Selepas pelancarannya di China pada minggu lalu, kini HONOR Malaysia mengumumkan bahawa telefon lipat terbaru HONOR Magic V5 akan tiba dalam pasaran Malaysia pada hari Selasa, 15 Julai 2025. Telefon ini telah melakar sejarah sebagai telefon lipat ternipis dalam dunia setakat ini, dengan kenipisan 4.1mm sahaja apabila skrinnya dibuka dan 8.8mm apabila ia dilipat.
Dengan ketebalan 8.8mm apabila dilipat, ini membuatkannya hampir sama seperti telefon pintar biasa. Apabila skrinnya dibuka pula, ia mempunyai kenipisan yang serupa dengan syiling 50 sen atau tiga keping kad bank sahaja.
Skrinnya pula menggunakan teknologi bendalir bukan Newtonian bagi melindunginya daripada kesan retak akibat hentakan pada permukaan yang keras. Ia juga mempunyai Perlindungan NanoCrystal Anti-Calar HONOR yang boleh mengelakkan calar daripada kunci, syiling atau objek tajam.






Engselnya pula telah direka khas supaya ia menahan berat sehingga 35 kilogram. HONOR Malaysia telah pun membuktikan kenyataan ini dengan menggantungkan dumbbell seberat 35 kilogram sewaktu acara taklimat bersama media. Ia juga mampu bertahan sehingga 500,000 kali lipatan.
Untuk ketahanan lebih lanjut, ia turut mempunyai rating kalis air IP58 dan IP59 yang bermaksud ia boleh ditenggelami air.


Meskipun dengan reka bentuk yang sangat nipis, HONOR tidak berkompromi terhadap spesifikasi dan fungsi-fungsi yang ditawarkan. Ia mempunyai bateri besar berkapasiti 5,820mAh yang boleh tahan sehingga sehari, walaupun dengan penggunaan intensif.
Bateri ini menyokong kadar pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge yang boleh mengecas penuh dalam masa 40 minit. Selain itu, ia menyokong kadar pengecasan wayarles 50W.
Untuk fotografi, ia mempunyai kamera telefoto periskop yang boleh zum digital sejauh 100x, menjadikannya kamera telefoto yang terbaik untuk telefon lipat. Gambar yang dizum jauh akan diproses dengan kecerdasan buatan (AI) bagi mencantikkan butiran yang kabur. Ia turut mempunyai fungsi suntingan gambar berdasarkan AI seperti AI Cutout, AI Eraser, AI Outpainting dan AI Upscale.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan HONOR Magic V5 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






