More

    Ulasan HONOR Magic V5 – Lebih nipis, lebih berkuasa

    Pada tahun lalu, HONOR mencipta sejarah dengan mengeluarkan telefon pintar lipat yang ternipis dalam dunia, HONOR Magic V3, yang mempunyai ketebalan 4.4mm sahaja. Kini, HONOR berhasrat untuk memecahkan rekod tersebut dengan menghasilkan telefon lipat yang lebih nipis iaitu HONOR Magic V5 dengan ketebalan 4.2mm sahaja.

    Walaupun dengan reka bentuk yang amat nipis, HONOR tidak berkompromi terhadap ciri-ciri lain pada telefon ini, seperti rekaan yang tahan lasak dan kalis air serta spesifikasi yang setaraf telefon andalan (flagship) lain yang dilancar pada 2025. Walau bagaimanapun, harganya yang setinggi RM6,999 mungkin akan masih membuatkan majoriti pengguna berfikir ratusan kali sebelum membelinya dan adakah ia lebih berbaloi berbanding telefon lipat jenama lain. Untuk mengetahui sama ada telefon ini layak ditukarkan dengan sejumlah wang yang besar itu, ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Nipis tak masuk akal!

    Ciri yang paling menonjol pada HONOR Magic V5 adalah reka bentuknya yang sangat nipis dan membuatkan anda fikir bagaimanakah para jurutera HONOR berjaya mencipta peranti senipis ini sambil mengekalkan reka bentuk kukuh. Apabila skrinnya dibuka, ia mempunyai ketebalan 4.2mm sahaja, iaitu serupa seperti ketebalan empat kad kredit. Lihat sahaja pada port USB-C di bahagian bawah, hanya cukup-cukup makan sahaja untuk meletakkan port tersebut pada telefon ini.

    Namun jika anda bandingkan dengan Magic V3, sebenarnya ia tidak mempunyai perbezaan yang ketara kerana Magic V5 hanyalah lebih nipis sebanyak 0.2mm. 

    Rekaan belakang HONOR Magic V5 dalam warna Dawn Gold dan Ivory White
    Skrin Magic V5 apabila dibuka sepenuhnya
    Skrinnya boleh dilipat pada sebarang sudut
    Skrin luaran dengan nisbah aspek yang mirip telefon biasa

    Apabila dilipat, Magic V5 mempunyai ketebalan yang hampir dengan telefon biasa iaitu 9mm, membuatkannya rasa tidak jauh beza jika sebelum ini anda menggunakan telefon biasa. Sebagai rujukan, telefon andalan HONOR Magic7 Pro mempunyai ketebalan 8.8mm, jadi anda boleh lihat bahawa Magic V5 tidak jauh bezanya.

    Satu fakta menarik adalah ketebalan 4.2mm ini terdapat pada pilihan warna emas Dawn Gold (warna unit yang diulas dalam artikel ini), perang Silk Brown dan hitam. Jika anda dapatkan warna putih Ivory White, ia sebenarnya mempunyai ketebalan yang lebih nipis iaitu 4.1mm. Sungguh pun begitu, perbezaannya sangat kecil dengan warna-warna lain jadi saya merasakan ia bukanlah faktor yang akan mempengaruhi keputusan anda.

    Perbandingan ketebalan Magic V5 dengan syiling 50 sen
    Boleh dilipat rapat tanpa sebarang ruang di tengah-tengah
    Cukup-cukup untuk letakkan port USB-C

    Perlu dinyatakan bahawa walaupun dengan rekaan yang nipis, ia masih mempunyai bonggol kamera yang sangat tebal. Ini membuatkannya tidak boleh diletakkan rata di atas meja dan mungkin akan membuatkan bonggol kameranya lebih mudah tercalar.

    Walaupun dengan reka bentuk yang nipis, HONOR masih boleh hasilkan mutu buatan yang sangat tahan lasak untuk Magic V5. Dalam sesi taklimat media, HONOR menunjukkan bahawa engselnya boleh menahan berat sehingga 35kg untuk membuktikan ketahanan engselnya, jadi anda tidak perlu risau jika engsel ini mudah terkopak.

    "
    "
    Engsel telefon ini mampu menahan berat 35kg!
    Boleh ditenggelami air sepenuhnya!

    Skrin luarannya pula mempunyai HONOR Anti-Scratch NanoCrystal yang menggunakan bendalir Non-Newtonian Fluid di dalamnya untuk mengelakkan sebarang kesan calar. Sebenarnya sepanjang saya menggunakan telefon ini selama beberapa minggu, sudah terdapat kecan calar pada skrin luaran, namun ia hanyalah pada lapisan pelindung skrin yang sudah siap dipakaikan pada telefon ini. Besar kemungkinan, ia bukanlah kesan calar yang kekal pada skrinnya.

