fbpx
More

    Ulasan iPhone 16 Pro – Satu lagi iPhone tahunan, tapi dengan satu kekurangan besar

    Kini sudah pun lebih sebulan sejak siri iPhone 16 dilancar untuk para pelanggan di seluruh dunia dan kami berpeluang untuk menggunakan telefon ini selama lebih kurang dua minggu. Walaupun dengan tempoh sedemikian, kami berpendapat ia sudah cukup untuk mengarang ulasan penuh mengenai iPhone 16 Pro.

    Malah, berdasarkan pengalaman kami mengulas model-model iPhone sebelum ini, iPhone 16 Pro mengambil masa yang paling singkat. Tanpa membuang masa lagi, ayuh baca ulasan ini yang telah ditulis oleh pengarang TechNave Bahasa Inggeris.

    Rekaan – Sama, cuma lebih banyak butang

    Setiap tahun, cerita yang sama – iPhone baharu nampak sama seperti model tahun sebelumnya. iPhone 16 Pro mengekalkan falsafah ini, namun dengan beberapa penambahan baharu. Saiz lensa kameranya lebih besar sedikit, saiz skrinnya kini dibesarkan kepada 6.3 inci daripada 6.1 inci pada iPhone 15 Pro, dan yang paling baharu adalah butang Camera Control yang hangat diperkatakan oleh semua orang.

    Secara jujur, saya fikir Desert Titanium akan kelihatan lebih keemasan daripada warna sebenar
    Kawalan Kamera baharu bersama butang kuasa (kiri) dan dulang sim, butang aksi beserta butang kawalan kelantangan (kanan)
    Kanta kamera ialah THICC

    Secara jujur, pada mulanya saya berpendapat Apple akan memperkenalkan rekaan tanpa sebarang port (portless) untuk siri iPhone 16 kerana sebelum ini mereka telah membuang bicu audio 3.5mm, memperkenalkan pengecasan wayarles magnetik MagSafe dan memperkenalkan Action Button (dikhabar akan menjadi butang sentuhan haptik pada masa hadapan) dalam siri iPhone 15. Sebaliknya, Apple memutuskan untuk memperkenalkan satu butang lagi, Camera Control, kerana nampak seperti Action Button sahaja tidak cukup untuk mereka.

    Sepanjang saya menggunakan Camera Control, ia mengingatkan saya kepada siri telefon pintar Sony Xperia yang sudah lama mempunyai butang shutter khas untuk fotografi. Jelasnya, Apple bukanlah syarikat pertama yang memperkenalkan konsep ini, namun anda boleh katakan bahawa iPhone 16 menambah baik butang kamera dengan menyertakan kawalan sentuh (gesture controls) dan interaksi dengan skrin. Jadi adakah ia mempunyai nilai guna yang tinggi?

    Spesifikasi – Tiada “Glow Time”

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk iPhone 16 Pro:

    • Cipset A18 Pro
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman 128GB, 256GB, 512GB atau 1TB
    • Ukuran 149.6 x 71.5 x 8.3mm, berat 199g
    • Skrin Super Retina XDR 6.3 inci, teknologi ProMotion 120Hz
    • Kamera utama Fusion (OIS) 48MP + kamera ultra-lebar 48MP + kamera telefoto/TOF 3D 120mm dengan sensor LiDAR
    • Kamera hadapan 12MP (PDAF dan OIS)
    • Fungsi tambahan: Camera Control, Action Button, Face ID, Emergency SOS, rating kalis air dan debu IP68, rakaman 4K 120fps, Dolby Vision, ProRAW
    • Menyokong rangkaian 5G, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6e/7, Bluetooth 5.3, NFC
    • Port USB Type-C 3.2
    • Bateri 3,582mAh
    • Pengecasan pantas 45W, pengecasan wayarles MagSafe 25W

    Kembali kepada topik Camera Control, nilai penggunaannya bergantung kepada kesanggupan anda untuk menyesuaikan diri. Untuk pengguna iPhone seperti saya yang sudah menggunakannya sejak bertahun-tahun, saya mengaku yang agak susah untuk saya membiasakan diri dengan butang kamera ini. Saya mendapati kedudukannya diletakkan pada tempat yang agak kekok untuk disentuh oleh jari sewaktu saya memegang iPhone 16 Pro dalam orientasi menegak atau mendatar, atau mungkin kerana jari saya sendiri yang pendek.

