More

    YouTuber Malaysia kongsi cara mereka jana wang dengan menghasilkan video pelancongan

    Pada hari ini, Google Malaysia menganjurkan forum Generasi YouTube: Have YouTube, Will Travel di mana mereka menjemput empat orang pencipta kandungan yang telah menempa nama dengan menghasilkan video-video pelancongan yang tular dalam YouTube. Mereka berkongsi pengalaman dalam menghasilkan video dan berkongsi tips untuk mereka yang berminat menceburi bidang ini.

    Empat orang pencipta kandungan ini ialah Muhammad Amir Arsad daripada saluran Amir Arsad, Muhammad Fikri Mohd Zamri daripada saluran Fikri Zamri, Ivor Lim Xian Z daripada saluran Ivor Xian Z dan Mohamad Khairul Jamain daripada saluran Khairul Jamain.

    Dari kiri; Amir Arsad, Fikri Zamri, Ivor Xian dan Khairul Jamain

    Amir Arsad, 33, merupakan seorang bekas peguam yang telah menerbitkan banyak video tentang pengembaraannya berbasikal jarak jauh di serata dunia. Pada asalnya beliau berbuat demikian sebagai hobi, namun videonya mula mendapat perhatian penonton yang ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung pada 2020.

    Perkembangan ini mendorongnya untuk menghasilkan lebih banyak video tentang pengembaraannya dan kini beliau berjaya menjadikan penciptaan kandungan sebagai kerjaya sepenuh masa. Selain mencipta video, beliau turut memiliki sebuah kafe di Terengganu.

    Seperti Amir, Ivor Xian juga adalah seorang bekas peguam yang mula menghasilkan video pelancongan sebagai hobi dalam media sosial. Sewaktu PKP berlangsung, beliau tidak dapat mencari pekerjaan dengan sebarang firma guaman dan memutuskan untuk belajar kemahiran baharu seperti menyunting video.

    Kini beliau berjaya mencipta audiens yang besar untuk video-video pendeknya yang dimuat naik ke YouTube Shorts. Di samping mencipta video, gadis berumur 28 tahun ini turut memulakan jenama produk kecantikannya sendiri yang telah berkembang ke pasaran antarabangsa.

    Fikri Zamri pula ialah seorang pembikin filem berumur 29 tahun yang sebelum ini bekerja di pelbagai syarikat penerbitan dan agensi pengiklanan untuk menghasilkan video buat para kliennya. Sewaktu PKP mula dikuat kuasakan, beliau mendapat inspirasi untuk mencipta saluran YouTube sinematik yang bertemakan pelancongan dan pengembaraan.

    Kini, video pelancongannya yang disunting secara profesional telah mendapat perhatian daripada jutaan penonton. Video-video beliau bukan sahaja boleh menarik perhatian terhadap sesuatu lokasi pelancongan, malah ia mengiklankan banyak perniagaan kecil berdekatan lokasi tersebut.

    "
    "

    Berbeza dengan dengan tiga orang pencipta kandungan di atas, Khairul Jamain pada asalnya mencipta video pelancongan untuk saluran YouTube milik orang lain. Selepas beliau menyedari pengalamannya dalam mengembara secara backpacking adalah berlainan dengan kebanyakan orang, beliau memutuskan untuk memulakan saluran YouTube miliknya sendiri pada 2019.

    Beliau kini dikenali oleh para penontonnya sebagai KJ yang telah melakukan pengembaraan secara backpacking di pelbagai negara Asia. Selain mengembara, beliau turut terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan dan sukarelawan di Afrika dan Syria.

    Padanya, pengembaraan bukanlah untuk sekadar berseronok sahaja, malah ia lebih kepada mempelajari benda baharu yang boleh dikongsi dengan rakyat Malaysia dan bagaimana ia boleh membantu generasi masa hadapan.

    Empat orang ini adalah contoh bagaimana mereka menggunakan YouTube sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dalam mengembara dengan ramai rakyat Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    RoboVan Autonomi L4 pertama Malaysia dibenar beroperasi di jalan raya awam Cyberjaya

    Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS) melancarkan RoboVan autonomi Tahap 4 (L4) tanpa pemandu untuk jalan raya awam Malaysia sempena Transport Expo...

    CMF Clip Pro dan Buds Neo rasmi untuk pasaran Malaysia bermula RM129

    Sub-jenama Nothing, CMF, melancarkan dua model fon telinga baharu di Malaysia iaitu CMF Clip Pro yang dijual pada harga RM359 dan CMF...

    Anker perluas kehadiran di Malaysia dengan kedai ketiga dan pameran produk baharu

    Anker menganjurkan Anker Experience Week di Sunway Pyramid dari 13 hingga 18 Oktober 2026 bagi memperkenalkan hala tuju jenama “Ultimate, Unified” di...

    OPPO ColorOS 17 dilancar secara global dengan UI Living Flow, jaminan lancar 6 tahun

    OPPO hari ini melancarkan sistem operasi terbaharu iaitu ColorOS 17 untuk pasaran global dengan fokus terhadap rekaan visual Living Flow dan integrasi...

    Samsung pamer peralatan rumah berasaskan AI, termasuk penyaman udara baharu 2027

    Samsung Electronics mempamerkan rangkaian kelengkapan rumah dan penyelesaian perniagaan berasaskan AI menerusi acara The Brief 2026 di Hanoi, Vietnam. Antara produk yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...