fbpx
More

    Senarai telefon Android “flagship” 2021 terbaik untuk pasaran Malaysia setakat ini

    Baru-baru ini, saya merancang untuk menggantikan telefon pertengahan Samsung Galaxy A50 saya dengan sebuah telefon pintar andalan (flagship) Android kerana saya inginkan sebuah peranti dengan prestasi yang lebih pantas. Oleh yang demikian, spesifikasi yang saya inginkan termasuklah cipset Snapdragon 888, skrin AMOLED 120Hz, sokongan rangkaian 5G, pengecasan pantas dan lain-lain spesifikasi canggih.

    Ternyata, pasaran telefon pintar kini menawarkan pelbagai jenama telefon andalan dan saya mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli peranti yang tepat untuk kegunaan saya. Walaupun semua telefon andalan ini dijamin mempunyai spesifikasi tercanggih, setiap telefon ada kekurangannya. Dalam artikel ini, saya akan senaraikan telefon Android andalan keluaran tahun ini yang anda boleh beli dari pasaran tempatan sekarang serta kebaikan dan keburukan masing-masing:

    Samsung Galaxy S21 Ultra – RM5,299

    Samsung membuka langkah kanan pada tahun 2021 dengan melancarkan siri Galaxy S21 pada bulan Januari, di mana varian tercanggih adalah Samsung Galaxy S21 Ultra. Segala teknologi tercanggih yang anda mahukan, terdapat dalam peranti ini termasuklah skrin Dynamic AMOLED 2x 120Hz, cipset Exynos 2100 dan kamera utama 108MP. Jika itu masih belum meyakinkan anda, Galaxy S21 Ultra 5G baru sahaja memenangi anugerah Telefon Pintar Terbaik dalam temasya Mobile World Congress Barcelona 2021 baru-baru ini.

    Walau bagaimanapun, telefon canggih ini dijual dengan harga yang sangat mahal. Pada harga bermula RM5,299, ia adalah antara telefon yang paling mahal dalam senarai ini. Sudahlah mahal, pengecas 25W yang tidak begitu pantas itu tidak disertakan kotak pula. Ini merupakan kali pertama Samsung tidak menyertakan pengecas bersama sebuah telefon Galaxy S.

    Xiaomi Mi 11 Ultra – RM4,299

    Jika anda mahukan telefon andalan Android dengan kamera terbaik pada tahun ini, Xiaomi Mi 11 Ultra adalah peranti untuk anda. Telefon dengan bonggol kamera gergasi ini mempunyai markah tertinggi dalam senarai DXOMARK, jadi anda boleh jangkakan prestasi fotografi yang sangat mantap daripadanya. Bonggol kamera itu menempatkan sensor kamera utama 50MP f/2.0 1/1.2” iaitu antara sensor kamera telefon terbesar buat masa ini.

    Bonggol kamera tebal itu juga mungkin akan membuatkan sesetengah orang tidak menyukai rekaan telefon ini kerana rupanya yang jauh berbeza berbanding telefon-telefon lain. Selain itu, dengan berat 234 gram, ia adalah antara telefon yang paling berat pada tahun ini.

    Vivo X60 Pro – RM3,299

    vivo X60 Pro merupakan sebuah lagi telefon andalan Android yang mempunyai teknologi kamera khas, dengan lensa yang dibuat bersama syarikat optikal Zeiss untuk menghasilkan gambar yang cantik dan unik. Sensor kamera utama Sony IMX598 juga adalah antara sensor kamera telefon terbaik pada waktu ini, ia boleh hasilkan gambar yang sangat cantik walaupun pada waktu malap.

    Sungguh pun begitu, vivo X60 Pro sekadar dilengkapi cipset Snapdragon 870 yang masih menghasilkan prestasi tinggi, namun tidak setaraf dengan Snapdragon 888. Masih tidak pasti mengapa vivo Malaysia tidak menjual vivo X60 Pro+ yang dilengkapi Snapdragon 888. Di samping itu, telefon ini juga tidak mempunyai teknologi pengecasan wayarles dan tiada pembesar suara stereo.

    ASUS Zenfone 8 – RM2,699

    Buat mereka yang rindukan saiz telefon andalan bawah 6 inci, ASUS Zenfone 8 adalah satu-satunya pilihan anda. Skrin AMOLED 120Hz dalam telefon ini mempunyai ukuran 5.8 inci, menjadikannya telefon terkecil dalam senarai ini. Selain itu, ia juga masih mempunyai bicu audio 3.5mm buat mereka yang belum memupuk penggunaan fon telinga wayarles.

    Walau bagaimanapun dengan badan yang kecil, ini juga bermakna baterinya berkapasiti rendah iaitu setakat 4,000mAh sahaja. Ia masih boleh bertahan selama satu hari, namun pada malam hari ia hanya akan tinggal belasan peratus sahaja, lebih rendah berbanding telefon andalan lain. Walapun pengecasannya agak perlahan, ia adalah sesuai dengan bateri kecil seperti ini. Malang sekali, ia tidak boleh dicas secara wayarles.

    OPPO Find X3 Pro – RM4,299

    Pernah inginkan sebuah mikroskop dalam telefon anda? Jika jawapan anda adalah ya, OPPO Find X3 Pro menawarkan fungsi kamera mikroskop yang sangat bermutu tinggi. Anda boleh letakkan telefon ini pada jarak yang amat dekat dengan subjek anda dan dapatkan gambar makro mikroskop yang langsung tidak boleh disaingi oleh telefon lain dalam senarai ini. Selain kamera yang menarik, rekaan telefon ini juga adalah antara yang paling unik pada tahun ini, dengan bonggol kamera yang tidak terlalu menonjol.