    Anda boleh menggunakan ibu jari untuk menggunakan Kawalan Kamera tetapi ia rasa agak tidak selesa
    Tekan separuh dan tahan Kawalan Kamera untuk mengakses mod, kemudian luncurkan untuk mendapatkan tetapan yang diingini
    Untuk mengakses mod lain, tekan separuh dua kali dan luncur di sepanjang pilihan
    Anda juga boleh menetapkan Kawalan Kamera kepada tugas lain yang berbeza (kiri) dan menukar format imej (kanan)

    Tambahan lagi, pengguna baharu perlu membiasakan diri dengan menekan dua kali secara lembut untuk mengakses lain-lain mod gambar atau tetapan kamera dengan cepat. Dengar sahaja macam menarik kerana penggemar fotografi telefon boleh pra-tetapkan mod kamera dan ambil gambar sepanjang hari. Namun, saya meramalkan majoriti pengguna hanya akan menggunakan Camera Control untuk membuka aplikasi kamera dan mengambil gambar dengan cepat. Saya berpendapat ia lebih sukar digunakan dalam posisi menegak kerana ibu jari saya berada pada kedudukan yang agak aneh.

    Secara peribadi, saya merasakan fungsi Camera Control ini agak berlebihan. Sebagai contoh, saya boleh membuat zum dengan lebih pantas jika saya gunakan gerakan jari “mencubit” pada skrin, kemudian menukar penapis (filter) kamera dengan UI pada skrin dengan lebih pantas, berbanding menukarnya pada gerakan jari dengan Camera Control. Mungkin Apple boleh menambah baik butang ini dengan Apple Intelligence apabila ia ditawarkan kepada pengguna nanti.

    Mod kamera utama ditetapkan kepada 24mm dan anda boleh menukar kepada 28 atau 35mm
    Tetapan nada sebelum mengambil gambar sangat berguna
    Mod Video Sinematik terbaik untuk juruvideo. Sebaliknya, Mod Spatial hanya layak untuk Apple Vision Pro

    Bercakap tentang Apple Intelligence, sewaktu ulasan ini dibuat, semua varian iPhone 16 masih belum menerimanya, walaupun ia merupakan ciri yang paling dihebahkan oleh Apple sewaktu pelancarannya dengan cogan kata “It’s Glow Time”. Kami akan buat ulasan khas untuk Apple Intelligence apabila ia tiba kelak, tetapi buat masa ini… tiada “Glow Time”.

    Prestasi – Bateri tahan lama, prestasi kamera yang bagus

    Daripada segi fungsi yang ditawarkan, iPhone 16 Pro nampak seperti tidak banyak yang baru, tetapi usah risau kerana ia masih lagi sebuah peranti yang berprestasi tinggi. Seperti cip A18 Bionic yang terdapat pada iPhone 16 standard dan iPhone 16 Plus, cip A18 Pro pada iPhone 16 Pro merupakan SoC 3nm generasi kedua dengan enjin neural 16 teras dan CPU enam teras yang lebih pantas sebanyak 15 peratus dan lebih cekap tenaga sehingga 20 peratus berbanding iPhone 15 Pro.

    Resident Evil 4 Remake pada iPhone 16 Pro agak mengujakan tetapi disyorkan dengan pengawal permainan
    Ayuh Ubisoft!

    Perbezaan antara A18 Pro dengan A18 adalah GPU enam teras yang lebih pantas sebanyak 20 peratus, menawarkan prestasi Ray Tracing sebanyak 2x dan seksyen Advanced Media untuk encoder video baharu, kelajuan USB yang lebih pantas dan lain-lain fungsi canggih.

    Umum diketahui bahawa sejak iPhone 15 Pro, telefon itu mampu memainkan game yang ditawarkan dalam konsol gaming. Kenyataan itu sahaja sudah menggambarkan prestasi yang tinggi, namun pembina game ini mungkin boleh membuat kerja yang lebih baik. Apabila saya memainkan Assassin’s Creed Mirage dan Resident Evil 4 Remake, jelas sekali tahap grafik game-game ini telah diturunkan berbanding versi konsol. iPhone 16 Pro juga akan menjadi panas apabila bermain game ini dan jika anda letakkan tetapan grafik tertinggi, anda harus jangkakan crash yang akan berlaku kadang-kala.

    (Kiri) Saya boleh melakukan rakaman video berjam-jam sehingga waktu petang; (Kanan) Mudah digunakan sepanjang hari sebelum dicas semula
    Pengecasan semula agak pantas tetapi saya tidak mempunyai palam pengecasan 45W bersama saya, jadi ia mungkin lebih pantas

    Sudah tentu jika anda bermain game yang memang dibina untuk peranti mudah alih (seperti Diablo Immortal, COD Mobile), iPhone 16 Pro menghasilkan prestasi yang sangat bagus. Satu lagi aspek cemerlang pada telefon ini adalah hayat baterinya. Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan beberapa pengguna iPhone 16 mengalami masalah bateri yang cepat habis, namun saya sendiri tidak mengalaminya, walaupun dengan kemas kini iOS 18.

    iPhone 16 Pro saya boleh bertahan selama sehari dengan selesa. Dalam satu contoh, saya merakam video secara berterusan selama dua jam, kemudian baterinya masih boleh bertahan sehingga hari seterusnya. Saya juga pernah mengalami penggunaan selama dua hari, dengan penggunaan yang biasa sahaja. Jelasnya, prestasi bateri iPhone 16 Pro adalah salah satu ciri terbaik pada telefon ini.

    Satu lagi ciri utama pada telefon ini adalah kameranya. Jika dibandingkan dengan iPhone 15 Pro, fungsi fotografi iPhone 16 Pro adalah lebih bagus dan diperbaharui. Kamera ultra-lebarnya telah dipertingkatkan (akhirnya) kepada sensor 48MP dan boleh menghasilkan imej gambar ProRAW dan HEIF. Selain itu, anda juga boleh aktifkan sensor yang mengukur jarak secara milimeter pada kamera utama, jika anda tidak ingin gunakan zum-in secara optikal.

    Lebih-lebih lagi, anda boleh rekod video 4K 120FPS dengan Dolby Vision, satu fungsi yang amat dihargai oleh perakam video. Isteri saya yang tidak menggunakan iPhone pun boleh melihat kualiti gambar dan video yang lebih bagus berbanding bukan iPhone. Saya tidak akan membuang masa menghuraikan lagi kualiti kameranya, anda boleh lihat sendiri contoh gambar di bawah.

    Lampu latar pada foto ini telah banyak dipertingkatkan
    Beberapa fotografi jalanan
    Menggunakan Kawalan Kamera untuk mengambil gambar semasa separa tenggelam
    Anda boleh melakukan tangkapan gambar ketika menyelam dengan Kawalan Kamera
    Mod ultralebar dalam nisbah bidang 4:3
    Tangkapan biasa dengan kamera utama
    Kadangkala kamera akan mengeluarkan nada yang berbeza dari sudut yang berbeza walaupun ia berada di tempat yang sama
    Tangkapan makro
    Tangkapan zum optik 1x, 2x dan 5x
    Satu lagi tangkapan zum optik 5x
    Tangkapan cahaya malap dengan kamera utama

    Kesimpulan – Produk yang bagus, tetapi…

    Secara keseluruhan, iPhone 16 Pro adalah peranti andalan (flagship) yang memang dijangka daripada Apple. Jika anda gunakan iPhone lama (14 dan ke bawah), ini adalah satu naik taraf yang besar, terutamanya pada aspek hayat bateri dan prestasi kamera. Saiznya juga besar sedikit dan harganya pula lebih murah jika dibandingkan dengan iPhone 15 Pro, dengan harga bermula RM4,999. Sungguh pun begitu, ada satu perkara yang saya ingin ketengahkan untuk perbandingan antara iPhone 16 Pro dengan iPhone 15 Pro.

