Qualcomm Technologies baru-baru ini melancarkan barisan produk baharu dalam siri cipset Snapdragon G Series Gaming Platform bagi menyediakan prestasi gaming yang lebih pantas dalam peranti gaming mudah alih. Perlu diingati bahawa ini adalah siri cipset yang berbeza dengan cipset Snapdragon yang dilengkapkan dalam telefon pintar.
Tiga produk baharu ini adalah Snapdragon G3 Gen 3, Snapdragon G2 Gen 2 dan Snapdragon G1 Gen 2.
Snapdragon G3 Gen 3 adalah cipset pertama dalam siri ini yang menyokong Lumen iaitu sistem pencahayaan global dinamik oleh Unreal Engine 5, untuk peranti gaming berdasarkan sistem operasi Android. Ia menyediakan prestasi CPU yang lebih pantas sebanyak 30% dan prestasi grafik sebanyak 28% berbanding generasi sebelumnya. Ia turut menyokong hubungan Wi-Fi 7.

Selain itu, Snapdragon G2 Gen 2 memfokuskan kepada gaming pada kadar bingkai 144fps untuk pengalaman yang lancar. Ia mempunyai peningkatan prestasi CPU sebanyak 2.3 kali ganda dan GPU sebanyak 3.8 kali ganda berbanding Snapdragon G2 Gen 1. Ia turut menyokong hubungan Bluetooth 5.3 dan Wi-Fi 7 untuk hubungan yang lebih stabil dan pantas.
Untuk peranti gaming yang lebih murah, Snapdragon G1 Gen 2 mampu menyediakan grafik pada resolusi 1080p dengan kadar bingkai 120fps. Ia menyediakan prestasi CPU lebih pantas sebanyak 80% dan prestasi GPU sebanyak 25% berbanding generasi sebelumnya. Ia hanya menyokong Bluetooth 5.1 dan Wi-Fi 5 sahaja.
Bermula suku tahunan ini, beberapa jenama akan melancarkan peranti gaming yang dilengkapi cipset Snapdragon G Series baharu ini, seperti AYANEO, ONEXSUGAR dan Retroid Pocket.

Layari laman web Qualcomm untuk maklumat lanjut mengenai siri cipset ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






