fbpx
More

    Ulasan ASUS Vivobook 15X OLED – Skrin mantap pada komputer riba bajet

    Baru-baru ini, ASUS Malaysia telah memperkenalkan model-model baharu dalam siri komputer riba Vivobook yang dikhaskan untuk mereka yang inginkan sebuah komputer mampu milik. Dalam kalangan produk baharu ini, ASUS Vivobook 15X OLED (M1503Q) adalah salah satu daripadanya dan ia menampilkan satu spesifikasi yang agak istimewa buat kategori komputer mampu milik iaitu skrinnya.

    Dengan harga bermula RM3,299, adakah ia layak menjadi komputer anda yang seterusnya? Ayuh baca ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut.

    Sekilas pandang, Vivobook 15X OLED mempunyai rekaan yang tidak jauh berbeza dengan komputer riba Vivobook lain. Ia mempunyai badan ringkas yang dibuat daripada plastik dan ini membuatkannya ringan untuk dibawa. Warnanya pula ditawarkan dalam satu sahaja iaitu biru-kelabu Quiet Blue. 

    Rekaan ringkas di belakang skrin
    Nampak agak segak apabila dilihat dari atas
    Bahagian depan komputer ini juga nampak biasa

    Penampilan seperti ini boleh dijangka untuk sebuah komputer riba mampu milik dan tidak banyak yang boleh dihuraikan mengenainya. Sungguh pun komputer ini nampak bosan, ia masih mempunyai pengiktirafan ketahanan MIL-STD 810H yang bermaksud ia masih boleh menahan impak jatuh atau hentakan.

    Meskipun dengan rekaan yang biasa sahaja, ini bukanlah kekuatan utama komputer ini kerana ia terletak pada skrinnya yang mempunyai panel OLED berukuran 15.6 inci. Skrin ini menghasilkan warna yang sangat jelas dan pekat, mengalahkan skrin komputer lain yang dijual pada harga sama. 

    Selain itu, ia mempunyai resolusi 2880×1620, kadar segar semula 120Hz, gamut warna 100% DCI-P3, nisbah kontras 1 juta:1 dan boleh menjana 1.07 bilion warna, sesuatu yang biasanya hanya terdapat pada komputer yang lebih mahal.

    Warna yang dihasilkan oleh skrin ini adalah sangat menawan

    Ini bermakna sebarang imej atau video yang dipaparkan pada skrin ini akan nampak lebih jelas kerana ketumpatan piksel yang lebih tinggi, manakala gerakan animasi nampak lebih lancar. Anda boleh menonton video 4K dengan butiran dan warna yang lebih cerah, manakala kerja-kerja suntingan multimedia juga boleh dilaksanakan dengan lebih tepat berbanding komputer lain yang dijual pada harga sama.

    Skrin ini juga mempunyai sempadan bezel yang agak nipis, dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 86% yang membuatkan hampir keseluruhan separuh atas komputer ini dipenuhi dengan skrin.

    Beralih kepada papan kekuncinya pula, Vivobook 15X OLED mempunyai kekunci chiclet lengkap dengan numpad yang selesa untuk ditaip, namun tiada apa yang istimewa. Pad penjejaknya juga agak besar dan responsif dalam semua kegunaan, manakala di bahagian bucu atas kanan terdapat sebuah pengimbas cap jari.

    Kekunci yang standard, dengan corak aneh pada butang Enter
    Pad penjejak dengan pengimbas cap jari di bucu atas kanan

    Port yang ditawarkan juga ringkas dan sekadar mencukupi. Terdapat sebuah port USB 2.0 Type-A di bahagian kiri, manakala bahagian kanan pula menempatkan satu port USB 3.2 Gen 1 Type-C, dua port USB 3.2 Gen 1 Type-A, satu port HDMI 1.4, satu bicu audio 3.5mm serta port pengecasan.

    Malang sekali, komputer ini tidak menyokong pengecasan melalui port USB-C. Ia juga tidak mempunyai ruang kad memori yang pasti diinginkan oleh penyunting video dan gambar.

