Apple dikhabarkan bakal memperkenalkan beberapa peningkatan besar pada model iPhone 17 Pro khususnya dalam aspek kamera. Menurut sumber yang mendakwa mempunyai maklumat daripada penggambaran iklan komersial iPhone 17 Pro, peranti ini akan menampilkan ciri-ciri kamera baharu yang belum pernah dilaporkan sebelum ini.
Walaupun maklumat ini belum dapat disahkan, namun antara ciri utama yang didakwa termasuk sistem kamera telefoto baharu dengan keupayaan zoom optik sehingga 8× berbanding 5× pada model iPhone 16 Pro. Lensa tersebut dikatakan boleh bergerak, membolehkan zoom optik berterusan merentas pelbagai jarak fokus secara lancar.

Apple turut dikatakan sedang membangunkan aplikasi kamera profesional baharu untuk rakaman foto dan video yang bakal bersaing dengan aplikasi seperti Halide, Kino dan Filmic Pro. Walau bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memastikan sama ada aplikasi ini akan eksklusif untuk model Pro sahaja atau merupakan kemas kini besar kepada aplikasi Final Cut Camera sedia ada.
Sumber turut mengatakan bahawa iPhone 17 Pro akan hadir dengan butang tambahan khas untuk kawalan kamera terletak di bahagian atas peranti. Ia akan melengkapkan butang kamera sedia ada di penjuru bawah kanan seperti pada siri iPhone 16. Dalam aspek reka bentuk, peranti ini dikatakan akan menampilkan warna baharu seakan tembaga dan logo Apple dialihkan ke bahagian tengah.
Reka bentuk semula sistem kamera belakang serta penggunaan tiga sensor 48MP dijangka akan mengukuhkan lagi keupayaan rakaman video iPhone 17 Pro. Malah, Mark Gurman sebelum ini melaporkan bahawa Apple akan memberikan penekanan khas kepada fungsi rakaman video untuk model 2025 dengan sasaran menarik perhatian komuniti vlog dan pencipta kandungan video.
Tambahan, sumber lain mendedahkan bahawa aplikasi kamera baharu akan menyokong rakaman serentak menggunakan kamera hadapan dan belakang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors






