vivo dijangka mengadakan acara pelancaran besar di China untuk memperkenalkan beberapa peranti baharu termasuk vivo X200 Ultra, X200S, Pad 4 Pro dan Watch 5. Model Ultra ini akan bersaing dengan Xiaomi 15 Ultra, Samsung Galaxy S25 Ultra dan OPPO Find X8 Ultra di pasaran domestik.
Pendedahan terbaru daripada Digital Chat Station memberikan fokus kepada reka bentuk X200 Ultra yang dikatakan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu merah wain, hitam dan putih. Varian putih menampilkan reka bentuk dwi-tona dengan bahagian atas yang kekosongan dan bahagian bawah berjalur yang membentuk corak berbentuk “V”. Selain itu, panel belakangnya menggunakan kaca AG atau gentian kaca dan menggantikan kemasan kulit vegan yang sering digunakan sebelum ini.

Daripada segi spesifikasi, vivo X200 Ultra bakal menampilkan kamera periskop telefoto dengan sensor 200MP yang disokong oleh teknologi prisma canggih. Walaupun menawarkan inovasi kamera, saiz sensor yang besar menyebabkan reka bentuk telefon ini kekal tebal dan berat seperti kebanyakan peranti andalan berfokuskan fotografi. Skrinnya pula dijangka menggunakan paparan 2K mikro-melengkung dengan bezel ultra-nipis untuk meningkatkan keselesaan pegangan.
Sementara itu, MediaTek bakal mengadakan Persidangan Pembangun Dimensity 2025 pada 11 April 2025 yang berkemungkinan besar akan memperkenalkan cipset Dimensity 9400 Plus. Cipset ini dijangka digunakan dalam vivo X200S dan OPPO Find X8S yang mungkin dilancarkan pada bulan yang sama. Walaupun siri vivo X200 adalah telefon pertama yang menggunakan Dimensity 9400 pada Oktober 2024, masih belum jelas sama ada vivo akan menjadi jenama pertama yang melancarkan peranti dengan cip D9400+.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina






