YTL Communications melalui Yes telah melancarkan 5G Advanced dan ia sudah mula aktif di Lembah Klang serta dijangka siap seluruh negara menjelang Disember 2025. 5G Advanced menawarkan liputan yang lebih luas, sambungan lebih stabil dan prestasi yang disesuaikan untuk era kecerdasan buatan (AI).
Pelancaran rasmi diadakan dalam acara “Yes Presents: The Future First Tech-Talk” di mana Yes mempamerkan beberapa ciri utama 5G Advanced seperti kelajuan muat turun dan muat naik yang lebih tinggi, masa tindak balas sangat rendah dan buat pertama kali di Malaysia, teknologi network slicing.

Teknologi ini membolehkan Yes menyediakan “laluan VIP” dalam rangkaian mereka untuk memastikan sambungan kekal pantas dan stabil tidak kira waktu atau lokasi. 5G Advanced menggunakan gabungan spektrum 700MHz dan 3500MHz bagi meningkatkan kekuatan isyarat di dalam bangunan dan meluaskan liputan di kawasan luar.
Pengguna juga boleh menikmati sambungan suara dan data yang lebih lancar menerusi Voice over New Radio (VoNR). Mulai hari ini, semua pelanggan Yes 5G Postpaid dan Yes Wireless Broadband akan dinaik taraf secara automatik ke 5G Advanced tanpa sebarang caj tambahan. Pengguna hanya perlu memastikan mereka menggunakan peranti yang menyokong 5G.

Yes turut memperkenalkan dua promosi utama iaitu pelan Yes 5G Advanced Broadband Bundle dengan data tanpa had dan router Yes Infinite Gateway MAX pada harga RM68 sebulan dan pelan Yes Infinite+ Advanced Phone Bundles yang menawarkan penjimatan sehingga RM3,999 untuk peranti seperti Samsung Galaxy S25, Nothing Phone (3) dan model lain daripada HONOR, vivo, Xiaomi dan ZTE.
Beberapa pakej turut dilengkapi aksesori percuma, jaminan tambahan dan rebat bil. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Yes. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tawaran ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






