fbpx
More

    Ulasan HONOR 9A – Memuaskan untuk peranti berharga RM549

    Selepas hampir 7 bulan HONOR melancarkan produk sensasi mereka, HONOR 9X, kini HONOR melancarkan adik bongsunya HONOR 9A dengan spesifikasi yang menjadi perbualan ramai peminat gajet. Untuk menjawab soalan pertama anda tentang produk ini, betul, telefon pintar ini menggunakan HUAWEI Mobile Services (HMS) berbeza dengan kebanyakan telefon pintar yang lain yang gunakan Google Mobile Services (GMS).

    HONOR Malaysia menggunakan slogan iklan ‘Besar Gila’ untuk mempromosikan telefon pintar HONOR 9A kerana ia mempunyai beberapa spesifikasi yang besar seperti bateri 5000mAh dan juga saiz skrin sebesar 6.3 inci, saiz yang besar untuk telefon pintar segmen bajet di Malaysia.

    Walau bagaimanapun, peranti HONOR 9A dilihat sebagai penjenamaan semula produk HUAWEI yang telah dilancarkan beberapa bulan lepas, HUAWEI Y6p. HONOR 9A dilengkapi dengan cipset Mediatek Helio P22 , tiga kamera bahagian belakang dengan kamera utama 13MP ,RAM 3GB dan storan saiz 64GB.

    Reka Bentuk – Elegan untuk peranti segmen bajet

    Telefon pintar ini hadir dengan reka bentuk plastik sesuai dengan tanda harganya yang berpatutan. Panel belakang plastiknya adalah jenis polikarbonat, panel plastik yang seakan-akan seperti kaca yang memantulkan cahaya. HONOR 9A hadir dengan warna gradien kebiruan yang diberi nama Phantom Blue dan warna ini sememangnya menaikkan seri telefon pintar segmen bajet ini.

    Reka bentuk kamera pada bahagian belakang juga dilihat mengikut trend reka bentuk kamera pada tahun 2020 dengan bentuk segi empat lebar ke bawah. Bonggolan kamera belakang HONOR 9A adalah sangat nipis dan menjadikan telefon pintar ini sesuai untuk dipakai tanpa casing.

    Butang yang ada pada HONOR 9A terasa lebih clicky berbanding telefon pintar yang lain. HONOR 9A juga sedikit berat dan tebal disebabkan menggunakan saiz bateri yang besar. Reka bentuknya hampir sama dengan reka bentuk HONOR 9X Lite yang dilancarkan pada bulan lepas. Untuk telefon pintar segmen bajet, HONOR 9A dilihat antara pilihan telefon pintar tercantik.

    Aksesori yang terdapat di dalam kotak
    Gril pembesar suara, mikro USB port dan bicu audio 3.5mm
    Panel belakang warna Phantom Blue yang menawan
    Jenama HONOR di panel belakang HONOR 9A
    Butang ‘volume’ dan butang ‘power’
    Kamera skrin bertakuk 8MP f2.0
    Kamera utama, ultra lebar dan ‘Depth Sensor‘ pada bahagian belakang
    Slot mikroSDXC dan kad sim

    Ciri dan Spesifikasi Teknologi HONOR 9A

    Untuk harga serendah RM549, HONOR 9A mempunyai spesifikasi yang sederhana sahaja. Berikut adalah spesifikasi HONOR 9A yang lebih lanjut.

    • Cipset Mediatek Helio P22
    • RAM 3GB + ROM 64GB (boleh ditambah sehingga 512GB)
    • Slot mikroSDXC
    • Paparan IPS LCD 6.3 inci HD+
    • Tri-Kamera Belakang 13MP f1.8 (lensa utama) + 5MP f2.2 (lensa ultra lebar) + 2MP f2.4 (depth sensor)
    • Kebolehan merakam video 1080P (30fps)
    • Kamera Hadapan Skrin Bertakuk 8MP f2.0
    • Sensor Cap Jari (di belakang peranti)
    • Bicu audio 3.5mm
    • Sokongan HUAWEI Mobile Services (HMS)
    • Sokongan NFC
    • Magic UI 3.1 berasaskan Android 10
    • Bateri 5000 mAh bersama pengecasan 10W (microUSB 2.0)
    • Berukuran 159.1 x 74.1 x 9mm dengan berat 185g
    • Pilihan warna Phantom Blue dan Midnight Black

    Untuk perisian pula, HONOR 9A menggunakan Magic UI 3.1 atas Android 10. Antara muka Magic UI 3.1 dilihat hampir sama seperti antara muka EMUI 10 yang digunakan oleh peranti HUAWEI. Reka bentuk antara muka Magic UI 3.1 dilihat kemas dan teratur dengan ciri minimalistik yang menarik hati pengguna.

