More

    Ulasan GoPro HERO13 Black – Banyak beza dengan HERO12?

    GoPro masih lagi mengekalkan reputasinya sebagai sebuah jenama kamera sukan / kamera aksi yang dipercayai, namun mereka menghadapi saingan yang semakin sengit daripada jenama lain seperti DJI dan Insta360. Dengan pengenalan GoPro HERO13 Black pada bulan lalu, GoPro membawa beberapa pembaharuan untuk kamera aksinya dengan memperkenalkan aksesori HB-Series Lenses seperti lensa makro, ultra-lebar dan penapis ND bagi membenarkan anda merakam video dengan lebih banyak perspektif.

    Kami diberi peluang untuk mencuba dan mengulas HERO13 Black selama beberapa minggu, namun sayangnya unit yang dipinjamkan kepada kami tidak disertakan bersama aksesori lensa yang menjadi tarikan utama untuk kamera ini. Oleh yang demikian, dalam ulasan ini kami akan bercakap tentang prestasi kamera ini secara bersendiri, tanpa sebarang aksesori tambahan.

    Dengan harga RM1,999, ia merupakan produk yang menarik untuk mereka yang ingin merakam video menggunakan kamera tahan lasak dan mudah digunakan, tetapi adakah ia produk terbaik untuk kategori kamera aksi pada tahun ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Seperti semua kamera GoPro sebelum ini, HERO13 Black mempunyai mutu buatan yang sangat kukuh dan tahan lasak. Anda campaklah kamera ini sekuat mana pun atau menenggelamkannya ke dalam air selama beberapa jam, kamera ini masih teguh seperti hari pertama anda menggunakannya. Sebenarnya, saya sendiri pernah jatuhkan kamera ini secara tidak sengaja dan saya tidak risau langsung tentang sebarang kerosakan padanya. Lebih menarik, tiada kesan calar langsung pada badan atau lensa.

    Tanpa memasang sebarang aksesori tambahan, HERO13 Black sudah mempunyai kalis air yang boleh bertahan hingga paras kedalaman 10m (33 kaki) dan boleh digunakan dalam suhu sejuk ekstrem serendah -10°C. 

    Bahagian hadapan, terdapat sink haba di bawah lensa
    Skrin belakang yang masih sama di bahagian belakang

    Selain daripada logo “13 Black” di bahagian kanan, kamera ini mempunyai penampilan yang hampir sama dengan GoPro HERO12 Black pada tahun lepas. Ia masih mempunyai skrin 2.27 inci di belakang dan skrin 1.4 inci di hadapan untuk memudahkan rakaman diri sendiri, namun malangnya hanya skrin belakang sahaja yang menyokong input sentuhan. Saya masih pelik mengapa GoPro belum memperkenalkan skrin hadapan yang boleh disentuh, seperti kamera Osmo Action daripada DJI.

    Di bawah, ia masih mengekalkan slot ¼-20 mount yang diperkenalkan pada HERO12 Black tahun lalu, jadi anda boleh memasangkan sebarang tripod pihak ketiga dengan mudah. Ia juga mempunyai Folding Fingers yang bermaksud aksesori GoPro lama anda masih boleh digunakan pada HERO13 Black. Selain itu, di bawah lensa, terdapat sebuah sink haba (heatsink) yang direka khas untuk melesapkan haba.

    Selain daripada logo “13 Black” tidak banyak yang berbeza pada kamera ini berbanding generasi sebelumnya
    Bahagian kiri yang dilindungi pintu, menempatkan slot bateri, kad memori sert port USB-C
    Butang rekod yang terletak di bahagian atas
    Lubang skru ¼-20 mount (kiri) dan Folding Fingers (kanan) yang memudahkan pemasangan dengan aksesori GoPro yang lama

    Kini saya ingin mengulas mengenai prestasi video dan gambarnya. Secara am, HERO13 Black boleh merakam video yang sangat cantik dan sangat stabil dalam situasi cahaya terang, jadi ia amat sesuai digunakan sebagai kamera untuk merakam percutian dan pengembaraan anda di mana-mana sahaja. Daripada segi resolusi maksimum, ia masih kekal daripada kamera tahun lalu iaitu resolusi 5.3K, namun kadar bingkai (frame rate) maksimum sudah dinaikkan kepada 60fps.