    Selain itu, ia turut mempunyai rating perlindungan IP58 dan IP59 yang membuatkannya kalis air sepenuhnya dan kalis debu. Walaupun ia ditenggelami air sepenuhnya, telefon ini masih berfungsi dengan baik, seperti yang ditunjukkan sewaktu sesi taklimat media.

    Satu perkara yang agak mengecewakan saya ialah pengimbas cap jari yang berada di bahagian sisi. Saya berharap untuk Magic V6 kelak, HONOR akan memperkenalkan pengimbas cap jari dalam skrin supaya ia sama dengan telefon-telefon andalan lain. Mujur sekali pengimbas cap jari sisi ini berfungsi dengan sangat responsif.

    Spesifikasi – Layak digelar flagship 2025

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk HONOR Magic V5:

    • Skrin luaran LTPO OLED 6.43 inci, resolusi 2376×1060, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 5,000 nits
    • Skrin dalaman LTPO OLED boleh lipat 7.95 inci, resolusi 2352×2172, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 5,000 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
    • RAM 16B
    • Storan dalaman 512GB
    • Kamera utama 50MP + kamera telefoto periskop 64MP + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera swafoto 20MP (skrin luaran) + kamera swafoto 20MP (skrin dalaman)
    • Bateri 5,820mAh
    • Pengecasan pantas 66W, pengecas disertakan dalam kotak
    • Pengecasan wayarles 50W
    • Sistem operasi Android 15 dengan MagicOS 9.0.1
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Port USB-C 3.1 Gen 1
    • Menyokong Bluetooth 6.0, Wi-Fi 7, NFC, dwi-kad SIM
    • Warna emas Dawn Gold, putih Ivory White, perang Silk Brown dan hitam Black
    • Berat 217g (Ivory White), 222g (warna-warna lain)
    • Rating kalis air IP58 dan IP59

    Jelasnya, HONOR melengkapkan Magic V5 dengan segala spesifikasi yang setaraf dengan telefon andalan yang dilancar pada 2025. Kedua-dua skrin menggunakan panel OLED yang menghasilkan visual cantik untuk video dan game, malah dengan kadar segar semula 120Hz ia menghasilkan animasi yang lancar sewaktu anda berinteraksi dengannya dan kecerahan puncak 5,000 nits bermaksud ia masih jelas kelihatan walaupun bawah cahaya matahari terik. Ia juga menyokong kandungan HDR10+ dan Dolby Vision jika anda melanggan kepada perkhidmatan penstriman yang menyediakannya.

    Bercakap tentang skrin utama, apabila ia dibuka, garis lipatan masih lagi kelihatan di bahagian tengah-tengah jika anda sengetkan skrin, namun ia hilang sepenuhnya jika anda melihat skrin secara terus. Sempadan bezelnya agak tebal jika dibandingkan dengan telefon biasa, jadi ini mungkin akan menjejaskan pengalaman visual anda. Ini berbeza dengan skrin hadapan yang mempunyai bezel nipis.

    Garis lipatan masih ada, tetapi sukar dilihat

    Untuk spesifikasi dalaman, Magic V5 menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang menawarkan akan prestasi pantas untuk segala kegunaan dan membuatkannya setaraf dengan telefon andalan lain. Ia menggunakan RAM LPDDR5X dan storan dalaman UFS 4.1 terkini yang akan memastikan kelajuan data tinggi, namun untuk pasaran Malaysia hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu 16GB+512GB. Saya akan ulas lanjut mengenai prestasinya dalam seksyen Prestasi.

    Magic V5 menggunakan sistem operasi Android 15 dengan MagicOS 9.0.1. Lazim untuk telefon lipat yang mempunyai skrin besar, anda boleh buka beberapa aplikasi serentak pada telefon ini. Anda boleh buka sehingga tiga aplikasi serentak (malah ia merupakan sesuatu yang diiklankan oleh HONOR sendiri), namun secara praktikalnya, saya lebih selesa dengan dua aplikasi serentak sahaja. Ini adalah kerana anda buka tiga aplikasi serentak, sebenarnya satu daripada tiga aplikasi itu dipaparkan sebahagian sahaja, jadi ia tidak boleh digunakan pun.

    Rupa Home Screen secara lalai (default)
    Rupa App Drawer
    Tiga aplikasi dibuka serentak, dari kiri: Gallery, TikTok dan Google Chrome

    Segala fungsi kecerdasan buatan (AI) yang sinonim dengan telefon HONOR seperti AI Writing Tools, AI Call Translation, AI Translate, Magic Portal, AI Deepfake Detection dan AI Image to Video masih ditawarkan dalam telefon ini. Fungsi AI Google juga disertakan seperti Google Gemini dan Circle to Search.

