fbpx
More

    Ulasan Xiaomi Mi 11 5G – Peranti Xiaomi terbaik setakat ini!

    Xiaomi Mi 11 adalah telefon kelas andalan pertama dunia yang menggunakan cipset andalan Snapdragon 888. Ia dilancarkan di China pada hujung bulan Disember lalu dan telah memasuki pasaran Malaysia pada 25 Februari lepas. Jika dilihat pada spesifikasi peranti ini, ia sememangnya mempunyai banyak penambahbaikan berbanding generasi sebelumnya, Xiaomi Mi 10.

    Xiaomi Mi 11 dijual pada tanda harga bermula RM2,799 untuk RAM 8GB dengan storan 128GB dan RM2,999 untuk RAM 8GB dengan storan 256GB. Dengan tanda harga setinggi ini, ia bersaing dengan telefon andalan premium dari jenama lain. Persoalannya, adakah ia mampu untuk menandingi pesaingnya? Mari baca artikel ini untuk melihat pengalaman kami menggunakan telefon ini selama beberapa minggu.

    Reka bentuk – Menyegarkan dan kekal premium

    Pertama sekali mari kita ulas dari segi reka bentuknya dahulu. Xiaomi Mi 11 hadir dengan reka bentuk yang berbeza dari generasi yang lalu. Peranti kelas andalan Xiaomi sejak dari Mi 9 telah menggunakan reka bentuk kamera modul yang memanjang ke bawah. Namun, dengan Mi 11 ini, ia hadir dengan kamera modul yang berbentuk petak dengan bucu yang melengkung. Ia kini kelihatan lebih menarik untuk digunakan.

    Kamera modul Mi 11 adalah jenis yang bertingkat. Tingkat yang pertama untuk sensor kedalaman dan lampu kilat LED, tingkat kedua untuk kamera ultra lebar dan tingkat ketiga untuk kamera utamanya. Anda perlu berhati-hati dengan bonggolan ini supaya kameranya tidak tercalar kerana sarung plastik percuma yang diberikan tidak menutupi tingkat ketiga bonggolan kamera ini.

    Apa yang anda dapat dalam kotak

    Warna peranti yang kami gunakan ini adalah Horizon Blue. Warna ini sangat menarik dan tampak premium kerana ia mempunyai campuran beberapa warna dan akan berubah warna mengikut arah cahaya. Warna biru cair pada rangkanya membuatkan peranti rasa lebih lembut dan lebih elegan. Kami merasakan peranti ini nampak lebih feminin sikit berbanding telefon generasi yang lalu.

    Untuk kualiti binaannya pula, ia masih menggunakan bahan binaan yang hampir sama seperti telefon generasi sebelumnya. Panel belakangnya hadir dengan binaan kaca melengkung (Gorilla Glass 5) dan rangkanya diperbuat oleh aluminium. Kami merasakan telefon ini terasa lebih premium dan sedap dipegang berbanding Xiaomi Mi 10 kerana beratnya kini lebih ringan dan lebih nipis walaupun saiz skrinnya lebih besar.

    Butang kuasa dan suara
    Pembesar suara, port USB-C, ruang kad SIM
    Pembesar suara atas telefon

    Pada bahagian hadapan, Mi 11 ini hadir dengan skrin 6.81 inci AMOLED beresolusi WQHD+ dengan nisbah skrin 20:9. Buat kali pertama, Xiaomi meletakkan skrin beresolusi 2K pada peranti mereka. Bukan itu sahaja, Mi 11 juga hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan kadar bacaan sentuhan setinggi 480Hz! Selepas menggunakannya selama beberapa minggu, kami boleh simpulkan bahawa ini adalah skrin terbaik dari peranti Xiaomi yang kami pernah gunakan. Warna skrinnya sangat cantik dan kecerahannya kekal terang walaupun digunakan di bawah cahaya matahari.

    Skrin Mi 11 menggunakan perlindungan kaca Gorilla Glass Victus yang jauh lebih kuat berbanding Gorilla Glass 5. Skrinnya juga adalah jenis yang melengkung dan ia sememangnya dapat menambahkan lagi perasaan premium sewaktu menggunakannya. Namun, kami merasakan ianya lebih baik jika skrin melengkung ini mempunyai ciri khas (mungkin ciri akses pantas?) dan bukannya hanya untuk kesedapan mata memandang sahaja.

    Selain itu, Mi 11 juga hadir dengan pembesar suara stereo. Kali ini, pembesar suara peranti ini ditala oleh jenama audio terkenal, Harmon Kardon. Kami merasakan bunyi yang dihasilkan oleh peranti ini sangat jelas dengan bass yang cukup baik. Ianya boleh dikatakan setanding Mi 10 Pro. Namun, kami perasan panel belakang peranti ini akan mula bergegar sekiranya anda menaikkan kelantangan (volume) lebih dari setengah. Ini mungkin disebabkan oleh reka bentuk peranti yang nipis. Gegaran panel belakangnya terasa kurang selesa terutamanya jika anda sewaktu menonton video dengan kelantangan yang tinggi.

    Mi 11 juga hadir dengan sensor cap jari dalam skrin jenis optikal. Sensor cap jari ini dapat bertindak dengan baik dan kedudukannya juga baik (tidak terlalu bawah dan dekat dengan ibu jari sewaktu memegangnya). Sama seperti telefon andalan Xiaomi sebelum ini, ia tidak hadir dengan bicu audio 3.5mm dan tidak mempunyai slot microSD untuk storan tambahan.

    Kad SIM tanpa ruang kad MicroSD

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Prestasi tinggi dengan ciri istimewa

    Xiaomi Mi 11 hadir dengan pelbagai spesifikasi yang menarik terutamanya cipset dan kameranya. Berikut adalah ciri teknologi dan spesifikasi Xiaomi Mi 11 ini.

    • Berukuran 164.3 x 74.6 x 8.06 mm
    • Berat 196g
    • Cipset Snapdragon 888 5G (5nm), Adreno GPU 660
    • RAM 8GB + Storan 128/256GB, UFS 3.1
    • Skrin AMOLED 6.81 inci beresolusi 3200 x 1440 piksel (ratio 20:9) dengan kadar segar semula 120Hz,kadar bacaan sentuhan 480Hz, ciri AdaptiveSync ,HDR 10+, warna 10 bit
    • Perlindungan skrin Corning Gorilla Glass Victus , kerangka aluminium
    • Kamera utama 108MP f/1.85 + 13MP f/2.4 (ultra lebar) + 5MP f/2.4 (telemakro)
    • Rakaman video 8K 24/30fps, 4K 30/60fps, slo-mo 1080p 120fps
    • Kamera swafoto 20MP f2.2
    • Pembesar suara stereo dengan Hi-Res Audio, ditala oleh Harmon Kardon
    • Bateri 4,600mAh, sokongan cas pantas 55W, cas pantas wayarles 50W, cas wayarles berbalik 10W
    • Sokongan Bluetooth 5.2, Wi-Fi 6, NFC
    • Sensor cap jari bahagian dalam skrin (sokong pengesanan kadar degupan jantung)
    • Antara muka MIUI 12 atas perisian Android 11

    Antara muka MIUI 12 yang ada pada Mi 11 ini mudah untuk digunakan dengan reka bentuk ikon yang menarik. Ia juga hadir dengan ‘App Drawer’ untuk memudahkan anda mengakses aplikasi dan ‘Discover Feed’ untuk berita terkini mengenai apa yang anda minati. Antara muka MIUI 12 ini juga hadir dengan beberapa perisian remeh (bloatware) yang boleh dibuang.

    Prestasi – Puas hati dengan kebolehannya!

    Xiaomi Mi 11 menggunakan cipset kelas andalan terbaru Qualcomm, Snapdragon 888 iaitu cipset generasi baru yang menggantikan Snapdragon 865. Secara asasnya, cipset Snapdragon 888 ini adalah 30% lebih baik dari cipset Snapdragon 865. Cipset ini juga menyokong 5G dan Mi 11 adalah telefon pertama dunia yang menggunakannya. Sepanjang kami menggunakan peranti ini, kami sangat berpuas hati dengan prestasi yang dapat diberikan. Apa-apa yang kami inginkan lakukan dengan peranti ini dapat disempurnakan dengan lancar. Pembukaan aplikasi dan aktiviti multitasking terasa mudah dan dapat dilakukan tanpa sebarang sela masa (lag).

    Peranti ini hadir dengan satu pilihan RAM iaitu RAM 8GB dengan dua pilihan storan (128 & 256GB). Ia menggunakan jenis storan UFS 3.1 yang menjadikan penulisan dan pembacaan data dari peranti terasa sangat pantas. Kami juga telah menjalankan beberapa ujian penanda aras dengan Xiaomi Mi 11 ini. Berikut adalah hasil aplikasi penanda aras tersebut.

    Seperti yang dijangkakan, markah penanda aras peranti ini adalah antara yang tertinggi dalam semua peranti Android. Anda sememangnya tidak perlu risau tentang prestasi yang telefon ini dapat tawarkan terutamanya untuk penggunaan harian anda.

    Dengan GPU Adreno 660, anda akan dapat bermain game dengan tetapan yang tertinggi. Untuk game seperti PUBG dan COD Mobile, anda boleh meletakkan tetapan grafik tinggi dan frame rate tinggi. Setelah kami bermain game berjam-jam menggunakan peranti ini, kami berpuas hati dengan prestasinya dan tiada sela masa atau frame drop yang kami rasakan sepanjang permainan. Yang menarik, anda juga boleh bermain game yang menyokong frame per second (fps) setinggi 120.

    Namun, satu perkara yang perlu anda tahu sebelum membeli peranti ini. Jika anda bermain game atau melakukan perkara yang memerlukan prestasi yang tinggi pada jangka masa yang panjang, telefon ini akan menjadi panas dan kurang selesa untuk digunakan. Ini mungkin disebabkan pengoptimuman cipset Snapdragon 888 pada peranti ini atau reka bentuknya yang nipis. Jadi, anda akan terasa panel belakangnya panas dengan lebih pantas berbanding peranti lain yang lebih tebal. Kami merasakan masalah ini boleh ditambah baik sedikit melalui kemas kini perisian pada masa hadapan.