    "
    "

    Jika anda lebih gemar merakam dalam resolusi yang lebih rendah untuk menjimatkan bateri atau ruang dalam kad memori, ia boleh rakam dalam resolusi serendah 1080p 30fps, namun kadar bingkai boleh dinaikkan sehingga 240fps jika anda ingin rakam video gerak perlahan (slow-motion).

    Lebih menarik, jika anda ingin fokuskan pada video gerak perlahan sahaja dan ingin merakam pada kadar bingkai setinggi mungkin, anda boleh aktifkan Burst Slo-Mo dan anda boleh rekod video 400fps dengan resolusi 720p. Memang anda boleh hasilkan video gerak perlahan yang sangat lancar, namun sedia maklum, kualitinya memang agak hambar. Selain itu, video Burst Slo-Mo hanya boleh dirakam selama 15 saat.

    Ia masih lagi menggunakan sensor CMOS 1/1.9” 27MP dengan nisbah aspek 8:7, jadi anda boleh rakam video dengan nisbah aspek tersebut supaya ia boleh disunting kepada nisbah lain seperti mendatar (16:9) atau menegak (9:16), bergantung kepada platform media sosial yang anda ingin gunakan. 

    Ini juga bermaksud sensor sama ini mengekalkan kelemahan yang sama seperti kamera-kamera GoPro sebelum ini, iaitu prestasi malap (low-light) yang tidak bagus. Benar, kelemahan in adalah sesuatu yang dikongsi oleh kebanyakan kamera aksi termasuk daripada jenama lain, namun saya berpendapat sudah tiba masanya untuk GoPro memperkenalkan sensor baharu yang lebih besar untuk kualiti imej yang lebih cantik.

    Daripada segi penstabilan, HyperSmooth 6.0 menghasilkan video stabil yang sangat cemerlang, anda tidak memerlukan sebarang gimbal atau penyuntingan tambahan untuk menstabilkan video. Saya sendiri gemar mengaktifkan Horizon Lock yang bermaksud video akan kekal mendatar walaupun kamera diputar secara ekstrem. Sungguh pun begitu, penstabilan ini nampak tidak kemas dalam situasi malap kerana anda boleh lihat unsur-unsur pelik apabila kamera ini ingin menstabilkan video.

    Sebenarnya, HERO13 Black mempunyai fungsi yang hampir sama dengan HERO12 Black dan tidak banyak yang baharu untuk kamera tahun ini. Fungsi seperti Autoboost, TimeWarp, rakaman GP-Log 10-bit, rakaman audio dengan fon telinga wayarles Bluetooth dan banyak lagi fungsi sudah pun boleh didapati pada HERO12 Black. Seperti yang saya katakan pada awal ulasan ini, ciri baharu yang unik untuk HERO13 Black adalah aksesori lensanya yang pelbagai, namun saya tidak mempunyainya sewaktu mencuba kamera ini.

    Walau bagaimanapun, satu ciri yang tiada pada HERO12 Black dan dikembalikan semula dalam HERO13 Black adalah fungsi penjejakan GPS. Jadi, jika anda merakam sebarang aksi pantas dan ingin tunjuk kelajuan, altitud, daya-G (G-force) atau lain-lain ukuran dalam video, kini anda boleh melakukannya.

    Satu pembaharuan pada HERO13 Black adalah daripada segi bateri, di mana ia mempunyai Enduro Battery dengan kapasiti 1,900mAh yang lebih besar berbanding sebelum ini. Sepanjang penggunaan saya merakam beberapa video klip pendek sewaktu berjalan-jalan di Pulau Pinang, pengecasan penuh sudah cukup untuk kegunaan selama satu hari penuh dan merakam video dalam resolusi 4K. Menurut laman web GoPro, baterinya boleh merakam sehingga 150 minit jika dirakam dalam resolusi 1080p 30fps secara berterusan.

    Perlu diingati bahawa ini adalah bateri baharu yang tidak boleh digunakan bersama model GoPro yang lama. Pada masa yang sama, bateri kamera GoPro sebelum ini tidak boleh digunakan bersama HERO13 Black, jadi jika anda sudah mempunyai beberapa bateri daripada kamera GoPro sebelum ini, anda mungkin perlu membuat perbelanjaan lanjut jika anda ingin beberapa bateri tambahan untuk HERO13 Black.

