fbpx
More

    Ulasan ASUS Vivobook 16X – Komputer riba mampu milik untuk anda!

    Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba yang boleh menjalankan kebanyakan tugas harian seperti menaip dokumen, melayari internet dan menonton video, ASUS menawarkan pelbagai produk yang boleh memenuhi permintaan tersebut. Salah satunya adalah ASUS Vivobook 16X (M1603Q) yang menampilkan segala fungsi yang anda perlukan namun masih dijual pada harga yang mampu milik. 

    Dengan harga bermula daripada RM2,999, adakah komputer riba ini sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Daripada segi rekaan, Vivobook 16X ini tidak mempunyai apa-apa yang istimewa. Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna biru gelap Quiet Blue, membuatkannya tidak berbeza langsung dengan kebanyakan komputer riba daripada jenama lain. Jika anda inginkan warna yang lebih menyerlah, terdapat pilihan perak Transparent Silver.

    Rekaan asas pada Vivobook 16X
    Di belakang skrin, ia tidak mempunyai sebarang corak dan sekadar mempunyai warna asas dan penjenamaan ASUS Vivobook
    Skrin boleh dibuka sehingga rata 180 darjah!

    Engselnya agak keras dan anda tidak boleh mengangkat skrinnya dengan satu jari sahaja, anda perlu menahan badan laptop apabila ingin membuka skrin. Sungguh pun begitu, engsel ini membenarkan Vivobook 16X untuk diratakan sepenuhnya sebanyak 180 darjah.

    Walaupun badannya dibuat daripada bahan plastik, mutu binaannya terasa kukuh dan ia mempunyai pengiktirafan ketahanan MIL-STD 810H, bermaksud ia boleh menahan impak jatuh dan tahan lasak. Jadi jika anda inginkan komputer riba yang berprofil rendah namun masih mempunyai buatan kukuh, Vivobook 16X adalah komputer untuk anda.

    Dengan berat 1.8kg dan ketebalan 1.99cm, komputer ini mudah untuk dimasukkan ke dalam beg dan dibawa ke mana-mana sahaja.

    Untuk port I/O pula, komputer ini menawarkan port lengkap, terdiri daripada satu USB-A 2.0, satu USB-C 3.2 Gen 1, dua USB-A 3.2 Gen 1, satu HDMI 1.4, bicu audio 3.5mm dan palam kuasa DC. Malangnya ia tidak mempunyai slot kad memori dan port USB-C tidak menyokong fungsi Power Delivery, jadi anda tidak boleh mengecas dengan pengecas USB.

    Satu sahaja port di bahagian kiri
    Pelbagai pilihan port di bahagian kanan

    Papan kekuncinya sangat selesa untuk ditaip, dengan saiz kekunci yang luas agak luas dan tindak balas yang responsif. Terdapat juga kekunci numpad jika anda kerap menggunakannya. Semua kekunci mempunyai cahaya latar (backlit) jadi anda boleh terus menaip walaupun dalam suasana yang gelap.

    Benda yang saya paling gemari pada komputer riba ini adalah saiz pad penjejak (touchpad) yang agak besar dan selesa untuk ditekan. Terdapat juga sebuah pengimbas cap jari di bahagian atas kanan pad penjejak dan ia berfungsi dengan pantas.

    Papan kekunci yang selesa untuk ditaip, pad sentuh turut disertakan dengan pengimbas cap jari
    Lengkap dengan numpad

    Kini mari kita beralih kepada skrinnya pula. Ia mempunyai panel LCD berukuran 16 inci dengan resolusi WUXGA (1920×1200), nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 60Hz dan kecerahan 300 nits. Ini semua adalah spesifikasi skrin yang standard untuk komputer dalam kategori harga ini dan ia berfungsi dengan baik untuk memaparkan sebarang kandungan.

    Nisbah skrin-ke-badan sebanyak 86% bermaksud ia mempunyai sempadan bezel yang agak nipis di semua sisi, manakala gamut warna NTSC sekadar 45% bermaksud penghasilan warnanya tidak begitu tepat dan tidak sesuai digunakan untuk kerja-kerja penyuntingan gambar atau video. Namun untuk menonton filem, skrin ini sudah memadai.

    Satu perkara yang saya gemar adalah nisbah aspek 16:10 yang bermaksud skrin ini mempunyai bahagian sisi kanan dan kiri yang lebih tinggi daripada skrin 16:9 pada komputer lain. Ini membuatkan skrin Vivobook 16X sesuai digunakan untuk menaip dokumen dan membaca laman web, namun apabila menonton filem, terdapat jalur hitam (letterbox) di atas dan bawah skrin kerana kebanyakan filem masih dipaparkan dalam format 16:9.

    Terdapat letterbox (jalur hitam di atas dan bawah video) yang agak tebal apabila anda menonton filem

    Komputer ini mempunyai pembesar suara yang menghala ke bawah dan kualiti audionya tidak begitu memuaskan, dengan bunyi yang agak perlahan dan hampir tiada bass. Namun, ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk komputer kategori ini.

