Pada hari ini, vivo telah melancarkan tabletnya yang terbaru untuk pasaran China iaitu vivo Pad Air. Ia akan dijual pada harga bermula CNY1,799 (~RM1,150) dan mempunyai reka bentuk yang lebih nipis berbanding kebanyakan tablet.
vivo Pad Air mempunyai skrin LCD berukuran 11.5 inci dengan resolusi 2.8K, kadar segar semula 144Hz, gamut warna P3 untuk menghasilkan 1.07 bilion warna dan kecerahan sehingga 500 nits. Skrin ini mempunyai pelarasan suhu warna secara automatik dan pengiktirafan TUV Rheinland untuk pancaran cahaya biru yang tidak menyakitkan mata.

Untuk spesifikasi dalaman, vivo Pad Air dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 870, iaitu cipset kelas pertengahan yang dilancar pada Januari 2021. Walaupun ini adalah cipset yang agak lama, ia masih lagi boleh menjana prestasi yang laju pada waktu ini.
Ia mempunyai RAM 12GB yang boleh dibesarkan secara maya sehingga 8GB dan storan dalaman 512GB. Baterinya berkapasiti 8,500mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 44W. Di belakang, ia mempunyai sebuah kamera utama 8MP.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Tiada tablet vivo yang dijual secara rasmi pada waktu ini, termasuklah vivo Pad pertama yang dilancar pada 2022. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MyDrivers