    Jadi adakah GoPro HERO13 Black kamera aksi yang sesuai untuk merakam pengembaraan anda? Secara jujurnya, jika anda sekadar inginkan kamera sahaja dan tidak merancang untuk membeli aksesori lensa tambahan, GoPro HERO12 Black sahaja sudah memadai kerana ia mempunyai hampir keseluruhan fungsi yang terdapat pada HERO13 Black. Malah, anda boleh dapatkan HERO12 Black pada harga yang lebih murah sekarang. Jika anda selesa dengan ketiadaan GPS atau bateri yang lebih kecil, HERO12 Black adalah pilihan yang lebih sesuai.

    Malah, untuk para pengguna kasual, saya berpendapat GoPro HERO (2024) yang berharga RM999 sahaja dan dilancar serentak bersama HERO13 Black adalah produk yang menarik. Walaupun ia tidak mempunyai skrin hadapan untuk memudahkan rakaman vlog, ia masih mempunyai fungsi rakaman yang bagus untuk kegunaan anda dan harganya yang jauh lebih rendah akan menarik minat ramai pengguna.

    Saya berpendapat HERO13 Black adalah produk yang sesuai untuk mereka yang inginkan kamera lasak yang boleh merakam video secara profesional, kerana kepelbagaian aksesori lensa akan meluaskan kebolehan kamera ini. Jika anda mencara alternatif jenama lain, DJI Osmo Action 5 Pro (RM1,799) adalah produk yang sesuai untuk dibandingkan.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Ukuran: 71.8mm x 50.8mm x 33.6mm, berat 154 gram
    • Sensor kamera CMOS 1/1.9” 27.6MP, nisbah aspek 8:7
    • Pemproses GP2
    • Medan penglihatan 156°
    • Rakaman resolusi video sehingga 5.3K pada kadar 60fps
    • Rakaman gerak perlahan sehingga 240fps pada resolusi 1080p
    • Penstabilan HyperSmooth 6.0 dengan AutoBoost
    • Skrin belakang 2.27 inci (boleh disentuh), skrin hadapan 1.4 inci
    • Bateri Enduro 1,900mAh
    • Boleh tenggelam sehingga 10 meter (tanpa aksesori), sehingga 60 meter dengan bekas pelindung
    • Boleh digunakan dalam suhu -10º C hingga 35º C
    • Port USB-C
    • Tiga mikrofon dalaman, juga menyokong rakaman audio daripada fon telinga wayarles

    Kelebihan: Pelbagai aksesori lensa, bateri lebih besar, kualiti video yang stabil dan cantik, penjejakan GPS kini kembali

    Kekurangan: Kamera sahaja tidak banyak pembaharuan berbanding HERO12 Black

    Kesimpulan: Kamera sesuai jika anda ingin rakam video dengan pelbagai sudut secara profesional

     

    Artikel Terkini

    Proton e.MAS labur lebih RM40 juta bangunkan ekosistem digital EV pertama Malaysia

    PRO-NET menerusi Proton e.MAS mengumumkan pembangunan platform mobiliti berhubung tempatan pertama di Malaysia dengan pelaburan melebihi RM40 juta sebagai sebahagian usaha memperkukuh...

    Nintendo lancar jualan eShop pertama di Malaysia dengan diskaun untuk “game” ekslusif!

    Selepas beberapa bulan, Nintendo eShop akhirnya mengadakan jualan digital di Malaysia dengan menawarkan potongan harga bagi tajuk terpilih untuk pemain Nintendo Switch...

    Red Magic 11S Pro dilancar secara global dengan SD 8 Elite Gen 5 dan...

    Red Magic mengumumkan pelancaran telefon gaming terbaharu Red Magic 11S Pro ke pasaran global selepas diperkenalkan terlebih dahulu di China. Peranti dikuasakan...

    YouTube mula labelkan video AI secara automatik dan lebih jelas bermula Mei ini

    Google mengumumkan penambahbaikan sistem label kandungan AI di YouTube bagi memudahkan pengguna mengenal pasti video yang dihasilkan atau diubah menggunakan kecerdasan buatan....

    Spotify perkenal Podcast Clips, kini boleh potong dan kongsi bahagian podcast

    Terbaharu, Spotify memperkenalkan fungsi “Podcast Clips” yang membolehkan pengguna memotong, menyimpan dan berkongsi bahagian tertentu daripada episod podcast secara terus dalam aplikasi....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...