    Di atas skrin, terdapat sebuah webcam 720p yang boleh ditutup dengan penutup fizikal. Walaupun ia tidak mempunyai resolusi 1080p, kualiti webcam ini baik sahaja untuk panggilan video. Malangnya, kamera ini tidak boleh digunakan untuk mendaftar masuk ke dalam komputer (sign-in) menggunakan Windows Hello.

    Kualiti gambar daripada webcam

    Seterusnya, saya ingin bercakap tentang spesifikasi. Vivobook 16X yang diulas ini dilengkapi pemproses AMD Ryzen 5 5600H dengan enam teras dan kelajuan clock sehingga 4.2GHz, GPU bersepadu AMD Radeon Vega 7, RAM DDR4 8GB, storan SSD M.2 NVMe PCIe 3.0 512GB. Komputer ini turut menawarkan slot DDR4 SO-DIMM yang membenarkan anda untuk meletakkan RAM tambahan sehingga 16GB.

    Jelasnya, komputer ini tidak boleh menjana prestasi yang tinggi untuk kegunaan berat seperti bermain game dengan grafik tinggi, suntingan video beresolusi tinggi atau rekaan model 3D. Sungguh pun demikian jika anda sekadar menggunakan komputer ini untuk melayari laman web, menaip dokumen dan menonton video dan filem, ia boleh digunakan dengan pantas.

    Jika anda ingin bermain game sekali pun, usah harapkan AMD Radeon Vega 7 untuk membenarkan anda letak tetapan grafik tertinggi.

    Keputusan penanda aras PCMark10 yang agak rendah, namun boleh dijangka
    Game klasik kegemaran saya, Just Cause 2 (dilancar pada 2010), boleh dimainkan dengan tetapan grafik sederhana pada kadar bingkai 30fps

    Untuk bateri, komputer ini mempunyai kapasiti 50Wh dan ia boleh bertahan sehingga sembilan jam jika digunakan untuk tugasan biasa. Ini adalah ketahanan bateri yang sangat cemerlang dan amat sesuai digunakan oleh mereka yang kerap bergerak ke pelbagai tempat yang tidak mempunyai soket elektrik.

    Bateri ini boleh dicas dengan pengecas 90W yang dihubungkan kepada port kuasa DC dan ia mengambil masa sekitar dua jam untuk pengecasan penuh daripada 0%.

    Pengecasan daripada 9% ke 98% mengambil masa 1 jam 48 minit (10:55am hingga 12:43pm)

    Secara keseluruhan, ASUS Vivobook 16X adalah sebuah komputer yang sesuai untuk tugasan asas sahaja. Saya boleh lihat ini adalah produk yang sesuai untuk kegunaan di pejabat, dikongsi di rumah sebagai komputer keluarga serta digunakan oleh pelajar universiti untuk menyiapkan tugasan atau membuat ulangkaji.

    Jika anda lebih berminat untuk dapatkan komputer riba serupa namun dengan skrin yang lebih cantik, anda boleh dapatkan ASUS Vivobook 15X OLED (RM3,299) untuk penghasilan warna yang lebih tepat. Untuk golongan profesional pula, mungkin anda boleh dapatkan komputer 2-dalam-1 seperti Lenovo Yoga 7i (RM5,939) kerana ia lebih ringan dan versatil untuk keperluan anda.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin IPS LCD 16 inci, resolusi WUXGA (1920×1200), nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 60Hz, kecerahan 300 nits, gamut warna NTSC 45%, nisbah skrin-ke-badan 86%
    • Cipset AMD Ryzen 5 5600H atau 5800H
    • GPU AMD Radeon Vega 7
    • RAM DDR4 4GB atau 8GB, satu slot DDR4 SO-DIMM
    • Storan M.2 NVMeâ„¢ PCIe® 3.0 256GB, 512GB atau 1TB
    • Port I/O: (kiri) 1x USB-A 2.0; (kanan) 1x USB-C 3.2 Gen 1, 2x USB-A 3.2 Gen 1, 1x HDMI 1.4, 1x bicu audio 3.5mm, 1x DC-in
    • Papan kekunci chiclet dengan numpad, backlit
    • Webcam 720p dengan penutup fizikal
    • Pembesar suara SonicMaster
    • Menyokong hubungan Wi-Fi 6(802.11ax) (dual band) 2*2 dan Bluetooth® 5
    • Bateri 50Wh, pengecasan 90W
    • Sistem operasi Windows 11 Home
    • Ukuran: 35.84 x 24.77 x 1.99 ~ 1.99cm
    • Berat 1.88kg
    • Harga: RM2,999

    Kebaikan: Sesuai untuk kegunaan asas dan harian, binaan kukuh, harga mampu milik

    Keburukan: Tidak boleh cas melalui USB-C, skrin tidak cukup terang untuk digunakan di luar, pembesar suara yang tidak memuaskan

    Kesimpulan: Komputer sesuai untuk pelajar, keluarga dan tugasan pejabat

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X