    Namun, perlu diingatkan sekali lagi peranti ini menggunakan HUAWEI Mobile Services berlainan dari Google Mobile Services yang sudah semat di hati pengguna peranti Android. Aplikasi Google seperti Google Maps, Google Play Store tidak boleh dimuat turun. Aplikasi yang lain pula boleh dimuat turun menggunakan HUAWEI App Gallery.

    Prestasi – Padan dengan harga yang murah

    HONOR 9A hadir dengan cipset Mediatek Helio P22 dengan GPU PowerVR GE8320. Walaupun telefon pintar ini dilancarkan pada pertengahan 2020, ianya masih menggunakan jenis cipset Helio P22 yang dianggap lama dan mempunyai prestasi yang biasa sahaja. Telefon pintar pesaing sudah mula menggunakan cipset Mediatek siri G seperti G70, G80 dan G85 yang dapat memberikan prestasi yang lebih bagus.

    Setelah menggunakan telefon pintar ini selama seminggu, kami dapat rasakan prestasinya yang biasa dan ianya hanya sesuai untuk penggunaan ringan sahaja. Pembukaan aplikasi dan multitasking juga terasa sedikit lambat apabila menggunakan HONOR 9A ini. Untuk game PUBG, tetapan tertingginya hanya mampu menggunakan balanced untuk kualiti grafik dan medium untuk frame rate. Kami juga telah menggunakan aplikasi 3DMark untuk menguji kebolehan cipset HONOR 9A.

    Tetapan grafik dan frame rate (FPS) untuk HONOR 9A

    HONOR 9A dilengkapi dengan tiga kamera pada bahagian belakang iaitu kamera utama 13MP f1.8, kamera ultra lebar 5MP f2.2, dan kamera depth sensor 2MP f2.4.

    Hasil gambar yang diambil oleh HONOR 9A adalah memuaskan dengan warna yang sedikit pekat dengan ketajaman (sharpness) yang bagus. Butiran pada gambar juga dilihat mencukupi untuk telefon pintar berharga RM549. Namun, untuk kamera ultra lebar dan gambar waktu malam, dedahan cahaya adalah kurang bagus dan terdapat kawasan yang terlalu dedah (overexposed) dan kurang dedah (underexposed).

    Untuk gambar dari kamera swafoto 8MP f2.0 pula, ia dilihat mempunyai kualiti yang sederhana dengan warna kulit yang sedikit lembut.

    Gambar gelanggang bola keranjang dengan kamera utama 13MP f1.8
    Gambar objek dengan kamera utama 13MP f1.8
    Gambar objek dengan kamera ultra lebar 5MP f2.2
    Gambar taman permainan dengan kamera utama 13MP f1.8
    Gambar tman permainan dengan kamera ultra lebar 5MP f2.2
    ‘Bokeh’ semula jadi yang cantik
    Gambar bangunan dengan kamera utama 13MP f1.8
    Gambar waktu malam dengan pendedahan cahaya yang mencabar (tiada ‘night mode’)
    Gambar swafoto di dalam bilik
    Gambar swafoto di bawah cahaya matahari

    HONOR 9A dilengkapi dengan bateri 5000mAh yang besar dan ianya mampu bertahan lebih kurang 2 hari untuk sekali pengecasan penuh (penggunaan harian biasa). Keputusan ini mungkin berubah jika anda menggunakan dengan lebih kerap. Ia juga hadir dengan sokongan pengecasan biasa 10W sahaja dan hanya menggunakan port microUSB 2.0.

    Kesimpulan Ingat, ini telefon berharga RM549

    HONOR 9A menawarkan beberapa spesifikasi yang menarik pada tanda harga RM549 seperti bateri berkapasiti 5000mAh, reka bentuk yang menarik dan sokongan NFC. Secara keseluruhannya, HONOR 9A boleh dibeli jika anda ingin memiliki sebuah telefon pintar berpatutan dengan spesifikasi yang memadai untuk kegunaan harian. 

    Sekiranya anda ingin mencari telefon pintar yang lain dengan harga yang lebih kurang sama, anda mungkin boleh juga pertimbangkan telefon pintar realme C3 dan Redmi 9.

    Itu sahaja ulasan kami tentang HONOR 9A pada kali ini. Berikan pendapat anda tentang HONOR 9A di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk ulasan telefon pintar terkini.

     

    Artikel Terkini

    Google Maps dan Carian bantu pemilik EV mencari lokasi pengecasan

    Dengan peningkatan pemilikan kenderaan elektrik (EV), terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk stesen cas yang mudah diakses. Bagi mengatasi ini, Google Maps...

    Siri iQOO Z9 disahkan SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia tidak lama lagi

    iQOO sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri iQOO Z9 di China tidak lama lagi dengan jangkaan model standard akan menampilkan spesifikasi berbeza...

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X