    Dari segi bateri pula, kami berpuas hati dengan prestasi bateri yang ditawarkan. Bateri 4,600 mAh peranti ini boleh digunakan selama lebih dari satu hari jika anda tidak menggunakan kadar segar semula 120Hz. Jika anda menggunakan ciri ini sepanjang hari, bateri peranti ini akan bertahan hampir satu hari. Yang kami minati mengenai baterinya adalah sokongan pengecasan pantasnya. Mi 11 hadir dengan pengecasan pantas 55W yang dapat mengecas penuh bateri peranti dalam 46 minit sahaja. Selain itu, ia juga hadir dengan pengecasan wayarles 50W dan pengecasan wayarles berbalik 10W.

    Untuk kamera pula, Xiaomi Mi 11 ini dilengkapi tiga kamera pada bahagian belakang iaitu kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 8MP serta kamera telemakro 5MP. Sama seperti Mi 10, Mi 11 juga tidak mempunyai kamera telefoto. Pada bahagian depan, Mi 11 hadir dengan kamera swafoto 20MP.

    Yang menarik, kamera Mi 11 kali ini hadir dengan pelbagai mod baru seperti timelapse untuk lensa makro, movie effects, VLOG, Dual video dan macam-macam lagi.

    Mod tambahan kamera Mi 11

    Gambar-gambar dari kamera utamanya dilihat cantik dengan pengawalan cahaya yang baik. Warna gambar dilihat sedikit pekat namun masih mengekalkan tona warna yang natural. Anda boleh mengaktifkan mod 108M untuk mendapatkan gambar 108MP dengan butiran yang sangat banyak dan ia hadir dengan saiz fail yang agak besar.

    Untuk kamera ultra lebar pula, gambar dilihat mempunyai butiran yang sedikit kurang tetapi masih mengekalkan warna dan kawalan cahaya yang hampir sama seperti kamera utamanya.

    Gambar mod 108M

    Untuk kamera telemakro pula, ia dapat mengambil gambar yang sangat dekat. Ini disebabkan jarak fokus tinggi yang ada pada lensa ini. Kualiti gambar makronya baik dengan bokeh yang cantik. Butirannya nampak kurang tetapi warnanya kekal cantik dan sedikit pekat. Pada tempat yang cerah, anda akan dapat menangkap gambar makro yang cantik.

    Kami juga berpuas hati dengan mod malam dari peranti ini. Warna dan butiran kekal cantik dengan pengawalan cahaya yang ditambah baik. Gambar yang diambil dengan mod malam ini juga nampak lebih cerah, namun tidak terlalu agresif berbanding telefon jenama lain (kami merasakan kurang agresif adalah lebih baik kerana gambar nampak lebih natural).

    Gambar kamera hadapan Mi 11 juga memuaskan dengan warna yang cantik dan butiran yang banyak. Namun, kulit muka dilihat sedikit lembut walaupun ciri AI Beauty sudah dimatikan. Untuk potret swafoto pula, potongan bokehnya nampak kemas dan natural.

    Untuk video, Mi 11 mampu untuk merakam video sehingga kualiti 8K 30fps dan video slo-mo 1080P 120fps. Kami meminati kualiti video 8K yang dihasilka, dengan butiran yang sangat tinggi dan warna yang menawan. Namun, video 8K ini kurang stabil dan kami merasakan ianya kurang sesuai untuk merekod video yang banyak pergerakan.

    Mi 11 hadir dengan dua mod khas untuk penstabilan imej yang lebih baik iaitu Steady Video dan Steady Video Pro. Perlu diingat, jika anda mengaktifkan mod khas ini, kualiti video akan kekal pada 1080p 30fps sahaja. Secara menyeluruh, kami sangat berpuas hati dengan hasil gambar dan video dari kamera Mi 11 ini.

    Kesimpulan – Telefon mantap dengan kelemahan yang minimal

    Xiaomi Mi 11 adalah telefon kelas andalan yang sangat berkualiti tinggi. Dari cipsetnya yang berprestasi tinggi ke kamera 108MP nya, kami boleh merumuskan bahawa Mi 11 adalah telefon terbaik Xiaomi buat masa ini. Kami sangat meminati reka bentuknya yang cantik dan skrinnya yang menawan.

    Namun, ia hadir dengan sedikit kelemahan terutamanya pengawalan suhu peranti dan gegaran panel belakangnya. Perlu dingat juga, berbanding dengan telefon kelas andalan jenama lain, Xiaomi Mi 11 tidak hadir dengan kamera telefoto dan juga tidak mempunyai sebarang ciri kalis air dan habuk.

    Jika ingin mencari telefon lain pada tanda harga yang berdekatan, anda boleh melihat kepada iPhone 12 mini, Samsung Galaxy S21, vivo X60 Pro 5G dan ASUS ROG Phone 5 (untuk gamers sejati).

    Adakah anda menyukai peranti kelas andalan terbaru dari Xiaomi ini? Beritahu kami ulasan anda pula di Facebook dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X