Selain pelancaran MatePad Pro 12.2″ (2025), HUAWEI Malaysia hari ini turut memperkenalkan FreeBuds 6 iaitu fon telinga open-fit generasi baharu yang menampilkan rekaan ergonomik lebih ringan, kualiti bunyi premium dan teknologi pintar untuk pengalaman audio lebih selesa.
FreeBuds 6 menampilkan sistem dwi-pemacu 11mm dengan teknologi Bass Turbo 2.0 yang menawarkan bunyi lebih mendalam dan seimbang tanpa menutup saluran telinga. Apabila disegerakkan dengan HUAWEI Mate X6, ia menyokong audio lossless sehingga 2.3 Mbps menerusi codec L2HC 4.0 yang membolehkan main balik resolusi tinggi 48kHz/24-bit secara wayarles.



Untuk panggilan, fon telinga ini menyokong panggilan senyap dua hala, membuang hingar persekitaran sehingga 95dB dan berfungsi walaupun dalam kelajuan angin sehingga 8m/s. Ia boleh digunakan dengan selesa walaupun anda berjalan, berbasikal perlahan atau berada di kawasan berangin terbuka seperti pantai atau kawasan lapang.
Daripada segi ketahanan, pengguna boleh menikmati sehingga 36 jam masa main balik dengan bekas pengecas dan hanya 5 minit pengecasan cukup untuk 2.5 jam penggunaan. FreeBuds 6 turut menyokong sambungan dua peranti serentak serta kawalan gerakan kepala pintar seperti angguk untuk jawab panggilan, geleng untuk tolak.




Dengan berat hanya 4.9g untuk sebuah fon telinga, rekaannya kini 12% lebih kecil dan hadir dalam tiga warna iaitu Ungu, Putih dan Hitam. Dijual pada harga RM699 mulai 24 Jun 2025, pembelian awal disertakan hadiah percuma bernilai RM327. Ia tersedia di semua HUAWEI Experience Stores, laman rasmi Huawei serta kedai atas talian rasmi di Shopee, Lazada dan TikTok.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







