fbpx
More

    Fon telinga istimewa khas untuk pengguna peranti Samsung – Ulasan Samsung Galaxy Buds Pro

    Pada bulan Januari lalu, selain dari siri telefon Galaxy S21, Samsung juga turut melancarkan fon telinga wayarles terbaru mereka iaitu Galaxy Buds Pro. Jika kita lihat pada tahun lalu, Samsung telah melancarkan dua fon telinga wayarles mereka iaitu Galaxy Buds+ dan juga Galaxy Buds Live. Berbeza dengan dua fon telinga tersebut, Galaxy Buds Pro hadir dengan pelbagai ciri baharu yang mampu memberikan pengalaman pendengaran yang lebih memuaskan. Dengan harga RM799, ini ulasan yang kami boleh berikan untuk fon telinga premium dari Samsung ini.

    Pertama sekali kita ulas reka bentuknya dahulu. Dari luar, bekas pengecasnya dilihat hampir sama seperti bekas pengecas yang digunakan oleh Galaxy Buds Live. Namun, reka bentuk fon telinga yang terletak di dalamnya adalah jauh berbeza dengan Galaxy Buds Live. Fon telinga Galaxy Buds Pro ini menggunakan reka bentuk ke dalam (plug-in) yang memastikan pendengaran bunyi yang lebih jelas dan lebih memuaskan.

    Apa yang anda dapat dalam kotak
    Reka bentuk fon telinga ke dalam
    Permukaan sentuhan yang berkilat
    Tip tambahan dengan saiz yang berbeza

    Setelah menggunakan Galaxy Buds Pro selama beberapa hari, kami merasakan ianya sangat selesa untuk dipakai dan tidak mudah jatuh sekiranya anda menggerakkan kepala anda dengan pantas (kami sudah mencuba menghentak kepala dengan laju, masih lagi melekat di telinga). Anda mungkin perlu menanggal dan memasang semula fon telinga ini setelah menggunakannya selama beberapa jam tanpa henti untuk mendapat keselesaan telinga dan pengudaraan yang lebih baik.

    Reka bentuk luaran fon telinga ini mempunyai permukaan yang berkilat. Pemukaan kilat ini adalah kawasan sesentuh yang membolehkan anda menaikkan suara, menukar mod bunyi serta memanggil pembantu seperti Google Assistant dan Bixby. Untuk kawasan sentuhan ini, kami merasakan ianya terlebih sensitif dan kami sering kali secara tidak sengaja berhentikan lagu sewaktu ingin mengubah kedudukan peranti ini di telinga. Untuk mengawal ciri yang ada pada fon telinga ini, anda perlu memuat turun aplikasi Galaxy Wearables di Google Play Store.

    Selesa untuk digunakan dan tidak mudah tertanggal

    Ciri utama Galaxy Buds Pro ini adalah ciri pembatalan hingar aktif pintar (Intelligent Active Noice Cancellation). Kami merasakan fon telinga ini mampu untuk membatalkan bunyi latar belakang dengan baik terutamanya dalam kawasan yang tertutup. Untuk kawasan terbuka dengan latar belakang yang berbunyi kuat, ia tidak mampu untuk membatalkan kesemua bunyi itu. Jika dibandingkan dengan fon telinga jenama pesaing yang hadir dengan ciri ANC, ia boleh dikatakan sedikit lemah. Namun, ianya cukup baik untuk penggunaan harian dan ciri ini semestinya dapat membuatkan anda mendengar audio dengan lebih jelas.

    Jika anda tidak menggunakan ciri pembatalan hingar ini, anda akan menggunakan mod bunyi ambien secara automatik. Bunyi ambien ini membolehkan anda mendengar bunyi luar seakan-akan seperti anda tidak memakai sebarang peranti di telinga. Anda akan merasakan sedikit kejanggalan kerana bunyi ambien ini tidak begitu natural dan berbunyi seperti anda sedang mendengar audio ambien dari sebuah video. Namun, anda akan perasan perkara ini pada awal penggunaan sahaja. Setelah beberapa hari menggunakannya, bunyi ambien tidaklah terasa jauh berbeza dari bunyi suasana sebenar.

    Anda boleh mengawal kekuatan bunyi ambien dan ini adalah ciri yang paling pelik dari peranti ini. Siapa yang mahu mendengar bunyi ambien dengan lebih kuat? Anda boleh memilih tetapan tinggi untuk bunyi ambien dan anda dapat mendengar perbualan kawan anda bergosip dengan lebih jelas. Mungkin ciri ini dapat membantu pengguna yang mempunyai masalah pendengaran.

    (Kiri) Aplikasi Galaxy Wearable, (Tengah & Kanan) Tetapan dalam aplikasi Galaxy Wearables

    Yang menarik, peranti ini hadir dengan ciri pengesanan suara. Sekiranya anda mengaktifkannya, bunyi dari fon telinga ini akan menjadi sangat perlahan apabila anda bercakap sesuatu (Contoh situasi: Kawan anda datang menegur, anda boleh berbual sebentar tanpa perlu mengeluarkan peranti dari telinga). Kami merasakan ciri ini sangat baik dan ianya adalah antara kekuatan fon telinga ini. Namun begitu, berdasarkan pengalaman kami, ia hanya akan perlahankan bunyi selepas satu atau dua saat selepas bercakap (mungkin sedikit lambat) dan akan mengembalikan bunyi ke paras asal selepas 10 saat dari waktu kami berhenti bercakap.