    Selain daripada kamera mikroskop, tidak banyak yang membuatkan Find X3 Pro unik berbanding telefon andalan lain. Anda masih boleh jangkakan penggunaan canggih dan pantas daripada telefon ini, namun jika anda tidak berminat dengan kamera mikroskop, mungkin anda boleh lihat telefon lain dalam senarai ini.

    OnePlus 9 Pro – RM4,299

    Selain spesifikasi andalan dalam OnePlus 9 Pro, ciri utama yang diiklankan oleh telefon ini adalah sistem kameranya yang dibina bersama syarikat kamera popular Hasselblad. Ia menawarkan teknologi Natural Colour Calibration with Hasselblad untuk menghasilkan warna yang unik serta rakaman video dalam 8K 30fps. Di samping itu, ia mempunyai rekaan luar yang berkilauan manakala pengecasan telefon ini juga adalah antara yang tertinggi, dengan pengecasan 65W dan pengecasan wayarles 50W.

    Walaupun begitu, prestasi kamera Hasselblad mungkin tidak setaraf dengan telefon lain dalam senarai ini, jadi harga mahal yang anda bayar untuk OnePlus 9 Pro ini mungkin disebabkan oleh penjenamaan Hasselblad yang telah dilabur oleh OnePlus sebanyak USD150 juta.

    ASUS ROG Phone 5 Ultimate – RM4,999

    Mahukan RAM setinggi 18GB di samping cipset Snapdragon 888 agar anda boleh miliki prestasi telefon antara yang terpantas dalam dunia? Usah fikir panjang, dapatkan terus telefon pintar gaming ASUS ROG Phone 5 Ultimate. Selain dilengkapi spesifikasi tercanggih, ia juga mempunyai ciri-ciri yang dikhaskan untuk gamer seperti butang sentuh di bahagian bucu untuk kegunaan sewaktu bermain game, perisian Game Genie untuk meningkatkan prestasi telefon, fungsi Bypass Charge agar bateri tidak dicas sewaktu bermain game sambil telefon ini disambung ke palam elektrik, bicu audio 3.5mm dan banyak lagi.

    Satu kekurangan yang ada pada telefon ini adalah ketiadaan sebarang kalis air atau IP rating. Di samping itu, prestasi kameranya juga tidak setaraf dengan telefon lain dalam senarai ini, terutamanya daripada segi penggambaran malap. Walaupun begitu, mereka yang berminat dengan telefon ini mungkin tidak ada kehendak untuk mengambil gambar yang cantik.

    Lenovo Legion Phone Duel 2 – RM3,299

    Satu lagi telefon gaming dalam senarai ini, Lenovo Legion Phone Duel 2 merupakan telefon andalan Android terbaru untuk pasaran Malaysia. Walaupun varian RAM tertinggi untuk telefon ini tidak sama dengan ROG Phone 5, ia mempunyai beberapa ciri utama yang menarik iaitu rekaan ergonomik khas untuk dipegang secara mendatar (horizontal) serta kamera swafoto pop-up untuk kegunaan siaran langsung (streaming). Oleh itu jika anda berminat untuk menjadi bintang Twitch atau Facebook Gaming yang terbaru, pastikan anda dapatkan telefon yang sangat unik ini. Malah ia juga mempunyai kipas dalaman untuk menyejukkan dalaman telefon ini serta pengecasan yang sangat pantas iaitu 90W.

    Namun seperti telefon gaming lain, kameranya tidaklah begitu bagus untuk kategori telefon andalan. Di samping itu, ia juga tidak mempunyai pengecasan wayarles dan tidak mempunyai bicu audio 3.5mm, sesuatu yang masih diperlukan oleh ramai gamers kerana fon telinga wayarles mungkin mempunyai isu latency tertangguh sewaktu bermain game.

    realme GT – RM1,849

    Siapa kata anda perlu berbelanja besar untuk dapatkan telefon Snapdragon 888? realme GT menawarkan prestasi andalan pada harga yang terendah dalam senarai ini, membenarkan lebih ramai kategori pengguna untuk memiliki peranti dengan prestasi tercanggih. Malah warnanya agak unik, dengan jaluran hitam-kuning yang diinspirasi daripada kereta lumba. Jika anda mahukan warna yang berprofil rendah, boleh dapatkan warna biru-hitam seperti gambar di atas. Dan buat pengguna fon telinga berwayar, telefon ini masih mengekalkan bicu audio 3.5mm.

    Memandangkan telefon ini baru sahaja mula dijual (7 Julai di Malaysia), tidak banyak kekurangan yang diketahui tentang telefon ini. Sungguh pun begitu, walau apa pun kekurangannya, ia tidak akan mengurangkan daya penarik utama telefon ini iaitu harganya yang sangat murah berbanding telefon andalan lain.

    Jadi inilah dia telefon andalan yang anda boleh beli setakat ini dalam pasaran Malaysia, kami harap senarai ini dapat membantu jika anda ingin mendapatkan telefon tercanggih untuk kegunaan harian. Jika tidak pun, anda boleh kenal pasti telefon pilihan anda dan tunggu sehingga akhir tahun ini untuk mendapatkan diskaun yang menarik.

    Beritahu kami telefon andalan Android kegemaran anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Google Maps dan Carian bantu pemilik EV mencari lokasi pengecasan

    Dengan peningkatan pemilikan kenderaan elektrik (EV), terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk stesen cas yang mudah diakses. Bagi mengatasi ini, Google Maps...

    Siri iQOO Z9 disahkan SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia tidak lama lagi

    iQOO sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri iQOO Z9 di China tidak lama lagi dengan jangkaan model standard akan menampilkan spesifikasi berbeza...

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X