Pada bulan Mei lalu, perkhidmatan seru pandu (e-hailing) inDrive diarahkan untuk memberhentikan operasinya di Malaysia. Kini syarikat itu menjelaskan bahawa bermula hari ini, mereka telah pun menerima pengesahan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasinya di Malaysia.
Dalam pada itu, inDrive menjelaskan bahawa semua pemandu yang menggunakan platformnya perlu mendapatkan Permint Kenderaan E-Hailing (EVP), Lesen Memandu Kenderaan Awam (PSV) yang sah serta perlindungan insurans e-hailing. Kesemua dokumen ini perlu melalui proses pengesahan sebelum para pemandu dibenarkan beroperasi.
inDrive juga akan memperkukuh sistem semakan dalaman dan meningkatkan kerjasama dengan APAD untuk memastikan tahap pematuhan yang tinggi.
Mereka komited untuk menyokong ribuan pemandu tempatan yang menggunakan inDrive untuk pendapatan mampan, dengan menawarkan kadar komisen yang sangat rendah dalam industri e-hailing. Pemandu berpeluang mendapatkan antara 85% hingga 90% daripada pendapatan yang diperoleh melalui perkhidmatan mereka.
inDrive membenarkan para penumpang dan pemandu untuk saling berunding bagi menentukan kadar tambang yang adil. Ia sudah pun beroperasi di 47 negara dan akan terus memastikan semua pemandunya beroperasi dengan mematuhi syarat-syarat yang diperlukan.
Bagi menggalakkan pembangunan pemandu, inDrive Academy disediakan sebagai modul pembelajaran dalam talian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. inDrive juga akan meningkatkan akses mobiliti untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memperkenalkan ciri-ciri tambahan dan penglibatan komuniti.
inDrive boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store. Beritahu kami di Facebook jika anda akan gunakan inDrive dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