    Selain itu, Galaxy Buds Pro juga hadir dengan ciri 360 Audio yang dapat diaktifnya sekiranya anda menggunakan telefon pintar jenama Samsung dan sewaktu menonton video sahaja (tidak berfungsi sewaktu mendengar lagu). Ciri khas Samsung ini dapat memberikan bunyi yang lebih jelas dan anda akan terasa seperti anda sedang melihat video dari sebuah televisyen. Jika anda toleh kepala anda menghadap ke kanan, kebanyakan bunyi akan dikeluarkan pada fon telinga belah kiri. Sangat menarik!

    Untuk kualiti bunyinya, ia dapat memberikan bunyi yang jelas, kuat dan sedap didengari. Anda boleh mengubah tetapan equalizer bersesuaian dengan audio yang anda sedang dengari. Tetapan bass boost sememangnya memuaskan dengan bass yang kuat dan mendalam. Manakala tetapan clear pula sangat sesuai sekiranya anda ingin mendengar podcast atau pembualan kawan anda di aplikasi Clubhouse.

    Galaxy Buds Pro ini mempunyai bateri yang cukup baik untuk penggunaan harian anda. Berdasarkan pengalaman kami, ia mampu bertahan selama lima ke enam jam dengan ciri pembatalan hingar diaktifkan manakala tujuh ke lapan jam jika anda menggunakan mod bunyi ambien sahaja. Bekas pengecasnya juga dapat memberikan tambahan 10 ke 12 jam pengunaan. Anda juga dapat mengecas bekas pengecasnya secara wayarles dengan peranti andalan Samsung seperti Samsung Galaxy S21 Ultra.

    Bekas Buds Pro dicas oleh Galaxy S21 Ultra

    Sekira anda risau fon telinga ini tercicir atau terjatuh di bilik anda, anda boleh mengesannya dengan ciri Find My Earbuds. Ciri ini dapat mengesan lokasi terakhir (hanya untuk telefon pintar Samsung) dan dapat mengeluarkan bunyi seperti burung berkicauan untuk memudahkan anda mencarinya. Tambahan lagi, Galaxy Buds Pro ini juga hadir dengan ciri kalis air dan habuk IPX7 iaitu tahap kalis yang tertinggi jika dibandingkan dengan fon telinga jenama lain. Kini, anda tidak perlu risau jika anda ingin menggunakannya sewaktu bersenam ataupun jika terjatuh ke lopak air.

    Satu ciri yang menarik ialah anda boleh mengubah audio dari satu peranti Samsung ke peranti Samsung yang lain tanpa menyentuh skrin dengan ciri Auto Switch. Untuk menggunakan ciri ini, kesemua peranti Samsung anda perlulah mengemas kini perisian yang terkini (One UI 3.1 ke atas).

    (Kiri & tengah) Ciri Find My Earbuds untuk pengguna telefon Samsung, (Kanan) Ciri Find My Earbuds untuk pengguna telefon Android jenama lain

    Secara menyeluruh, Galaxy Buds Pro adalah sebuah fon telinga Samsung yang agak lengkap dari segala aspek, bateri yang tahan lama, ciri kalis air yang baik, bunyi yang sedap dan mempunyai pelbagai ciri istimewa yang menarik. Mungkin satu kelemahan besar peranti ini adalah ia tidak mempunyai aplikasi yang direka khas untuk pengguna telefon pintar Apple. Aplikasi Samsung Galaxy Buds di App Store tidak menyokong Galaxy Buds Pro dan ini bermakna anda tidak dapat mengawal tetapan fon telinga ini. Namun, anda masih dapat menyambungkannya ke peranti Apple. Mungkin ini adalah langkah yang dibuat oleh Samsung untuk meraikan pengguna telefon pintar jenamanya.

    Jika anda ingin mencari fon telinga lain, anda boleh lihat pada Apple AirPods Pro yang berharga RM1,299 dan ianya mempunyai pembatalan hingar yang kebih baik dari Galaxy Buds Pro ini. Dengan harga RM799, ianya memang berbaloi untuk dibeli terutamanya oleh pengguna telefon pintar Samsung.

    Spesifikasi dan ciri teknologi Samsung Galaxy Buds Pro

    • Sokong Bluetooth 5.1
    • Berat: fon telinga (6.3g), bekas pengecas (44.9g)
    • Codecs: AAC, SBC, profil: HFP, A2DP, AVRCP
    • Pembesar suara 2 arah (11mm Woofer & 6.5mm Tweeter)
    • Cipset: BCM 43015
    • Sokong peranti Android perisian Android 7.0 atau lebih, dengan RAM 1.5 ke atas
    • Bateri: 3 min cas (30 minit penggunaan), 5 jam (dengan ANC), 8 jam (tanpa ANC)
    • Pilihan warna: Phantom Violet (ungu), Phantom Black (hitam), Phantom Silver (perak)

    Kelebihan: Reka bentuk menawan, kualiti audio yang sangat baik dengan pelbagai ciri istimewa

    Kelemahan: Pembatalan hingar tidak sehebat pesaing, banyak ciri yang dikhaskan untuk pengguna telefon pintar Samsung

    Kesimpulan: Fon telinga yang lengkap dari pelbagai aspek. Berbaloi untuk dibeli terutamanya pengguna telefon pintar Samsung.

    Adakah anda salah satu dari pengguna peranti ini? Beritahu kami ulasan anda pula di laman Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X