More

    5 telefon bimbit yang paling ikonik pada waktu 2000-an

    Pada tahun 2020 ini, kita sudah pun biasa dengan teknologi telefon pintar yang dilengkapi skrin sentuh pantas, jumlah RAM mirip komputer, cipset berprestasi tinggi, bilangan kamera lebih daripada satu dan pelbagai lagi teknologi canggih. Menarik difikirkan jika waktu boleh diputar kembali kepada permulaan abad ke-21 tidak lama dahulu, perbezaan teknologi dalam telefon adalah seperti langit dan bumi.

    Malah evolusi tersebut boleh dilihat dalam Bahasa Melayu sendiri; dahulunya telefon bimbit kini telah ‘bertukar’ menjadi telefon pintar. Walaupun telefon pada waktu tersebut langsung tidak boleh menyaingi teknologi telefon hari ini, terdapat beberapa model yang paling diingati kerana sumbangannya dalam pembangunan teknologi komunikasi mudah alih. Berikut adalah lima telefon bimbit yang paling ikonik dan mengapa ia dianggap sedemikian oleh ramai peminat telefon:

    Nokia 3210

    Mustahil untuk kita senaraikan telefon paling ikonik pada zaman 2000-an tanpa menyebut nama Nokia, dan antara model yang paling popular pastinya adalah Nokia 3210 yang dilancar pada 1999. Ini adalah telefon pertama yang tidak dilengkapi batang antena, sebelum ia diikuti oleh pembina-pembina telefon yang lain.

    Telefon ini juga berada dalam tempat yang istimewa pada hati seorang penulis TechNave kerana inilah telefon bimbit pertama beliau. Pengalaman bermain game Snake masih lagi dikenang sehingga kini.

    Nokia N-Gage

    Saya memang tidak boleh melupakan keterujaan tinggi di kalangan peminat telefon bimbit sewaktu Nokia N-Gage diperkenalkan pada 2003. Rekaannya lebih mirip kepada konsol gaming mudah alih daripada telefon kerana ia bertujuan untuk bersaing dengan sebuah konsol mudah alih popular pada waktu itu iaitu Nintendo Game Boy Advance.

    Walau bagaimanapun, keterujaan tersebut kian bertukar menjadi kehampaan kerana pengalaman penggunaannya adalah amat kekok. Butang nombor berada di kedudukan yang pelik dan ia gagal berfungsi sebagai butang kawalan untuk bermain game. N-Gage kini terkenal sebagai salah satu daripada projek Nokia yang bercita-cita tinggi namun gagal mendapat sambutan hangat.

    Kyocera VP-210

    Anda mungkin tidak biasa dengan jenama Kyocera kerana syarikat itu sebenarnya lebih popular dengan pencetak dan mesin elektronik untuk industri besar. Walau bagaimanapun, syarikat ini berjaya mencapai sesuatu yang penting dalam sejarah telefon bimbit; Kyocera VP-210 yang dilancar pada 1999 adalah telefon pertama yang dilengkapi sebuah kamera padanya.

    Malah, kamera 110 kilopiksel itu bukannya menghadap ke belakang tetapi ke arah pengguna ala-ala swafoto. Agaknya pekerja Kyocera sudah pun bermain dengan konsep selfie sebelum ia dipopularkan oleh telefon pintar dan media sosial.

    "
    "

    BlackBerry Bold 9000

    BlackBerry merupakan jenama yang sinonim dengan telefon untuk ahli-ahli korporat serta orang kenamaan. Antara telefon yang paling popular adalah BlackBerry Bold yang dilancar pada 2008, dengan papan kekunci QWERTY penuh dan bebola penjejak (trackball) untuk penggunaan mirip tetikus (perlu diingat bahawa skrin sentuh masih belum diperkenalkan secara meluas dalam telefon pada waktu ini).

    Rekaannya nampak kemas dan premium, sesuatu yang jarang terdapat dalam kebanyakan telefon pada waktu itu. Atas sebab ini, ia dianggap sebagai satu simbol kemewahan seperti iPhone pertama.

    Motorola Razr V3

    Telefon lipat (flip phones) merupakan sesuatu yang popular pada waktu 2000-an, walaupun dengan rekaannya yang tebal. Motorola memutuskan untuk menghasilkan telefon lipat yang lebih nipis dan produk akhirnya adalah Motorola Razr V3, dilancar pada 2004. Ia merupakan antara telefon ternipis pada waktu itu dan rekaannya seolah-olah datang daripada sebuah dunia fiksyen sains.

    Telefon ini merupakan kejayaan yang besar buat Motorola, dengan 130 juta unit terjual dan membuatkannya antara telefon yang paling terkenal dalam sejarah. Pada tahun ini, Motorola telah menghidupkan kembali jenama Motorola Razr ini dengan sebuah telefon yang dilengkapi skrin sentuh lipat dan rekaan serupa dengan Razr V3 yang asal.

    TechNave pasti para pembaca sendiri mempunyai kisah menarik dalam menggunakan telefon-telefon bimbit awal. Kongsikannya di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Harga langganan Disney+ dan Hulu meningkat sehingga 13 peratus

    Disney mengumumkan pelarasan harga baharu bagi perkhidmatan penstrimannya merangkumi Disney+ dan Hulu dalam pasaran Amerika Syarikat. Menerusi pelarasan harga baharu, yuran bulanan...

    Qualcomm perkenal Snapdragon Sound Elite Gen 2 dengan AI terbina dalam

    Qualcomm secara rasmi memperkenalkan Snapdragon Sound Elite Gen 2 dalam acara Snapdragon Summit. Platform audio gred premium ini dibangunkan khusus untuk menyokong...

    HONOR X9e Pro rasmi di Malaysia dengan bateri 11,000mAh dan penarafan IP69K, bermula RM1,899

    HONOR secara rasmi melancarkan HONOR X9e Pro untuk pasaran Malaysia yang turut diiringi pengenalan barisan produk AIoT baharu merangkumi siri HONOR Pad...

    Sonos bawa Beam Ultra, Ace Ultra dan Sonos 27 ke Malaysia, harga bermula RM4,199

    Sonos telah memperkenalkan tiga penawaran baharu di Malaysia iaitu soundbar Beam Ultra, fon telinga premium Sonos Ace Ultra dan sistem kendalian audio...

    Xiaomi kini bukan sekadar telefon, Mijia dan EV bakal kuasai ekosistem global

    Xiaomi mengumumkan perluasan strategi ekosistem pintar Human x Car x Home di pasaran antarabangsa sempena pameran IFA 2026 di Berlin. Langkah ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured