Siri vivo V21 telah pun dilancar di Malaysia pada bulan April dan buat masa ini ia terdiri daripada vivo V21, vivo V21e dan vivo V21 5G Exclusive Edition. Kini, vivo dikhabarkan akan melancarkan varian seterusnya dalam siri telefon tersebut iaitu vivo V21e 5G.
Menurut pengkhabar berita teknologi Ishan Agarwal, vivo V21e 5G akan dilancar di India dan dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.44 inci dengan resolusi Full HD+, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, bateri 4,000mAh, pengecasan pantas 44W dan cipset Dimensity 700 5G.
Seperti varian lain dalam siri vivo V21, vivo V21e 5G mungkin akan dilengkapi kamera utama 64MP dengan penstabilan imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan pula adalah kamera swafoto 44MP.
Berdasarkan maklumat ini, perbezaan yang ketara pada vivo V21e 5G dengan varian V21 lain adalah pada cipsetnya. Sebelum ini, vivo V21 dan vivo V21 5G dilengkapi cipset Dimensity 800U manakala vivo V21e pula dilengkapi Snapdragon 720G.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan vivo V21e 5G dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina






