fbpx
More

    Ulasan GoPro HERO12 Black – Masih lagi raja kamera aksi pada 2023?

    Sebut sahaja tentang kamera aksi (action camera) dan pasti jenama yang muncul dalam minda kita adalah GoPro. Walaupun dengan permintaan kamera aksi yang tidak sepopular pada era 2010-an dahulu, syarikat teknologi dari Amerika Syarikat ini masih melancarkan kamera baharu pada setiap tahun dan untuk 2023, mereka telah melancarkan model terbaru iaitu GoPro HERO12 Black.

    Dengan harga pasaran bermula RM1,999, HERO12 Black dijual pada harga yang serupa dengan GoPro HERO11 Black sewaktu ia dilancarkan pada tahun lepas. Selain harga yang serupa, rekaan HERO12 Black juga tidak banyak berbeza dengan kamera sebelumnya. Jadi adakah model baharu ini sesuai untuk aktiviti lasak anda, atau adakah lebih baik jika beli model tahun lepas atau kamera aksi jenama lain? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Jika dilihat daripada luaran, HERO 12 Black mengekalkan reka bentuk kiub yang sudah sinonim dengan kamera-kamera GoPro sebelum ini. Ia masih mempunyai skrin 2.27 inci di belakang, skrin 1.4 inci di hadapan untuk memudahkan rakaman vlog dan lensa berbentuk petak. Perbezaan kecil yang ada pada kamera ini hanyalah logo “12 Black” di bahagian kiri dan beberapa titik biru pada keseluruhan kamera.

    Bahagian hadapan HERO12 Black, anda boleh nampak titik-titik biru di sekelilingnya
    Logo “12 Black” di bahagian kiri
    Ruang bateri, kad microSD dan port USB-C di bahagian kanan
    Skrin 2.27 inci di bahagian belakang

    Sewaktu merakam video, anda boleh gunakan skrin di belakang untuk melihat benda yang dirakam di hadapan anda, atau gunakan skrin hadapan untuk melihat diri anda sendiri sewaktu membuat vlog. Skrin belakang ini boleh disentuh untuk berinteraksi dengan kamera, namun malangnya skrin hadapan masih tidak menyokong sebarang input sentuhan.

    Satu penambahbaikan pada rekaan ini terdapat pada bahagian bawah, di mana ia kini menyediakan slot ¼-20 mount yang bermaksud anda kini boleh hubungkan sebarang tripod pihak ketiga dengan mudah. Ini adalah ciri yang amat dinanti-nantikan oleh pengguna GoPro kerana sebelum ini, anda perlu membeli mounting khas jika anda ingin gunakan tripod pihak ketiga, namun HERO12 tidak perlu lagi berbuat demikian.

    Dengan ¼-20 mount, tripod pihak ketiga kini lebih mudah dipasangkan pada kamera HERO12 Black

    Daripada segi kualiti binaan, saya amat berpuas hati dengan reka bentuk kamera lasak ini dan saya pasti ia akan bertahan walaupun jika anda membalingnya dengan kuat. Ia boleh ditenggelamkan dalam air sehingga paras 10 meter (33 kaki) tanpa memerlukan sebarang aksesori tambahan, manakala jika anda memasangnya dengan bekas kalis air (waterproof protective housing), ia boleh digunakan sehingga paras 60 meter (196 kaki). Ia juga boleh digunakan dalam suhu antara -10º C dan 35º C.

    Kini saya ingin mengulas kualiti imejnya. HERO12 Black boleh merakam video dengan resolusi sehingga 5.3K pada kadar 30fps dan kualitinya nampak sangat cantik selagi anda berada dalam situasi yang terang. Selain video, gambar yang dihasilkan juga nampak cantik dan dengan medan penglihatan yang luas, pastinya mudah untuk mengambil swafoto bersama ramai orang serentak.

    Memandangkan kamera ini tidak mempunyai saiz sensor yang besar, kualiti video dalam suasana malap nampak agak kabur, namun ini adalah kelemahan yang terdapat dalam semua jenama kamera aksi.

    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Linear
    Contoh gambar dalam mod Max HyperView

    Anda boleh rekod dalam pelbagai sudut medan penglihatan. Jika anda gemarkan video ultra-lebar untuk medan penglihatan luas, anda boleh gunakan mod SuperView untuk rakam sebanyak butiran yang mungkin di sekeliling anda, namun ia akan menghasilkan efek mata ikan (fisheye) yang agak ketara. Saya lebih gemar merakam dalam mod Linear kerana ia nampak lebih mirip kepada rakaman daripada kamera biasa.

