fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 13 Pro – Antara kamera telefon Android terbaik setakat ini?

    Xiaomi Malaysia telah memperkenalkan Xiaomi 13 Pro sebagai telefon pintar andalan yang terbaru untuk 2023. Selain dilengkapi spesifikasi yang standard untuk telefon kategori ini seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, pengecasan pantas 120W dan skrin AMOLED 120Hz dengan resolusi 1440p, satu perkara yang membezakannya dengan telefon andalan lain ialah ia mempunyai sensor kamera bersaiz 1 inci yang lebih besar berbanding kebanyakan sensor kamera dalam telefon dan menjanjikan kualiti imej yang jauh lebih cantik.

    Secara teori, ini membuatkan kameranya lebih mirip kepada kualiti kamera digital sebenar seperti Sony RX100 atau Canon G7X yang turut menggunakan sensor 1 inci. Jadi adakah sensor kamera ini mampu menjadikan Xiaomi 13 Pro telefon andalan terbaik pada tahun ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Licin dan berkilat

    Secara am, Xiaomi 13 Pro mempunyai rekaan yang agak bosan jika dibandingkan dengan telefon andalan lain. Ia tidak mempunyai sebarang corak yang menarik perhatian, manakala warna hitam Ceramic Black yang dipinjamkan kepada kami sekadar rata sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang pertukaran warna apabila telefon ini disengetkan.

    Ini tidak bermakna Xiaomi 13 Pro tidak mempunyai rekaan yang premium. Bahagian belakangnya dilitupi sepenuhnya dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus yang berkilauan dan pasti menghasilkan penampilan yang mewah. Ini juga bermaksud bahagian belakang telefon ini mudah dikaburkan dengan kesan cap jari, jadi saya menggalakkan anda untuk memasangkan sarung sebaik sahaja anda keluarkan telefon ini dari kotaknya.

    Bahagian belakang yang berprofil rendah
    Bonggol kamera segi empat sama dengan tiga lensa dan logo Leica

    Untuk bonggol kamera pula, Xiaomi 13 Pro mempunyai bentuk segi empat sama yang agak tebal yang berbeza daripada Xiaomi 12 Pro pada tahun lepas. Jika diletakkan di atas meja, telefon ini pasti menjadi senget dan walaupun anda sudah memakaikan sarung lutsinar yang disertakan bersama kotak telefon ini, bonggol kameranya masih tersembul keluar. Ini membuatkan Xiaomi 13 Pro telefon yang agak tebal dan mungkin kurang selesa apabila anda memasukkannya dalam poket seluar.

    Di sekeliling telefon ini pula, ia mempunyai rangka aluminium berkilauan yang bukan sahaja akan menyediakan ketahanan tertinggi, malah melengkapkan penampilan yang premium untuk keseluruhan telefon ini. Ia juga mempunyai rating kalis air IP68, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam telefon Xiaomi. Kali terakhir Xiaomi Malaysia menawarkan telefon yang mempunyai rating kalis air adalah untuk Mi 11 Ultra yang dilancar pada 2021.

    Logo Xiaomi berada di bahagian bawah

    Perlu diingati bahawa bahagian sisi Xiaomi 13 Pro adalah melengkung. Apabila digabungkan dengan permukaan keseluruhan telefon ini yang licin, ini mungkin membuatkannya sukar dipegang dalam mod landskap apabila anda mengambil gambar atau merakam video. Sekali lagi, masalah ini boleh diselesaikan dengan memakaikan sarung lutsinar pada telefon ini.

    Di bahagian kanan terdapat butang kuasa dan kawalan audio, manakala di bawah terdapat port USB-C, dulang dwi-kad SIM dan pembesar suara. Malangnya, ia tidak menawarkan slot kad mikroSD untuk membesarkan storan.

    Spesifikasi – Lengkap untuk telefon andalan 2023

    Berikut adalah spesifikasi lengkap untuk Xiaomi 13 Pro:

    • Skrin LTPO AMOLED 6.73 inci, resolusi 1440 x 3200, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 1,900 nits, kaca Gorilla Glass Victus, 1 billion warna, menyokong Dolby Vision dan HDR10+
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
    • RAM 12GB
    • Storan UFS 4.0 256GB atau 512GB
    • Kamera utama 50MP dengan sensor 1 inci + kamera telefoto 50MP + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 4,820mAh
    • Pengecasan pantas 120W, pengecasan wayarles 50W, pengecasan wayarles berbalik 10W
    • Perisian MIUI 14 berdasarkan Android 13
    • Menyokong Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3
    • Pengimbas cap jari optikal bawah skrin
    • Pembesar suara stereo
    • Pilihan warna putih Ceramic White atau hitam Ceramic Black
    Spesifikasi Xiaomi 13 Pro

    Tidak mengejutkan bahawa Xiaomi 13 Pro menawarkan semua komponen tercanggih untuk telefon pintar andalan yang dilancar pada 2023. Skrinnya boleh menghasilkan warna yang sangat cantik untuk tontonan video dan bermain game, serta kecerahan puncak sehingga 1,900 nits membuatkannya senang digunakan di bawah cahaya matahari terik.

    Skrin Xiaomi 13 Pro menawarkan resolusi sehingga WQHD+ (3200×1440), namun tetapan lalai (default setting) adalah FullHD+ (2400×1080) sahaja. Anda perlu tetapkan sendiri jika anda inginkan resolusi WQHD+ untuk kualiti imej yang lebih tajam, namun anda perlu tahu bahawa ia akan menggunakan lebih banyak tenaga bateri. Secara peribadi, saya berpendapat tidak banyak perbezaan yang ketara di antara WQHD+ atau FullHD+.

    Xiaomi 13 Pro mempunyai skrin yang sangat cemerlang
    Tetapan skrin: Kadar segar semula (kiri), resolusi (tengah) dan pewarnaan (kanan)

    Dengan kadar segar semula 120Hz, segala animasi apabila anda meleret skrin akan nampak sangat lancar. Bagi menjimatkan bateri, panel LTPO pada skrin Xiaomi 13 Pro akan merendahkan kadar tersebut kepada 1Hz apabila anda menonton sesuatu imej yang statik seperti gambar atau dokumen. Anda juga boleh menetapkan kadar ini kepada 60Hz untuk meningkatkan lagi penjimatan bateri.

    Skrin Xiaomi 13 Pro juga menempatkan sebuah pengimbas cap jari optikal dan ia berfungsi dengan sangat pantas untuk membuka skrin. Jika anda lebih gemar menggunakan pengesahan muka (face unlock), kamera swafotonya juga boleh mengimbas muka anda dengan pantas walaupun dalam situasi malap.

    Perisian MIUI 14 pula mudah digunakan untuk mereka yang sudah lama menggunakan telefon Android. Ia tidak mempunyai App Drawer jika anda leret jari ke atas, manakala jika anda leret ke bawah pula, ia akan menunjukkan notification panel mirip iOS. Jika anda letakkan jari ke sebelah kanan skrin dan leret ke bawah, anda akan mengakses ikon cepat (quick icons) dan jika anda letakkan jari ke kiri skrin, anda akan mengakses pemberitahuan aplikasi (notifications)

    Home Screen Xiaomi 13 Pro
    Notification Panels jika anda leret jari dari atas kiri, dan Quick Icons jika anda leret dari atas kanan

    Ia juga tidak didatangkan dengan jumlah perisiaan remeh (bloatware) yang banyak dan anda boleh membuangnya (uninstall) jika tidak menggunakannya. Sepanjang saya menggunakan telefon ini, saya tidak mengalami banyak masalah dengan MIUI 14.

    Untuk memori, Xiaomi Malaysia hanya menawarkan satu sahaja kapasiti RAM LPDDR5X iaitu 12GB. Ia juga boleh dibesarkan lagi secara maya dengan fungsi Memory Expansion sebanyak 3GB, 5GB atau 7GB jika anda ingin buka lebih banyak aplikasi serentak untuk multi-tugas.

    RAM boleh dibesarkan lagi sebanyak 3GB, 5GB atau 7GB

    Pembesar suara stereo pada Xiaomi 13 Pro menghasilkan kualiti bunyi yang sangat bagus dan tahap kelantangannya juga agak tinggi. Satu perkara yang saya gemari adalah kualiti bunyinya masih jelas walaupun pada tahap kelantangan maksimum.

    Prestasi – Sangat laju, kamera yang cantik

    Berikut adalah ujian penanda aras yang saya telah lakukan untuk Xiaomi 13 Pro:

    Seperti yang boleh dijangka, Xiaomi 13 Pro boleh membuka sebarang aplikasi dengan pantas, termasuklah untuk game berat seperti Genshin Impact. Saya memainkan game ini dengan tetapan grafik tertinggi dan saya boleh memainkannya dengan selesa dan kadar bingkai (frame rate) yang sekata, walaupun dalam tempoh sejam.

    Suhu telefon juga tidak menjadi terlalu panas walaupun selepas bermain game dalam tempoh yang lama, tidak seperti Snapdragon 8 Gen 1 sebelum ini. Suhunya sekadar kekal sekitar 40°C. Jadi walaupun ini bukannya telefon yang dikhaskan untuk gaming, ia masih boleh memainkan game terkini tanpa sebarang masalah.

    Tetapan grafik tinggi dalam Genshin Impact
    Perisian Game Turbo boleh diakses jika anda leret jari daripada bucu kiri atas

    Hayat baterinya juga sangat cemerlang. Dengan kapasiti sebesar 4,820mAh, ia mungkin tidak setanding dengan beberapa telefon andalan lain atau telefon gaming, namun ia masih boleh bertahan lebih daripada sehari dengan mudah. Jika anda mengaktifkan mod penjimatan kuasa atau menetapkan kadar skrin kepada 60Hz, ia mungkin boleh dilanjutkan kepada dua hari.

