Status siri telefon pintar andalan Samsung Galaxy Note mendapat perhatian baru-baru ini kerana terdapat khabar mengatakan ia bakal dihentikan oleh Samsung. Kini, telefon itu mungkin tidak akan dilancar pada tahun ini kerana masalah kekurangan bekalan cip elektronik yang telah menjejaskan seluruh industri teknologi sedunia.
Presiden Samsung Electronics Mobile Communication Business, Koh Dong-jin, mengatakan bahawa terdapat ketidakseimbangan yang ketara di antara permintaan dengan bekalan untuk cip semikonduktor, satu komponen utama untuk telefon pintar dan pemproses Samsung.
Ini akan menyukarkan Samsung untuk melancarkan sebuah lagi telefon andalan pada tahun ini selepas Samsung Galaxy S21 pada Januari lalu. Oleh yang demikian, Samsung sedang meneliti kemungkinan untuk siri Galaxy Note ditunda kepada tahun hadapan.
Pelbagai syarikat elektronik telah terkesan akibat kekurangan bekalan cip ini. Qualcomm telah menghadapi masalah untuk membekalkan cip Snapdragon, manakala industri kereta elektronik juga mengalami masalah dalam pengilangan mereka. Xiaomi pula terpaksa mendapatkan bekalan cip daripada MediaTek selepas Qualcomm tidak mampu membekalkan jumlah cip yang cukup.
Beritahu kami di Facebook jika anda setuju dengan langkah Samsung ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: 9 to 5 Google