    Pelbagai port di bahagian sisi kanan
    Satu sahaja port di bahagian kiri
    Webcam boleh ditutup (kiri) atau dibuka (kanan)

    Kamera webcam di atas skrin boleh merekod video dalam resolusi 720p dan ia berfungsi dengan memuaskan untuk sebarang panggilan video. Satu perkara yang menarik adalah kamera ini boleh ditutup menggunakan sebuah penutup yang digelongsorkan dari tepi, supaya anda tidak perlu bimbang tentang privasi.

    Kini mari kita beralih kepada prestasinya. Ia mempunyai spesifikasi yang boleh dijangka untuk komputer kategori ini seperti pemproses AMD Ryzen 5 5600H dengan Radeon Graphics, RAM 8GB dan storan M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD 512GB. Untuk kegunaan harian seperti melayari internet atau menaip dokumen, komputer ini boleh menjalankannya dengan cemerlang.

    Ia juga boleh memainkan beberapa game ringan seperti game 2D atau game-game yang lebih klasik seperti Counter Strike. Malah dengan skrin OLED yang saya ulas di atas, membuatkan warna dalam game nampak lebih meriah. Semestinya dengan ketiadaan GPU yang khusus, komputer ini tidak boleh memainkan game berat tetapi ini adalah sesuatu yang boleh dijangkakan.

    Keputusan penanda aras PCMark10
    Dead Space (sebuah game dilancar pada 2008) boleh dimainkan dengan tetapan grafik sederhana

    Komputer ini mempunyai bateri berkapasiti 70WHr dan ia boleh bertahan sekitar enam jam. Ia menyokong kadar pengecasan 90W yang boleh dihubungkan pada port khasnya di bahagian kanan.

    Secara keseluruhan, saya boleh simpulkan ASUS Vivobook 15X OLED sebagai komputer riba dengan skrin tercantik yang dijual pada harga seperti ini. Kebanyakan aspek komputer ini dianggap biasa sahaja, tetapi skrinnya yang cantik membuatkannya sangat menyerlah berbanding komputer riba lain dalam kategori ini.

    Jika anda ingin tonton filem Netflix dengan kualiti secantik mungkin tanpa perlu berbelanja besar, komputer ini sesuai untuk anda. Jika anda sekadar inginkan komputer yang lebih asas, mungkin boleh lihat pada RedmiBook 15 yang lebih mampu milik.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer riba ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin OLED 15.6 inci, resolusi 2.8K (2880×1620), nisbah aspek 16:9, kadar segar semula 120Hz, kecerahan 550 nits
    • CPU AMD Ryzen 5 5600H
    • AMD Radeon Graphics
    • RAM 8GB
    • Storan M.2 NVMe™ PCIe® 3.0 512GB
    • Port: 1x USB 2.0 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 1 Type-C, 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x HDMI 1.4, 1x 3.5mm Combo Audio Jack, 1x DC-in
    • Papan kekunci chiclet dengan numpad
    • Webcam 720p dengan penutup
    • Pembesar suara SonicMaster
    • Menyokong Wi-Fi 6, Bluetooth 5
    • Bateri 70WHr, pengecasan 90W
    • Ukuran: 35.68 x 22.76 x 1.99cm | Berat 1.70kg
    • Harga: RM3,299

    Kebaikan: Skrin yang sangat cantik, harga berpatutan

    Keburukan: Rekaan yang sama seperti majoriti komputer riba

    Kesimpulan: Sesuai untuk mereka yang inginkan komputer harian tetapi masih utamakan kualiti skrin

     

    Artikel Terkini

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    GXBank: Faedah deposit 5% Savings Pockets setahun akan berakhir lebih awal

    Kepada pengguna GXBank yang ingin menikmati diskaun faedah deposit 5% Savings Pockets setahun, ketahuilah bahawa ia akan berakhir walaupun belum sampai 9...

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X