    Daripada segi kemas kini, Magic V5 akan menerima kemas kini Android utama selama empat tahun dan kemas kini keselamatan selama lima tahun. Ini sudah pun menjadi standard dalam industri, namun mungkin agak rendah jika dibandingkan dengan jenama pesaing seperti Samsung Galaxy Z Fold7 yang menawarkan sokongan kemas kini sehingga tujuh tahun.

    Prestasi – Laju tapi panas

    Berikut adalah beberapa penanda aras yang kami sudah lakukan untuk HONOR Magic V5:

    Geekbench 6 menunjukkan markah yang agak aneh, di mana ia gagal menyaingi cipset andalan daripada tahun lepas. Mungkin HONOR terpaksa menurunkan prestasi Snapdragon 8 Elite dalam Magic V5 kerana rekaannya yang lebih nipis berbanding telefon biasa, membuatkannya sukar untuk melesapkan haba dengan cekap
    Dalam ujian 3DMark selama 20 minit, ia mencatatkan penurunan prestasi yang agak ketara selepas minit ke-2, namun selepas itu prestasinya kekal stabil untuk sepanjang ujian

    Ternyata, Magic V5 tidak mempunyai sebarang masalah membuka sebarang jenis aplikasi, daripada aplikasi permesejan hinggalah game yang berat. Saya memainkan dua game berat iaitu Wuthering Waves dan Genshin Impact pada skrin utamanya yang besar dan saya boleh memainkannya dengan sangat lancar pada tetapan grafik tertinggi. Malah, saya telah cuba bermain game sambil memainkan video YouTube dalam tetingkap kecil dan pengalaman gaming saya masih rasa lancar.

    Sungguh pun begitu, satu isu yang ketara adalah telefon ini jadi panas dengan agak cepat sewaktu anda bermain game, terutamanya jika anda bermain sambil membuka skrin utama. Pastinya ini adalah isu yang timbul kerana reka bentuknya yang sangat nipis, lantas membuatkan haba lebih cepat terasa di tangan.

    Untuk hayat bateri, ia mempunyai kapasiti 5,820mAh yang agak besar, meskipun ia lebih nipis daripada Magic V3 (5,150mAh). Dengan ujian penstriman video yang diulang-ulang, bateri ini boleh menghasilkan waktu skrin hidup (screen-on-time) selama 12 jam untuk skrin belakang dan skrin hadapan. Untuk penggunaan harian, bateri ini boleh bertahan selama lebih daripada sehari, malah hingga dua hari jika anda tidak banyak gunakan aplikasi berat.

    Ia mencatatkan penggunaan masa skrin hidup (SOT) selama 12 jam

    Jika anda gunakan skrin utama untuk bermain game, anda akan gunakan lebih banyak bateri berbanding skrin hadapan. Sebagai contoh, saya memainkan Wuthering Waves selama 30 minit dengan skrin utama dan ia menggunakan 14% bateri.

    Sewaktu mengecas pula, Magic V5 menyokong kadar pengecasan pantas 66W dan pengecasnya turut disertakan dalam kotak. Pengecasan penuh daripada 0% akan mengambil masa sekitar 55 minit. Perlu diketahui bahawa untuk mendapatkan kadar pengecasan tertinggi, anda perlu aktifkan sendiri dalam tetapan. Ia hanya perlu dilakukan sekali sahaja. Jika anda lebih gemarkan pengecasan wayarles, telefon ini menyokong kadar 50W.

    Pengecasan daripada 0% hingga 96% mengambil masa 51 minit (9:24am hingga 10:15am)

    Kini saya ingin ulas mengenai kameranya pula. Ia menawarkan tiga profil warna iaitu Natural untuk warna yang mirip objek sebenar, Vibrant untuk warna yang lebih pekat dan Authentic untuk gambar yang nampak “lama” dan gelap sedikit. Saya lebih menggemari warna asli yang diketengahkan dalam mod Natural, namun anda boleh lihat sendiri tona manakah yang menjadi pilihan anda:

    Daripada segi kualiti gambar, kamera telefon ini boleh mengambil gambar yang cantik pada kebanyakan masa dalam semua situasi cahaya. Untuk gambar mod malam, ia mungkin akan meningkatkan kecerahan gambar dengan agak ketara namun jumlah noise boleh dikekalkan pada tahap yang rendah.

    Perbandingan profil warna Natural, Vibrant dan Authentic
    Kamera utama
    Kamera utama
    Kamera utama
    Ultra-lebar
    Zum 3x
    Zum 3x
    Gambar mod malam
    Gambar mod malam ultra-lebar
    Gambar swafoto dengan kamera utama
    Gambar swafoto dengan kamera utama, dalam mod potret

    Satu ciri yang menarik ialah jarak zumnya yang boleh pergi sejauh 3x untuk zum optikal dan 100x untuk zum digital. Saya mendapati kualiti gambar masih nampak cantik sehingga zum 20x, namun untuk zum yang jauh, ia akan menggunakan pemprosesan AI untuk memadamkan efek kabur. Secara jujurnya saya tak akan gunakan fungsi zum yang amat jauh ini, namun ia berbaloi diguna jika anda sekadar ingin “mengintai” benda yang berada jauh.

