WhatsApp dilaporkan mula menguji ciri baharu View Once untuk mesej teks di iOS. Seperti namanya, ciri ini membolehkan mesej dihantar dan hanya boleh dilihat sekali oleh penerima sebelum ia dipadam secara automatik. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu menekan lama butang hantar (Send) sebelum memilih pilihan “Send as view once”.
Selepas diaktifkan, mesej yang dihantar hanya boleh dibuka sekali sahaja. Sebelum ini, WhatsApp telah menawarkan fungsi View Once untuk foto, video dan mesej suara. Dengan penambahan sokongan mesej teks, ciri tersebut dilihat semakin diperluaskan untuk meliputi lebih banyak bentuk komunikasi dalam aplikasi.

Menurut laporan, fungsi baharu ini akan menyokong sembang individu serta sembang berkumpulan. Namun begitu, ia tidak akan tersedia untuk saluran (Channels). Buat masa ini, ciri tersebut masih berada pada peringkat ujian dalaman dan belum ditawarkan kepada pengguna beta awam.
Menariknya, fungsi ini berbeza dengan ciri mesej luput (expiring messages) yang pernah dilaporkan sebelum ini. Jika mesej luput membolehkan mesej dipadam selepas tempoh masa tertentu, View Once pula akan terus menghilangkan mesej sebaik sahaja ia dibuka sekali oleh penerima.
Sekiranya diperkenalkan secara rasmi, ciri ini berpotensi menjadi pilihan baharu untuk pengguna yang mahu berkongsi maklumat sensitif atau mesej yang tidak perlu disimpan dalam sejarah sembang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo







