Xiaomi telah melancarkan pengecas wayarles terbaru yang mampu mengecas telefon pintar pada kadar 100W. Pengecas tersebut menampilkan rekaan menegak di mana telefon boleh didirikan di atasnya secara menegak atau mendatar.
Pengecas ini mempunyai teknologi pengecasan Qi dengan rekaan dwi gelung (dual coil) dan kipas dalaman yang hanya akan diaktifkan apabila pengecas menjadi terlalu panas. Di dalam kotak, ia turut disertakan dengan pengecas 120W dan kabel USB 6A.
Pengecas ini dengan nombor model MDY-13-EL akan dijual dalam warna emas, manakala varian 80W dengan nombor model MDY-13-ED pula akan dijual dalam warna putih perak. Ia akan mula dijual di China pada 16 Ogos dengan harga CNY599 (~RM392) dan setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.
Setakat ini, telefon Xiaomi dengan pengecasan wayarles terpantas adalah Mi 11 Ultra dengan kadar 67W. Adakah anda berminat untuk memiliki pengecas wayarles ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina









