CelcomDigi mengumumkan pengenalan pas perayauan (roaming) antarabangsa baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM10 untuk pelanggan prabayar dan RM30 untuk pelanggan pascabayar. Penawaran ini meliputi sehingga 95 destinasi di seluruh dunia tanpa sebarang komitmen pelan minimum.
Menerusi struktur baharu, pas perayauan dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Singapura, Indonesia dan Thailand, zon Asia serta seluruh dunia. Setiap pelan membolehkan pengguna menggunakan satu pas yang sama di pelbagai negara mengikut zon yang dipilih. Selain itu, semua pas perayauan kini didatangkan dengan kuota panggilan percuma sehingga 30 minit untuk panggilan ke Malaysia atau panggilan dalam negara destinasi.

Bagi pelanggan prabayar, pas perayauan RM10 menyediakan kuota data kelajuan tinggi tetap bersama pilihan untuk menambah data jika diperlukan. Manakala bagi pelanggan pascabayar, pas perayauan 5G tanpa had ditawarkan bermula harga RM30. CelcomDigi turut menawarkan pas bulanan berulang bermula RM20 dengan kontrak atau RM40 tanpa kontrak untuk pengguna yang kerap bergerak ke luar negara.
Pengguna boleh membuat tempahan pas perayauan sehingga 14 hari sebelum tarikh pelepasan menerusi aplikasi CelcomDigi. Perkhidmatan roaming 5G juga disokong di destinasi terpilih tanpa perlu menukar kad SIM atau memasang profil eSIM. Pembelian boleh dilakukan secara terus sewaktu berada di luar negara dengan menekan kod *800#.
Pelanggan pelan CelcomDigi Postpaid 5G 120 dan ke atas turut layaknya menerima potongan harga 50% untuk pas perayauan terpilih. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







