia juga boleh bertahan sehingga dua hari. Sungguh pun begitu, pengecasannya agak perlahan kerana ia mengambil masa lebih dua jam untuk mengecas penuh bateri ini daripada kosong.

    Bateri penuh boleh menyediakan masa skrin hidup (screen on time) sekitar 12 jam 16 minit (9:20 pagi ke 9:36 malam)
    Pengecasan daripada 1% ke 99% mengambil masa 2 jam 12 minit (10:14 pagi ke 12:26 tengah hari)

    Beralih kepada prestasi fotografi pula, kualiti gambar yang dihasilkan tidak begitu konsisten termasuklah dalam suasana terang. Walaupun pada kebanyakan masa ia boleh menghasilkan gambar yang memuaskan, ia sering menghasilkan gambar yang terlalu cerah (overexposed). Untuk waktu malap pula, gambar yang dihasilkan masih mempunyai noise walaupun dengan mod Night Pro.

    Rakaman videonya pula hampir sama dengan kualiti gambar dan ia tidak mempunyai sebarang penstabilan. Saya berpendapat kamera Vita V40 boleh digunakan untuk kegunaan umum seperti mengambil gambar ringkas atau mengimbas kod QR, tetapi jangan bergantung padanya jika anda inginkan gambar cantik yang sesuai untuk dimuat naik ke media sosial.

    Kesimpulan – Sesuai untuk mereka yang inginkan telefon dengan rekaan unik

    ZTE Blade V40 Vita menyediakan fungsi lengkap untuk mereka yang inginkan sebuah telefon untuk kegunaan asas, namun ia masih mempunyai sebuah rekaan yang menonjol dan skrin agak besar untuk telefon kelas permulaan. Jadi jika anda inginkan sebuah telefon cantik tetapi dengan fungsi asas sahaja, V40 Vita adalah pilihan yang sesuai.

    Sungguh pun begitu, dengan harga yang lebih tinggi sedikit, anda boleh dapatkan telefon jenama lain yang mempunyai skrin Full HD+ untuk resolusi yang lebih tajam dan kamera ultra-lebar. Contoh alternatif seperti ini adalah Redmi 10 (RM649), realme Narzo 50A Prime (RM679) dan POCO M3 Pro 5G (RM699).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Acer perkenal 3 tablet Iconia Duo di Computex 2026 — Skrin OLED 14.2”, bateri...

    Acer mengumumkan tiga tablet baharu dalam siri Iconia Duo berasaskan Android di Computex 2026 yang menyasarkan pengguna profesional yang memerlukan peranti mudah...

    HUAWEI nova 15 Max dilancar di Malaysia dengan bateri 8,500mAh berharga RM1,699

    HUAWEI Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan nova 15 Max yang memfokuskan kepada ketahanan bateri, paparan besar dan ciri ketahanan tambahan untuk kegunaan...

    OPPO dan vivo dilapor bangunkan kamera vlog sendiri, bakal cabar dominasi DJI

    Pasaran kamera vlog mudah alih yang didominasi oleh DJI mungkin bakal menjadi lebih sengit apabila dua pengeluar telefon pintar China, OPPO dan...

    Siri realme P4 rasmi di Malaysia: P4 Power 5G tampil dengan bateri 10,001mAh pertama...

    realme telah melancarkan siri P4 di Malaysia yang terdiri daripada tiga model iaitu realme P4 Power 5G, realme P4x dan realme P4...

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...