    Sewaktu mengecas baterinya pula, Xiaomi 13 Pro menyokong kadar pengecasan 120W yang sangat pantas. Sungguh pun begitu, untuk menikmati kadar pengecasan 120W ini, anda perlu hidupkan tetapan Boost Charging Speed kerana pada asalnya ia dimatikan. Selain itu, telefon ini hanya akan mengecas pada kadar 120W apabila skrinnya dimatikan supaya suhu telefon masih berada dalam jurang yang terkawal.

    Xiaomi 13 Pro mencatatkan Screen On Time hampir 11 jam
    Anda perlu aktifkan Boost Charging Speed (kiri) untuk dapatkan pengecasan 120W, kemudian skrin perlu dimatikan jika anda ingin kekalkan kadar 120W

    Pengecasan penuh daripada 0% mengambil masa kurang daripada 20 minit, iaitu sesuatu yang sangat menakjubkan. Suhu telefon boleh jadi agak panas sewaktu mengecas, jadi saya tidak mencadangkan anda untuk menggunakannya sambil mengecas. Di samping itu, pengecas 120W turut disertakan dalam kotak. Sewaktu banyak jenama telefon lain mula mengabaikan konsep pengecas di dalam kotak telefon, Xiaomi 13 Pro masih lagi menawarkan pengecas berkadar tinggi dan ini sesuatu yang wajib dipuji.

    Kini mari kita beralih kepada prestasi fotografi pula. Dengan sensor kamera 1 inci dan teknologi warna Leica, Xiaomi 13 Pro menjanjikan kualiti fotografi yang lebih cantik daripada para pesaingnya. Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, saya amat berpuas hati dengan gambar yang dihasilkan. Kualiti gambarnya nampak jelas dan natural seperti gambar yang diambil daripada kamera sebenar. Ini jauh lebih bermakna daripada kamera 200MP yang ditawarkan dalam Xiaomi 12T Pro sebelum ini.

    Sensor 1 inci ini juga bermaksud ia boleh menghasilkan gambar mod potret dengan efek kabur (bokeh) yang lebih kemas. Saya melihat Xiaomi 13 Pro tidak mempunyai sebarang masalah dalam memisahkan subjek dengan latar belakang, di mana pengesanan sempadan (edge detection) berfungsi dengan sangat baik dan tidak bercelaru seperti telefon lain.

    UI kamera Xiaomi 13 Pro

    Di samping itu, sensor 1 inci juga bermaksud ia boleh mengambil lebih banyak cahaya ke dalam sensornya untuk kualiti gambar waktu malam yang lebih jelas. Saya berpuas hati dengan gambar yang diambil dalam Night Mode, di mana ia tidak mempunyai pemprosesan yang terlalu ketara dan noise juga tidak begitu jelas.

    Untuk zum, ia boleh zum secara digital sehingga 70x, namun saya berpendapat kualiti gambar hanya cantik setakat zum 10x sahaja. Jika anda zum lebih jauh daripada itu, kualiti gambar akan mula nampak pecah dan tidak sesuai digunakan.

    Video pula boleh diambil dengan sangat cantik, dengan resolusi sehingga 8K pada kadar bingkai 24fps. Sungguh pun begitu, video pada kamera swafoto hanya boleh diambil pada resolusi maksimum 1080p sahaja, iaitu sesuatu yang sangat menghampakan untuk telefon kategori ini. Kebanyakan telefon andalan sudah menawarkan rakaman swafoto dalam resolusi 4K sejak beberapa tahun lalu, ketiadaan fungsi ini dalam Xiaomi 13 Pro menjadikan kamera ini tidak sesuai untuk mereka yang suka merakam diri sendiri untuk vlog atau media sosial.

    Kesimpulan – Kamera telefon Android terbaik setakat ini

    Dengan kamera yang dilengkapi sensor 1 inci, saya berpendapat bahawa Xiaomi 13 Pro adalah antara kamera telefon yang terbaik setakat ini untuk pasaran Malaysia. Telefon lain mungkin boleh menewaskannya daripada segi rekaan dan prestasi, namun aspek fotografi adalah keistimewaan utama untuk Xiaomi 13 Pro. Jika anda mengutamakan kualiti gambar dalam telefon anda, ini adalah telefon pintar yang harus diberi perhatian serius.

    Harganya yang bermula daripada RM4,599 adalah sangat mahal, namun dengan harga tersebut, anda boleh menikmati kamera yang terbaik dalah sebuah telefon pintar setakat ini. Jika anda inginkan telefon dengan lebih banyak fungsi, Samsung Galaxy S23 Ultra (RM5,699) menawarkan stilus yang akan memudahkan anda menulis nota dan melakukan banyak fungsi produktiviti. Untuk mereka yang sekadar mengutamakan prestasi gaming sahaja, iQOO 11 5G (RM3,499) adalah telefon gaming pertama yang dilengkapi Snapdragon 8 Gen 2 dan dijual pada harga lebih murah berbanding Xiaomi 13 Pro. OnePlus 11 5G (RM3,299) juga menawarkan kamera yang menarik, terutamanya dengan teknologi yang dibina daripada Hasselblad.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X