Syarikat kewangan video game global, Xsolla, telah bekerjasama dengan syarikat pembina usaha niaga (venture builder) antarabangsa, Curine Ventures, untuk membuka Xsolla Curine Academy (XCA) iaitu sebuah akademi khas untuk membangunkan tenaga kerja buat industri pembinaan game dalam Malaysia.
Akademi tersebut terletak dalam bangunan KL Eco City di Kuala Lumpur dan ditubuhkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Ia menyediakan kursus pembinaan game dalam durasi daripada satu hingga 12 bulan, meliputi pelbagai aspek penting dalam pembinaan game seperti amalan komunikasi dalam industri, pembinaan game secara berdikari (indie), seni grafik komputer, strategi game dan pengeraman harta intelek (IP incubation).
XCA menyediakan tiga landasan utama untuk pelajarannya iaitu Basic, Advanced dan Pro, bergantung kepada kehendak dan pengalaman para pelajar. Akademi itu menggunakan enjinnya sendiri iaitu Megamod yang menawarkan solusi pembinaan game terkini, serta memanfaatkan pengalamannya yang global dalam melatih pembina game di seluruh dunia.
Di samping kemahiran membina game, XCA turut mengajar kemahiran perniagaan bagi memudahkan graduan untuk membawa game mereka daripada konsep asal hinggalah kejayaan selepas game dilancarkan. Ini termasuklah teknik pengurusan projek yang khusus untuk industri gaming, alat-alat kecerdasan buatan (AI), strategi pemasaran, strategi pengewangan dan taktik penjualan.
XCA mempunyai hubungan dengan lebih 250 pelabur dan penerbit game, jadi mereka boleh menyediakan platform untuk melancarkan game buatan sendiri seperti Lost in Play, Fix Fox, Toy Tactics dan Flame Keeper.
Anda boleh layari laman web XCA untuk maklumat lanjut mengenai kursus yang ditawarkan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.