fbpx
More

    Ulasan Canon EOS R5 – Kamera “full-frame” yang mantap untuk fotografi

    Pada tahun 2020, Canon telah melancarkan dua kamera bingkai penuh (full-frame) dalam siri EOS R iaitu EOS R5 dan EOS R6, di mana EOS R5 lebih ditujukan kepada golongan fotografi profesional. Kedua-dua kamera tersebut mempunyai reka bentuk yang lebih kurang sama namun spesifikasi dalaman EOS R5 mempunyai fungsi yang lebih canggih.

    Kami sudah pun mengulas EOS R6 beberapa minggu lalu dan kami mendapati kamera tersebut mempunyai masalah haba yang agak ketara. Jadi adakah EOS R5 lebih baik daripada R6, terutamanya dengan harga EOS R5 yang lebih mahal iaitu RM17,999 (tanpa lensa)? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui lebih lanjut.

    Daripada segi luaran, EOS R5 menampilkan rekaan ergonomik dengan ruang genggaman yang besar dan kedudukan butang-butang yang mudah dicapai. Beratnya juga adalah agak ringan, sekadar 738g namun sebaik sahaja ia digabungkan dengan lensa, berat keseluruhan kamera menjadi lebih tinggi jadi ia bukanlah kamera yang mudah digunakan dengan satu tangan. Kedudukan viewfinder elektronik (EVF) juga mudah digunakan, di mana viewfinder tersebut mempunyai resolusi 5,760,000 titik untuk butiran yang jelas.

    Kamera ini mempunyai tiga roda (dial) yang boleh digunakan untuk mengawal pelbagai tetapan asas seperti kelajuan shutter dan nilai apertur. Selain, itu, terdapat juga joystick yang boleh digunakan untuk mengubah titik autofokus sewaktu mengambil gambar dan juga berinteraksi dengan menu. 

    Bercakap tentang menu, EOS R5 menampilkan skrin LCD berukuran 3.2 inci yang menyokong sentuhan penuh, bermaksud anda boleh menggunakan skrin LCD ini seperti skrin telefon pintar di mana anda boleh mengubah menu dan titik fokus dengan menyentuh sahaja skrin. Ini adalah satu kelebihan yang membuatkan kamera bingkai penuh Canon lebih mesra pengguna berbanding beberapa jenama pesaing. Walaupun susunan menunya mungkin agak mengelirukan, kebolehan untuk menyentuh skrin membuatkan penggunaan menu lebih mudah.

    Skrin LCD EOS R5 juga boleh diputarkan 180 darjah ke depan untuk memudahkan rakaman swafoto atau mengambil gambar dengan sudut yang rendah atau tinggi. Walau bagaimanapun, memandangkan beratnya yang tinggi jika digabungkan dengan lensa, kamera ini tidak sesuai digunakan untuk kegunaan vlogging di luar. Selain skrin LCD utama, kamera ini mempunyai satu lagi skrin LCD kecil di sebelah hotshoe yang menunjukkan mod penggunaan.

    EOS R5 mempunyai dua ruang kad memori, satu untuk kad memori SD yang biasa manakala satu lagi untuk kad CFExpress untuk tugasan yang memerlukan lebih kepantasan dan memori. Di bahagian kiri pula, terdapat port untuk USB-C, micro HDMI, bicu fon telinga 3.5mm, bicu mikrofon 3.5mm dan PC terminal.

    Seperti yang anda boleh jangkakan daripada sensor bingkai penuh CMOS Digic X 45MP, Canon EOS R5 menghasilkan imej yang sangat cantik untuk pelbagai situasi. Dengan sensor setinggi 45MP, butiran dalam gambar RAW dan JPEG adalah jelas di setiap sudut malah anda boleh zum dan potong (crop) dalam gambar dengan jauh sewaktu menyunting sebelum anda kualiti gambar turun.

    Dengan saiz sensor yang besar, prestasi penggambaran malap (low-light) juga cemerlang dalam EOS R5, di mana nilai ISO boleh dinaikkan sehingga 12800 sebelum kesan noise terpapar dalam gambar. Kamera ini boleh menggunakan dua jenis shutter, iaitu shutter mekanikal yang boleh mengambil gambar pada kadar 12 gambar sesaat (fps) dan shutter elektronik untuk 20fps. Shutter elektronik langsung tidak menghasilkan bunyi daripada kamera, jadi mod ini sesuai digunakan sewaktu mengambil gambar hidupan liar (atau mengintip artis seperti paparazzi).

    Satu lagi ciri utama untuk EOS R5 ini adalah sistem autofokus Dual Pixel II AF yang sangat pantas dan merangkumi keseluruhan ruang bingkai (frame), jadi anda pasti tidak akan hilang fokus pada subjek anda selagi anda boleh mengekalkannya dalam bingkai. Dalam mengenal pasti muka manusia dan haiwan, autofokus ini menjejak mata (eye-tracking) dan ia berfungsi dengan sangat baik walaupun sewaktu subjek bergerak pantas. 

    Walaupun jika anda mengambil gambar pada kadar setinggi 20fps, EOS R5 mampu mengekalkan fokus sepanjang anda menekan butang shutter, membuatkan kamera ini sesuai digunakan untuk situasi pantas seperti sukan atau perlumbaan kereta. Anda juga boleh menetap titik jejakan autofokus dengan menyentuh sahaja pada skrin LCD dan EOS R5 akan mengekalkan fokus pada subjek yang dipilih.

