fbpx
More

    Ulasan GoPro HERO11 Black – Raja kamera aksi kekalkan takhta

    Sebut sahaja tentang kamera aksi atau kamera lasak, jenama pertama yang muncul dalam minda kita pastinya adalah GoPro. Jenama kamera dari Amerika Syarikat ini sudah menubuhkan reputasinya sebagai pembina kamera aksi bermutu tinggi sejak kamera GoPro Hero pertama yang dilancar dahulu dan pada tahun ini, mereka sudah pun melancarkan edisi yang terbaru untuk siri tersebut iaitu GoPro HERO11 Black.

    Sungguh pun begitu, kamera ini menghadapi saingan sengit dalam pasaran terutamanya daripada DJI dan Insta360, jadi adakah kamera GoPro terbaru ini masih boleh menjadi produk terbaik untuk kategori kamera aksi? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Daripada segi luaran, HERO 11 Black mempunyai rekaan kiub yang sinonim dengan kamera-kamera GoPro sebelum ini dengan bucu melengkung, sebuah lensa besar, skrin di hadapan dan belakang, butang suis dan butang rekod, pintu kalis air untuk bateri dan kad memori serta ruang untuk memasang aksesori. Dengan berat 154 gram sahaja, kamera ini juga mudah untuk dibawa dalam beg atau poket seluar.

    Sememangnya sebagai sebuah kamera aksi, HERO 11 Black mempunyai rating kalis air yang membenarkannya untuk ditenggelamkan sehingga kedalaman air 10 meter. Mutu buatannya pula terasa sangat kukuh, saya tidak risau pun jika ia terjatuh sewaktu saya merakamnya. Selain daripada skrin dan lensa, seluruh luaran HERO 11 Black mempunyai permukaan kesat yang meningkatkan cengkaman sewaktu anda memegangnya supaya ia tidak mudah jatuh.

    Kamera ini mempunyai skrin sentuh LCD di belakang yang berukuran 2.27 inci dan ia amat mudah dan responsif untuk digunakan. Di hadapan pula terdapat skrin LCD kecil berukuran 1.4 inci yang memudahkan anda untuk vlog, namun malangnya skrin hadapan ini tidak boleh menyokong input sentuh. Ini adalah satu keburukan yang agak ketara kerana kamera aksi jenama lain seperti DJI Osmo Action menyokong input sentuh pada skrin belakang dan hadapan.

    Skrin LCD di belakang boleh disentuh untuk mengubah tetapan kamera
    Skrin hadapan berfungsi dengan baik untuk vlogging, namun ia tidak menyokong sebarang input sentuh

    Secara kasarnya, reka bentuk HERO 11 Black tidak banyak bezanya dengan HERO 10 Black pada tahun lepas. Perbezaan luaran yang ketara hanyalah pada nombor “11” di bahagian sisi. Berita baik adalah ini juga bermaksud sebarang aksesori GoPro yang anda miliki sebelum ini boleh digunakan bersama HERO 11 Black.

    Sebaliknya, penambahbaikan yang ditawarkan dalam HERO 11 Black hanya terdapat dalam segi fungsi dan spesifikasi. Kamera ini menawarkan saiz sensor 1/1.9 inci iaitu lebih besar berbanding 1/2.3 inci pada HERO 10 Black. Ini mungkin bukanlah peningkatan saiz yang besar, namun ini bertujuan untuk merakam video dalam nisbah aspek unik 8:7.

    Dengan merakam dalam nisbah aspek tersebut, pengguna boleh mempunyai fail video dengan medan penglihatan luas yang kemudian boleh dipotong kepada 16:9 untuk video konvensional seperti dalam YouTube atau 9:16 untuk video menegak seperti dalam TikTok. Saya sendiri bukanlah orang yang gemar merakam atau menyunting video menegak, namun dengan pilihan untuk merakam video 8:7 memberikan fleksibiliti jika saya ingin menghasilkan video dalam format konvensional atau menegak.

    Sensor yang lebih besar ini juga memperkenalkan sudut penglihatan yang paling luas tanpa perlu menukar lensa kamera iaitu HyperView. Sungguh pun begitu, saya berpendapat ini bukanlah sudut penglihatan yang kerap digunakan kerana herotan (distortion) video yang terdapat pada bucunya adalah terlalu tinggi dan menghodohkan rupa video secara keseluruhan. Lebih baik anda kekalkan pada Wide atau SuperView sahaja.

    Untuk kualiti video, ia masih cantik namun tidak banyak berbeza dengan HERO 10 Black sebelum ini. HERO 11 Black boleh merakam video dengan resolusi 5.3K pada kadar 60fps, manakala video gerak perlahan pula boleh dirakam sehingga kadar 240fps pada resolusi 2.7K. Buat mereka yang gemar menyunting warna dalam video, HERO 11 Black kini menyokong rakaman 10-bit yang bermaksud ia boleh menyimpan lebih banyak data pemprosesan warna untuk dilaraskan sewaktu menyunting. 

    Akan tetapi, saya kurang gemar dengan kualiti audio daripada mikrofon dalaman HERO 11 Black. Untuk mendapatkan audio yang lebih jelas, anda mungkin perlu dapatkan Media Mod yang menyediakan mikrofon berhala (directional microphone) namun ini adalah kos tambahan kepada kamera ini.

    Satu ciri yang mendapat sambutan tinggi dalam kamera GoPro sebelum ini adalah penstabilan yang amat kukuh dan HERO 11 Black meneruskan lagi legasi tersebut dengan HyperSmooth 5.0. Anda rakamlah waktu berlari sekali pun, video yang dihasilkan pasti nampak stabil.

    Penstabilan terbaru ini memperkenalkan fungsi Autoboost yang boleh melaraskan tahap penstabilan secara automatik, manakala ciri Horizon Lock kini membenarkan HERO 11 Black untuk mengekalkan video rata pada ufuk walaupun ia diputar sebanyak 360°, lebih tinggi berbanding sekadar 45° sahaja pada HERO 10 sebelum ini. Perlu diketahui bahawa Horizon Lock hanya boleh diaktifkan dalam sudut penglihatan Linear sahaja.

    Bagaimana pula dengan fotografi? HERO 11 Black kini membenarkan anda untuk mengambil gambar 27MP, lebih tinggi berbanding 23MP pada HERO 10 Black. Selain itu, anda juga boleh dapatkan gambar 24.7MP daripada fail video, jadi anda boleh dapatkan detik kegemaran anda daripada video untuk jadikannya kepada sebuah gambar berkualiti tinggi.

    GoPro juga memperkenalkan Easy Controls untuk mereka yang tidak kisah untuk melaraskan tetapan kamera. Dalam mod ini, anda hanya boleh ubah sudut penglihatan serta kadar bingkai (frame rate).

    Jika anda kerap menukar resolusi, profil warna, tahap penstabilan, ISO atau lain-lain tetapan, lebih baik anda kekalkan pada Pro Controls sahaja.

    Perbezaan Pro Controls (kiri) dan Easy Controls (kanan)
    Bateri Enduro berwarna putih ini menjanjikan hayat yang lebih lama daripada bateri sebelum ini

    HERO 11 Black turut menampilkan bateri Enduro baharu yang berkapasiti 1,720mAh di mana GoPro mengatakan boleh bertahan lebih lama sebanyak 38 peratus berbanding bateri sebelum ini. Sepanjang penggunaan saya, jika merakam dalam resolusi Standard (5.3K, 60fps) bateri ini boleh bertahan sekitar satu jam 10 minit. Hayat ini boleh dipanjangkan lagi jika anda merakam dalam resolusi dan kadar bingkai lebih rendah serta mematikan beberapa fungsi seperti GPS.

    Untuk mereka yang gemar mengambil time lapse pula, HERO 11 Black menampilkan beberapa fungsi baharu untuk kegunaan pada waktu malam iaitu Star Trails, Light Painting dan Vehicle Lights. Dengan mod ini, anda boleh mengambil gambar garisan cahaya yang menarik dan kualitinya sangat memuaskan.

    Secara keseluruhan, GoPro HERO 11 Black masih lagi mengekalkan takhta GoPro sebagai raja kamera aksi pada waktu ini. Sungguh pun demikian, ia masih mempunyai beberapa keburukan seperti skrin hadapan yang tidak menyokong sentuhan jari dan kualiti audio yang tidak begitu jelas. 

    Satu cabaran lagi untuk HERO 11 Black adalah jenama kamera aksi lain yang dijual pada harga lebih murah. HERO 11 Black dijual di Malaysia pada harga RM2,399, manakala pesaingnya DJI Action Osmo 3 berharga RM1,699 dan Insta360 One RS berharga RM1,399 sahaja. Walaupun HERO 11 Black menawarkan fungsi tercanggih di antara tiga kamera ini, perbezaan harga yang ketara pasti akan mempengaruhi keputusan pembeli.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Ukuran: 71.8 x 50.8 x 33.6mm, berat 154g
    • Pemproses GP2
    • Saiz sensor CMOS 1/1.9 inci
    • Skrin LCD sentuh 2.27 inci di belakang
    • Skrin LCD 1.4 inci di hadapan
    • Kalis air sehingga 10 meter / 33 kaki
    • Rakaman video sehingga resolusi 5.3K, kadar 60fps
    • Nisbah aspek 8:7, 4:3 atau 16:9
    • Resolusi gambar 27MP
    • Fungsi TimeLapse
    • 3 mikrofon
    • Menyokong kawalan suara (voice control)
    • Bateri Enduro 1,720mAh

    Kelebihan: Penstabilan kukuh, nisbah aspek unik, mudah digunakan

    Kekurangan: Harga mahal, skrin depan tiada kawalan sentuh

    Kesimpulan: Kamera aksi terbaik untuk 2022

     

    Artikel Terkini

    WhatsApp Web akan bawa kemas kini dengan bar sisi baharu

    WhatsApp sentiasa menyegarkan antara mukanya untuk melibatkan pengguna dengan kemas kini terkini memfokuskan pada meningkatkan perkongsian media dan navigasi. WhatsApp Web sedang...

    Pembayaran parkir tanpa tunai Dakan dilaksanakan di Seremban dan Nilai mulai 2 Mei ini

    Bermula 2 Mei ini, Majlis Bandaraya Seremban akan melaksanakan caj parkir tanpa tunai di pelbagai kawasan di bawah bidang kuasanya di Nilai...

    Siri realme P1 Pro 5G dilancar: AMOLED 120Hz, bateri 5,000mAh, cas pantas 45W bermula...

    realme telah memperkenalkan siri telefon pintar kelas pertengahannya yang terbaru di India iaitu siri realme P. Dua produk pertama dalam siri ini...

    Adakah anda masih boleh gunakan telefon atau peranti dengan versi Android lama? Ini yang...

    Pada waktu ini, kebanyakan jenama telefon pintar dengan sistem operasi Android menjanjikan tempoh kemas kini utama (major updates) selama sekurang-kurangnya dua tahun...

    X bakal kenakan ‘yuran kecil’ kepada pengguna baru untuk siarkan kandungan

    Platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, akan memperkenalkan yuran kecil untuk pengguna baharu, meliputi aktiviti seperti menyiarkan kandungan, menyukai,...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X