    Jika anda inginkan sudut penglihatan yang lebih luas lagi berbanding SuperView, anda boleh beli lensa tambahan Max Lens Mod 2.0 yang berharga RM519 untuk dapatkan Max HyperView. Namun saya rasa untuk kebanyakan pengguna yang merakam video secara berjalan atau berdiri, lensa tambahan ini tidak diperlukan untuk rakaman harian kerana ia membuatkan bahagian kiri dan kanan video nampak sangat pelik. Saya rasa ia hanya bermanfaat untuk sukan yang bergerak pantas seperti basikal, ski dan lumba kereta.

    Max Lens Mod 2.0 meningkatkan medan penglihatan kamera
    Medan penglihatan daripada Max HyperView

    HERO12 Black mengekalkan nisbah aspek 8:7 pada sensornya seperti yang diperkenalkan dalam HERO11, dan kini anda boleh merakam video 8:7 dalam semua mod time lapse seperti TimeWarp, Star Trails, Vehicle Lights dan Light Painting. Fungsi nisbah aspek 8:7 ini membenarkan anda untuk menyunting video dalam mod menegak atau melintang, selepas anda mengeluarkannya daripada kamera.

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk kamera GoPro, penstabilan HyperSmooth 6.0 berfungsi dengan sangat cemerlang. Anda geraklah banyak mana sekali pun, video yang dihasilkan masih nampak sangat stabil. Lebih-lebih lagi dengan fungsi Horizon Lock yang membenarkan kamera untuk mengekalkan video yang rata pada horizon, meskipun jika kamera ini diputarkan sepenuhnya. Sungguh pun begitu, Horizon Lock hanya ditawarkan dalam mod rakaman Linear.

    HERO12 juga menawarkan fungsi penstabilan Autoboost yang akan potong (crop) video secara automatik, bergantung kepada jenis aksi yang sedang dirakam. Sejujurnya, saya langsung tidak dapat lihat apakah manfaat yang ditawarkan dengan Autoboost ini. Mungkin ia lebih sesuai dimanfaatkan untuk gerakan yang lebih pantas seperti kenderaan lumba atau berbasikal menurun bukit.

    Satu ciri menarik yang saya suka adalah jika anda ingin merakam video menegak untuk dimuat naik ke TikTok atau Instagram Reels, anda tidak perlu memutarkan kamera ini sebanyak 90°. Sebaliknya, anda boleh tetapkan sendiri dalam kamera supaya video akhir yang dihasilkan nampak menegak. Dengan ini, jika anda sudah pasangkan kamera di atas helmet atau basikal, anda tidak perlu putarkan kamera, sebaliknya hanya tetapkan dalam menu untuk hasilkan video menegak.

    Video menegak kini boleh dirakam tanpa perlu memutarkan kamera

    Selain itu, HERO12 Black kini boleh merekod audio daripada fon telinga wayarles supaya lebih mudah untuk anda merakam suara sewaktu membuat vlog di tempat awam yang bising. Ini adalah ciri baharu yang bagus buat vlogger, namun ia bergantung kepada kualiti fon telinga anda. Saya telah mencubanya dan mendapati kualiti audio yang dirakam sama kabur seperti kualiti audio dalam panggilan video Zoom (mungkin kerana fon telinga saya yang berkualiti rendah).

    Jika anda merupakan seorang pengguna yang kerap menyunting video secara profesional, HERO12 Black kini boleh merakam video dalam format GP-Log dengan warna 10-bit untuk membenarkan pembetulan dan penggubahan warna (colour correction, colour grading) yang lebih fleksibel.

    Daripada segi hayat bateri, saya merakam video secara sedikit-sedikit, dengan klip berdurasi sekitar 1 minit, jadi dengan penggunaan seperti ini, baterinya boleh bertahan sehingga satu hari. Namun saya masih cadangkan anda untuk bawa satu bateri tambahan jika anda menggunakannya untuk merakam percutian atau bersukan. 

    Jika anda rekod secara berterusan, GoPro berkata hayat baterinya boleh cecah sehingga 146 minit jika merakam dalam 1080p 30fps, atau sesingkat 62 minit jika merakam dalam 4K 120fps, membuatkannya tahan lebih lama sedikit daripada HERO11. Saya ingin menguji tempoh ini namun malangnya saya tidak memiliki kapasiti kad memori yang cukup untuk berbuat demikian.

    Satu kelemahan pada bateri GoPro Enduro ini adalah pengecasannya yang amat perlahan, di mana ia boleh mengambil masa lebih dua jam untuk mengecas sehingga penuh. Ini adalah kelemahan yang amat ketara, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan kamera pesaing yang boleh mengecas penuh dalam masa sekitar satu jam sahaja. Saya harap pihak GoPro boleh menambah baik pengecasan dalam kamera HERO13 kelak.

