Xiaomi Malaysia hari ini memperkenalkan gelang tangan pintar baharu iaitu Xiaomi Smart Band 10. Peranti boleh pakai ini mempunyai skrin AMOLED berukuran 1.72 inci dengan kadar segar semula 60Hz, nisbah skrin-ke-badan 73%, kecerahan puncak 1,500 nits dan ketumpatan piksel 326 ppi bagi menghasilkan visual yang jelas dan terang.
Skrin ini boleh diguna walaupun dengan jari yang basah. Rekaan luarannya ditawarkan dalam pilihan warna hitam Midnight Black, perak Glacier Silver dan merah Mystic Rose, manakala muka jamnya pula boleh dipilih antara 200 jenis. Ia juga ditawarkan dalam edisi seramik Pearl White dan 10 aksesori tambahan, termasuklah rantai untuk pergelangan tangan.


Ia menawarkan penjejakan untuk 150 mod senaman, termasuklah enam aktiviti yang boleh dikesan secara automatik dan akan mengukur metrik seperti VO₂ max, kadar degupan jantung, beban latihan (training load) dan tempoh pemulihan. Untuk sukan renang, ia mempunyai rating kalis air 5ATM dan sensor gerakan 9-paksi yang boleh menjejak kiraan pusingan (lap count) yang tepat sehingga 96%.
Anda boleh jejak kadar degupan jantung dalam masa nyata (real-time) dengan pautan melalui Bluetooth (broadcast via Bluetooth) kepada peranti-peranti yang layak. Ia juga menyediakan pengurusan tidur profesional, dengan mengukur kecekapan tidur (sleep efficiency) dan edaran tidur (sleep distribution).

Dengan menganalisa data yang diukur, Smart Band 10 akan sediakan panduan untuk menambah baik kualiti tidur. Dengan kerjasama pelbagai agensi kesihatan antarabangsa, Xiaomi menyediakan program penambahbaikan tidur selama 21 hari bagi bantu anda dapatkan tidur yang lebih lena.
Ia mempunyai bateri 233mAh yang boleh menyediakan penggunaan selama 21 hari, atau sembilan hari jika Always-On Display dihidupkan. Pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar satu jam.
Berikut adalah harga Xiaomi Smart Band 10 untuk pasaran Malaysia:
- Xiaomi Smart Band 10: RM219 (sebelum 31 Julai 2025: RM179)
- Xiaomi Smart Band 10 (Ceramic Edition): RM299 (sebelum 31 Julai 2025: RM249)
Gelang tangan pintar ini boleh dibeli dari kedai-kedai Xiaomi, laman web Xiaomi, Shopee dan Lazada. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