    EOS R5 menampilkan penstabilan dalam kamera (in-body image stabilisation, IBIS) dengan lapan stops dan ia berfungsi dengan amat baik bersama lensa RF 24-105mm F4 yang dipinjamkan oleh Canon kepada saya. Daripada segi bateri, EOS R5 juga memberikan prestasi yang baik di mana pengecasan penuh dalam baterinya yang berkapasiti 16Wh boleh mengambil lebih 300 gambar.

    Jadi jika EOS R5 cemerlang dalam fotografi, adakah prestasi serupa boleh dilihat pada rakaman video? Canon mengiklankan kamera ini dengan kebolehannya untuk merakam video 8K dan 4K 120fps, namun ia hanya boleh digunakan jika anda mempunyai kad memori CFExpress. Memandangkan saya tidak mempunyainya, saya tidak dapat mencuba rakaman 8K. Lagipun, buat masa ini rakaman 8K masih lagi tidak begitu praktikal kerana saiz failnya yang amat besar.

    Rakaman 4K di bawah 60fps boleh dirakam menggunakan kad memori SD biasa, dan kualiti videonya adalah sangat cantik. Segala fungsi mantap yang terdapat dalam mod fotografi seperti autofokus pantas, ISO sehingga 12,800 dan IBIS diterjemahkan dengan baik untuk rakaman video.

    Walau bagaimanapun, EOS R5 mengalami masalah sama yang terdapat pada R6 iaitu kamera menjadi panas dengan cepat, membuatkannya tidak sesuai digunakan dalam situasi yang memerlukan tempoh rakaman panjang. Mengikut ujian saya, rakaman selama 30 minit sahaja sudah membuatkan kamera ini terlalu panas dan ia perlu dimatikan agar komponen elektroniknya tidak terjejas. Selepas saya menunggu selama lima minit, EOS R5 hanya boleh merakam selama lima minit lagi sebelum ia menjadi terlalu panas semula.

    Pada pendapat saya, ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima jika anda ingin menggunakan EOS R5 sebagai perakam video. Sebagai contoh, setiap video dalam YouTube TechNave BM biasanya memerlukan rakaman berterusan sekurang-kurangnya satu jam, jadi kalau EOS R5 digunakan dan hanya boleh merakam selama 30 minit, pastinya ia akan menjejaskan aliran kerja kami dengan teruk. Ini belum kira waktu untuk menunggu kamera disejukkan.

    Lagipun, ujian yang saya jalankan sendiri dibuat dalam bilik yang disejukkan dengan kipas. Jika EOS R5 merakam video di luar dengan cahaya matahari yang terik, pastinya akan membuatkan kamera ini lebih panas dengan cepat.

    Masalah terlalu panas tidak akan timbul jika anda merakam dalam 1080p. Namun, anda perlu tahu bahawa EOS R5 hanya boleh merakam video berterusan selama 30 minit. Sebaik sahaja had 30 minit itu berakhir, anda perlu menekan butang rekod sekali lagi untuk memulakan rakaman baru.

    EOS R5 boleh menjadi terlalu panas dengan cepat, dan ini pasti akan mengganggu aliran kerja anda

    Mengakhiri ulasan ini, saya boleh simpulkan bahawa EOS R5 adalah kamera yang sangat mantap untuk kegunaan fotografi namun malangnya terdapat cacat cela yang agak serius pada bahagian videografi. Jika anda adalah ahli fotografi profesional yang ingin mendapatkan kamera bingkai penuh terbaru daripada Canon, EOS R5 memang adalah produk yang sangat mantap dan menjanjikan hasil gambar menakjubkan. 

    Namun jika anda lebih cenderung kepada rakaman video, pastikan anda membawa kamera lain yang lebih berkebolehan seperti Sony A7S III (RM16,599), A7R IV (RM15,299) atau Panasonic Lumix S1R (RM16,999). Jika anda menggemari sistem EOS R5 namun tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya, boleh lihat pada EOS R6 (RM11,999) yang mempunyai majoriti fungsi R5 namun dijual pada harga lebih murah.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Fungsi dan spesifikasi:

    • Sensor bingkai penuh Dual Pixel CMOS 45MP
    • Autofokus Dual Pixel II AF, merangkumi 100% ruang bingkai, boleh menjejak mata manusia dan haiwan
    • Rakaman video sehingga resolusi 8K
    • Rakaman video gerak perlahan sehingga 4K 120fps
    • Penggambaran 12fps (shutter mekanikal), 20fps (shutter elektronik)
    • Viewfinder OLED dengan resolusi 5.76 juta titik
    • Skrin LCD sentuh 3.2 inci, boleh diputar 180 darjah
    • Ruang kad CFExpress dan kad SD
    • Struktur tahan cuaca (weather sealing)

    Kelebihan: Kualiti gambar yang sangat cantik, ISO tinggi untuk penggambaran waktu malap, rakaman sehingga 8K

    Kekurangan: Cepat panas ketika merakam video

    Kesimpulan: Kamera mantap jika digunakan untuk fotografi sahaja, perlu didampingi sebuah lagi kamera jika ingin merekod video

     

    Artikel Terkini

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    HONOR Malaysia bakal lancarkan 4 produk baharu pada 22 April ini

    HONOR Malaysia akan memperkenalkan empat peranti terbaru mereka di acara MAGICal Ria Raya pada 22 April ini. Peranti-peranti tersebut termasuklah tablet HONOR...

    Insta360 X4 dilancar dengan rakaman 8K, kamera CMOS 72MP berharga RM2,499

    Insta360 yang merupakan syarikat penghasilan kamera aksi telah melancarkan Insta360 X4 dengan rakaman beresolusi 8K pertamanya. Kamera aksi ini dilengkapi dengan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X