    Jika anda tonton pelancaran siri iPhone 16, Apple sangat mengiklankan fungsi Apple Intelligence terutamanya dengan tema Glow Time. Jadi bayangkan perasaan seorang pelanggan iPhone 16 yang ingin mencuba Apple Intelligence, namun pada hakikatnya ia masih belum ditawarkan dalam siri telefon ini. Ini merupakan langkah yang agak angkuh daripada Apple, kerana sebelum ini mereka selalunya mengumumkan fungsi yang sudah lengkap apabila peranti mereka dijual. Apakan daya, inilah keadaan semasa untuk iPhone 16 dan anda perlu tunggu sedikit lagi jika Apple Intelligence menjadi keutamaan anda.

    Semua nampak sempurna tetapi di manakah AI?

    Tanpa Apple Intelligence, iPhone 16 Pro sebenarnya serupa dengan iPhone 15 Pro, melainkan pada butang Camera Control yang saya rasakan bukanlah sesuatu yang penting untuk pelanggan. Saya tidak pasti jika Camera Control ini mempunyai fungsi yang lebih banyak apabila Apple Intelligence tiba kelak, jadi saya perlu membuat ulasan lanjut apabila kemas kini untuk Apple Intelligence ditawarkan.

    Sebagai perbandingan, pelanggan yang inginkan telefon andalan dengan fungsi AI yang sudah lengkap boleh pertimbangkan Samsung Galaxy S24 Ultra (bermula RM6,299) atau Google Pixel 9 Pro XL (bermula RM5,699). Dua telefon ini lebih mahal berbanding iPhone 16 Pro, namun sekurang-kurangnya ia sedia dengan fungsi AI terkini. Lebih-lebih lagi, anda pasti boleh dapatkan diskaun atau promosi untuknya dengan promosi akhir tahun yang akan menjelang tidak lama lagi.

    Itu sahaja ulasan kami untuk iPhone 16 Pro, nantikan juga ulasan iPhone 16 dalam masa terdekat. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Imej janaan Google Pixel 9a tertiris, dedahkan rekaan baharu dan kamera 48MP

    Google Pixel 9a dijangka dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang dengan rekaan peranti ini telah didedahkan melalui imej janaan. Imej sebenar telefon...

    Tablet “gaming” OPPO X8 Pad akan tampilkan cipset Dimensity 9400

    Selepas pelancaran siri Find X8 di China bulan lalu, OPPO kini dilaporkan mungkin memperkenalkan tablet dalam siri X buat pertama kali. Menurut...

    Zeekr 009 dan Zeekr X rasmi di Malaysia, pecutan 0-100km/j dalam 4.5 saat bermula...

    Jenama EV premium Geely, Zeekr, secara rasmi telah melancarkan dua model elektrik baharu di Malaysia dengan MPV mewah Zeekr 009 dan SUV...

    OnePlus umum penyelesaian isu garisan hijau pada paparan AMOLED

    OnePlus hari ini melancarkan program baharu untuk menangani masalah garisan hijau yang sering berlaku pada model paparan AMOLED mereka. Dikenali sebagai OnePlus...

    realme Malaysia tawar diskaun sehingga 50% untuk telefon pintar pada 12.12!

    realme Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka menawarkan diskaun eksklusif sehingga 50% untuk telefon pintar pada musim perayaan Disember ini. Dalam kenyataan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Shokz OpenRun 2 – Pilihan premium untuk gaya hidup aktif

    Shokz OpenRun Pro 2 adalah model terbaharu daripada Shokz untuk barisan peranti sukan. Ia mengukuhkan kelebihan model sebelumnya untuk memberikan pengalaman yang...

    Ulasan Edifier X5 Pro – TWS serba boleh dengan ANC asas

    Seiring berjalannya waktu, semakin banyak ciri-ciri utama yang dahulunya hanya terdapat pada peranti flagship kini boleh didapati pada peranti kelas pertengahan dan...
    X