OPPO telah melancarkan siri telefon pintar andalan (flagship) terbaru, OPPO Find X8 dan OPPO Find X8 Pro, pada bulan Oktober lalu di China dan mereka juga mengesahkan bahawa dua telefon itu akan dilancar untuk pasaran global pada bulan ini. Ini berbeza dengan siri OPPO Find X7 dan OPPO Find X6 yang hanya dijual untuk pasaran China, dan Find X8 bakal menjadi telefon OPPO Find pertama yang dilancar untuk pasaran global sejak OPPO Find X5 Pro.
Kini terdapat laporan mengatakan OPPO akan memperkenalkan dua lagi varian baharu untuk siri telefon tersebut iaitu OPPO Find X8 Mini dan OPPO Find X8 Ultra.
Menurut pengkhabar berita teknologi popular di China, Digital Chat Station, OPPO akan melancarkan Find X8 Mini yang mempunyai saiz skrin lebih kecil berbanding Find X8 dan Find X8 Pro. Telefon ini akan bersaing dengan vivo X200 Pro mini dan iPhone 16 Pro iaitu dua telefon dengan skrin 6.3 inci yang menawarkan prestasi pantas.

Untuk Find X8 Ultra pula, ia dikhabar akan menawarkan saiz skrin yang paling besar jika dibandingkan dengan varian Find X8 yang lain. Ia bakal mempunyai empat kamera di belakang yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor 1 inci, kamera ultra-lebar 50MP, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 5x dan kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 6x.
Ini adalah modul kamera yang sama dengan Find X8 Pro, jadi mungkin perkara yang akan membezakan varian Ultra dengan Pro adalah daripada segi saiz skrin.
OPPO Find X8 Mini dan Ultra dijangka akan dilancar pada awal 2025. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia unutk berita teknologi terkini.