    Mod kamera kegemaran saya, Harcourt Portrait, turut dikekalkan dalam telefon ini dan ditawarkan dalam tiga mod iaitu Vibrant, Colour dan Classic. Pemisahan subjek dan latar belakang nampak sangat kemas dan warna yang dihasilkan juga baik. Dan jika anda suka menyunting gambar dengan fungsi AI, anda boleh gunakan fungsi-fungsi seperti AI Cutout, AI Eraser, AI Outpainting dan AI Upscale.

    Zum 1x dan 3x
    Zum 6x dan 10x
    Zum 50x dan 100x
    Gambar potret dengan Harcourt Classic
    Contoh gambar mod potret
    Pelbagai fungsi suntingan gambar berdasarkan AI

    Untuk rakaman video, kamera belakang boleh rekod dalam resolusi 4K 60fps, manakala kamera swafoto hanya boleh merakam pada kadar 4K 30fps sahaja. Akan tetapi saya merasakan ia bukanlah satu masalah jika anda ingin merakam diri sendiri kerana satu manfaat telefon lipat adalah anda boleh rakam diri sendiri dengan kamera belakang. 

    Kualiti videonya nampak baik dengan penstabilan yang bagus jika anda merakam sambil berjalan. Perlu diketahui bahawa zum untuk video hanya boleh pergi setakat 10x sahaja.

    Kesimpulan – Telefon lipat terbaik tahun ini?

    Untuk sebuah telefon lipat, HONOR Magic V5 memberikan segala-galanya yang anda perlukan untuk tugas harian, multi-tugas dan hiburan. Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang nipis dan lasak, tetapi dilengkapi segala spesifikasi dan fungsi yang boleh dijangka untuk telefon andalan yang dilancar pada 2025.

    Tahun ini juga menyaksikan jenama lain yang menyediakan alternatif sesuai untuk telefon lipat yang nipis dan canggih. Alternatif yang paling jelas pastinya adalah Samsung Galaxy Z Fold7 (RM7,799) yang turut mempunyai rekaan nipis dan spesifikasi canggih, namun dijual pada harga yang lebih mahal berbanding Magic V5. Satu kebaikan pada Fold7 adalah ia bakal menerima tempoh kemas kini yang lebih lama iaitu sehingga tujuh tahun.

    Selain itu, terdapat juga OPPO Find N5 (RM7,999). Walaupun harga telefon lipat OPPO lebih mahal, ia mempunyai kamera dengan talaan warna Hasselblad, jadi ia mungkin menarik minat pengguna yang menyukai profil warna tersebut. 

    Untuk telefon lipat yang dijual pada harga serupa, vivo X Fold5 (RM6,999) turut mempunyai rekaan nipis dan tahan lasak, namun perlu diingati bahawa ia menggunakan cipset yang agak ketinggalan iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3. Ini mungkin bukan isu yang besar untuk kegunaan harian, namun mungkin akan menawarkan prestasi lebih rendah dalam multi-tugas dan gaming.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    vivo lancar Concept Store baharu di Sunway Velocity Mall dengan pameran “imaging” tersendiri

    vivo Malaysia bakal membuka Concept Store baharu di Sunway Velocity Mall pada 27 Jun 2026 dengan membawa konsep lebih interaktif menerusi Immersive...

    Samsung kini pilih ChatGPT untuk bantu pembangunan produk dan operasi syarikat

    Samsung dan OpenAI kini mengembangkan kerjasama mereka ke peringkat baharu apabila Samsung dilaporkan akan menyediakan ChatGPT Enterprise dan Codex kepada semua pekerja...

    Tecno Camon 50 Slim tiba dengan 354 mini-LED belakang, skrin 144Hz dan ketebalan hanya...

    Tecno secara senyap-senyap telah menyenaraikan Camon 50 Slim pada laman global mereka yang mendedahkan hampir keseluruhan spesifikasi dan ciri telefon tersebut. Buat...

    Xiaomi YU7 GT jadi kereta pertama catat rekod pusingan tanpa pemandu di Nurburgring

    Litar Nürburgring Nordschleife di Jerman terkenal sebagai antara litar paling mencabar di dunia, tetapi kali ini ia menjadi lokasi percubaan yang berbeza...

    MC digital bakal diperkenal, bantu majikan sahkan ketulenan sijil cuti sakit pekerja

    Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung sindiket MC palsu yang dipercayai beroperasi sejak sedekad lalu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...