    Satu lagi kekurangan pada HERO12 adalah ia kini tidak lagi dilengkapi fungsi penjejakan GPS. Ini mungkin bagi meningkatkan hayat bateri dan saya berpendapat majoriti besar pengguna tidak kisah dengan ketiadaan GPS, namun buat mereka yang ingin menjejak kelajuan basikal atau jarak kayuhan, ini mungkin akan mengecewakan mereka.

    Dengan harga RM1,999, GoPro HERO12 Black adalah kamera aksi yang lengkap. Tidak kisahlah sama ada anda seorang atlit profesional atau hanya sekadar orang biasa yang inginkan kamera untuk merakam percutian, kamera ini boleh merakam semua detik menarik anda dengan mudah dan stabil. Malah dengan beberapa ciri baharu seperti ¼-20 camera mount, rakaman audio secara Bluetooth dan fungsi rakaman menegak tanpa perlu memutar kamera, membuatkannya lebih mudah digunakan daripada HERO11.

    Sungguh pun begitu, anda boleh dapatkan kamera aksi yang lebih murah daripada jenama lain, seperti DJI Osmo Action 4 (RM1,899) dan Insta360 Ace (RM1,799). Saya berpendapat HERO12 Black adalah pilihan yang lebih sesuai jika anda inginkan fungsi video yang lebih profesional, seperti nisbah aspek 8:7, tetapan warna GP-Log dan resolusi 5.3K.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Ukuran: 71.8mm x 50.8mm x 33.6mm, berat 154 gram
    • Sensor kamera CMOS 1/1.9” 27.6MP, nisbah aspek 8:7
    • Pemproses GP2
    • Medan penglihatan 156°
    • Rakaman resolusi video sehingga 5.3K pada kadar 30fps
    • Rakaman gerak perlahan sehingga 240fps pada resolusi 1080p
    • Penstabilan HyperSmooth 6.0 dengan AutoBoost
    • Skrin belakang 2.27 inci (boleh disentuh), skrin hadapan 1.4 inci
    • Bateri Enduro 1,720mAh
    • Boleh tenggelam sehingga 10 meter (tanpa aksesori), sehingga 60 meter dengan bekas pelindung
    • Boleh digunakan dalam suhu -10º C hingga 35º C
    • Port USB-C
    • Tiga mikrofon dalaman, juga menyokong rakaman audio daripada fon telinga wayarles

    Kelebihan: Mudah digabungkan dengan aksesori pihak ketiga, bateri lebih lama daripada HERO11, penstabilan kukuh

    Kekurangan: Pengecasan perlahan, skrin hadapan tidak menyokong input sentuh, lebih mahal berbanding jenama pesaing

    Kesimpulan: Kamera aksi yang sesuai untuk golongan profesional

     

    Artikel Terkini

    Siri vivo X200 adalah telefon pertama dalam dunia dilengkapi RAM LPDDR5X Ultra Pro

    vivo bakal melancarkan siri telefon pintar andalan (flagship) terbaru, vivo X200, pada 14 Oktober 2024 dan buat masa ini pelbagai maklumat mengenai...

    WhatsApp bakal perkenalkan ciri pilihan tema sembang dalam kemas kini akan datang

    WhatsApp telah mengeluarkan kemas kini baharu melalui Program Beta Google Play dengan versi 2.24.21.34. Kemas kini ini memperkenalkan ciri pemilihan tema sembang...

    Tesla turut perkenalkan Robovan dengan kapasiti penumpang sehingga 20 orang

    Tesla telah mengumumkan Robovan iaitu kenderaan serba boleh yang direka untuk memenuhi keperluan keluarga dan perniagaan. Robovan ini mempunyai reka bentuk futuristik...

    Pembekal perkhidmatan sepatutnya tawarkan pakej internet lebih laju dengan harga lebih berpatutan – Fahmi

    Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, menekankan kepentingan menyediakan internet berkelajuan tinggi yang mampu milik untuk semua rakyat. Dalam satu sidang...

    Tesla memperkenalkan Cybercab, teksi pandu sendiri berharga ~RM128k

    Tesla baru-baru ini memperkenalkan Cybercab iaitu sebuah robotaxi yang boleh memandu sendiri dengan harga sekitar $30,000 (~RM128,640). Cybercab direka untuk memenuhi permintaan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan PICO 4 Ultra – VR yang mengasyikkan!

    Awal September lalu, ByteDance yang merupakan syarikat induk untuk PICO telah melancarkan PICO 4 Ultra secara rasmi dalam pasaran Malaysia. PICO 4...
    X