Apple melaporkan bahawa teknologi kecerdasan buatannya (AI), Apple Intelligence, mungkin tidak akan dilancarkan dalam negara-negara Kesatuan Eropah (EU) pada tahun ini. Syarikat teknologi tersebut mengatakan Akta Pasaran Digital (DMA) EU meletakkan kekangan yang ketat bagi mengawal semua platform dalam talian dan mengelakkan sikap anti-persaingan dalam kalangan syarikat teknologi.
Menurut Apple, DMA mahu syarikat pihak ketiga diberi kebenaran bersama-sama (interoperability) untuk menggunakan perkhidmatan Apple, termasuklah Apple Intelligence. Apple mengatakan akta ini boleh menjejaskan isu keselamatan siber dan privasi maklumat buat para penggunanya.
Sementara itu, jurucakap EU membidas kenyataan Apple itu dengan mengatakan setiap perniagaan dialu-alukan untuk beroperasi di Eropah, namun perniagaan itu harus mematuhi undang-undang EU bagi menjamin persaingan yang sihat.
Apple masih tidak memperincikan fungsi spesifik dalam Apple Intelligence yang bertentangan dengan DMA. Jika anda tidak tahu mengenai Apple Intelligence, ia merupakan beberapa alatan AI generatif yang memudahkan penggunaan harian seperti iPhone Mirroring, SharePlay Screen Sharing, Siri yang dinaik taraf, Genmoji yang boleh jana emoji unik, penjanaan teks dan banyak lagi.
Anda boleh tahu lebih lanjut mengenai Apple Intelligence dalam artikel ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Apple Intelligence dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge






