fbpx
More

    Ulasan HONOR Magic7 Pro – Perintis AI dalam telefon “flagship” untuk 2025

    HONOR Magic7 Pro telah dilancar di Malaysia pada minggu lalu sebagai telefon pintar andalan (flagship) Android pertama di Malaysia pada tahun ini, dan seperti yang anda boleh jangkakan, ia mempunyai segala fungsi dan spesifikasi yang tercanggih untuk 2025 seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite untuk prestasi pantas serta lambakan fungsi-fungsi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan tugasan harian anda.

    Dengan harga pasaran bermula RM4,599 untuk varian memori 12GB+512GB, jelas sekali ini bukanlah telefon yang murah jadi ia perlu menonjolkan pelbagai ciri-ciri yang sangat canggih bagi mewajarkan harga tersebut. Malah, ia perlu bersaing dengan beberapa telefon andalan jenama lain yang dijual pada harga serupa. Jadi adakah ini telefon terbaik untuk kategorinya? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahui lebih lanjut.

    Rekaan – Agak asas untuk sebuah telefon andalan

    Sekali pandang, Magic7 Pro tidak mempunyai rekaan belakang yang ikonik atau membuatkan orang boleh mengenalinya dari jauh. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah kelabu Lunar Shadow Grey dan mempunyai corak mirip kabus di belakangnya. Ia mempunyai permukaan matte yang tidak meninggalkan cap jari langsung, serta logo “HONOR” yang berkilauan. 

    Walaupun rekaannya tidak ikonik, ini tidaklah bermakna ia tidak mempunyai mutu buatan yang premium. Ia rasa kukuh di tangan apabila dipegang, dan jika anda sedang mencari telefon dengan pelbagi spesifikasi canggih namun mempunyai penampilan berprofil rendah, Magic7 Pro ialah telefon yang sesuai.

    HONOR Magic7 Pro dalam warna kelabu Lunar Shadow Grey, dengan corak “kabus”
    Bonggol kamera yang agak besar dan tebal
    Butang kuasa dengan garisan merah
    Bahagian sisi yang rata, namun masih mempunyai sedikit lengkungan di sempadannya

    Selain kelabu, ia turut ditawarkan dalam warna biru muda Breeze Blue dan hitam, namun kedua-dua pilihan warna ini tidak mempunyai sebarang corak di belakang.

    Bonggol kameranya agak tebal dan besar, kerana ia menempatkan tiga lensa berprestasi tinggi bagi menghasilkan pengalaman fotografi yang sepadan dengan kategorinya sebagai telefon andalan. Untuk bahagian rangka sisi pula, ia rata dengan sedikit lengkungan pada bahagian bucu.

    Seperti kebanyakan telefon HONOR yang lain, Magic7 Pro mempunyai ketahanan yang tinggi, dengan pengiktirafan SGS 5-Star Drop Resistance Certification yang menjamin bahawa ia tahan impak dan tahan calar, serta rating kalis air IP68 & IP69 yang bermaksud ia kalis debu dan kalis air, walaupun dengan semburan air jet berkelajuan tinggi.

    Skrin Magic7 Pro dengan potongan berbentuk pil di bahagian atas untuk menempatkan kamera swafoto dan sensor 3D

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.8 inci dengan bahagian sisi yang melengkung sedikit serta lubang berbentuk pil yang menempatkan kamera hadapan dan sensor 3D TOF. Saya akan ulas lebih lanjut mengenai skrinnya dalam seksyen Spesifikasi.

    Spesifikasi – Taraf flagship untuk semua segi

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk HONOR Magic7 Pro:

    • Skrin LTPO OLED 6.8 inci, resolusi 1280×2800, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 5,000 nits, kaca HONOR NanoCrystal Shield
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
    • RAM 12GB atau 16GB
    • Storan dalaman 512GB atau 1TB
    • Kamera utama 50MP dengan apertur f/1.4-f/2.0 + kamera ultra-lebar 50MP f/2.0 + kamera telefoto 200MP f/2.6 dengan zum optikal 3x, zum digital 100x
    • Kamera hadapan 50MP + sensor 3D
    • Bateri 5,850mAh
    • Pengecasan pantas 100W, pengecasan wayarles 80W
    • Pembesar suara stereo dengan HONOR Surround Subwoofer
    • Port USB Type-C 3.2 Gen 1
    • Sistem operasi Android 15 dengan MagicOS 9.0
    • Menyokong hubungan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4
    • Ukuran: 162.7 x 77.1 x 8.8mm | berat 223 gram

    Seperti yang boleh dijangka untuk telefon andalan, skrin Magic7 Pro boleh menghasilkan pengalaman tontonan yang sangat cantik, dengan warna yang pekat serta sempadan bezel nipis di semua bahagian sisi untuk meningkatkan kualiti tontonan. Lebih-lebih lagi dengan kecerahan puncak sehingga 5,000 nits, ia akan memudahkan anda untuk melihat skrin walaupun di bawah cahaya matahari terik.

    Sungguh pun begitu, satu benda yang buat saya kurang gemar dengan skrin ini adalah potongan berbentuk pil yang agak besar di bahagian atas, menempatkan kamera hadapan dan sensor 3D untuk pengimbasan muka yang lebih selamat. Sebagai seseorang yang sudah biasa dengan lubang kecil sahaja pada skrin telefon untuk kamera hadapan, sukar untuk saya nikmati tontonan visual pada Magic7 Pro kerana potongan berbentuk pil ini agak mengganggu saya. Saya sedar bahawa sensor 3D itu bertujuan untuk imbasan muka yang lebih selamat dan pantas sewaktu face unlock, namun saya sebenarnya tidak menggunakan fungsi itu jadi sensor 3D itu bukanlah satu ciri yang penting untuk saya.

    Potongan berbentuk pil di bahagian kiri itu mengganggu saya sewaktu menonton video

    Beralih kepada spesifikasi dalaman, selain daripada cipset Snapdragon 8 Elite yang menawarkan prestasi tinggi, HONOR menawarkan kapasiti RAM (12GB atau 16GB) dan storan (512GB atau 1TB) yang agak besar pada Magic7 Pro, mungkin supaya ia sepadan dengan pelbagai aplikasi, fail, gambar dan video canggih yang memerlukan storan lebih besar pada waktu ini. Saya akan ulas prestasi penggunaan dalam seksyen seterusnya.

    Satu perkara yang menarik adalah walaupun Magic7 Pro mempunyai ketebalan yang sama dengan Magic6 Pro pada tahun lalu, Magic7 Pro boleh memuatkan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 5,850mAh. Bukan itu sahaja, kadar pengecasan pantas telah dinaikkan kepada 100W manakala pengecasan wayarles kini setinggi 80W. Saya akan ulas mengenai hayat bateri dan tempoh pengecasan dalam seksyen Prestasi.

    Satu perkara yang saya tidak jangkakan adalah kualiti audio yang tinggi daripada pembesar suara stereo dalam telefon ini. Ia mempunyai fungsi Premium Bass yang menghasilkan bunyi yang sangat berkuasa dan jelas, dan saya berpendapat ia merupakan telefon 2025 dengan pembesar suara terbaik setakat ini. Perlu diingati bahawa Premium Bass akan menggunakan lebih banyak bateri.

    Fungsi Premium Bass akan meningkatkan kualiti audio dengan ketara

    Selain daripada penambahbaikan pada spesifikasi, Magic7 Pro turut mempunyai fungsi-fungsi HONOR AI yang dipertingkatkan daripada Magic6 Pro. Satu ciri baharu adalah AI Deepfake Protection yang boleh mengesan jika anda sedang membuat panggilan video dengan orang yang menggunakan teknologi deepfake untuk menyamar sebagai ahli keluarga atau rakan-rakan anda. 

    Saya sebenarnya tidak tahu cara untuk membuat panggilan video dengan fungsi deepfake, jadi saya tidak boleh uji fungsi ini. Sungguh pun begitu, saya telah menyaksikan sebuah demonstrasi AI Deepfake Detection oleh HONOR sewaktu majlis pelancaran Magic7 Pro baru-baru ini dan ia memang boleh mengecam jika anda menerima panggilan video deepfake. Sebaik sahaja ia mengesan video deepfake, ia akan memaparkan notifikasi untuk menggesa anda menamatkan panggilan video secepat mungkin.

    Demonstrasi AI Deepfake Detection yang ditunjukkan oleh HONOR sewaktu majlis pelancaran Magic7 Pro
    AI Deepfake Detection tidak boleh mengesan video deepfake yang dimainkan dalam YouTube, seperti video deepfake yang menyamar sebagai Elon Musk ini

    Perlu diingati bahawa AI Deepfake Detection hanya boleh mengesan deepfake dalam panggilan video. Ini bermaksud jika anda menonton video deepfake yang dikongsi dalam WhatsApp, YouTube atau mana-mana media sosial, fungsi ini masih tidak boleh mengesan bahawa itu adalah video tiruan, jadi anda masih perlu berhati-hati dan jangan berharap sangat pada fungsi ini untuk mengesan video palsu.

    Selain itu, Magic Portal kini lebih mudah diguna, di mana anda boleh bulatkan sebarang imej pada skrin dengan tulang buku jari (knuckle), kemudian anda boleh seret imej itu kepada mana-mana aplikasi yang tersenarai pada bahagian sisi kanan skrin. Anda boleh simpan imej itu ke Gallery, buat carian imej dalam Google Images, kongsi ke Facebook dan macam-macam lagi. Ini akan meringkaskan lagi proses mencari maklumat atau berkongsi gambar.

    Dengan Magic Portal, anda boleh bulatkan sebarang imej yang dipaparkan, kemudian anda boleh seret imej itu ke aplikasi yang disenaraikan di bahagian kanan skrin

    Untuk lain-lain fungsi AI seperti Transcribe, Translation, Summary, Eraser dan Cutout, saya akan ulas dalam seksyen Prestasi.

    Prestasi – Laju, dengan AI yang lebih tepat

    Berikut adalah markah penanda aras yang saya telah lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Penanda aras Geekbench dan perbandingan dengan peranti-peranti lain
    Markah 3DMark yang menunjukkan prestasi tinggi sepanjang 20 minit dalam Steel Nomad Light Stress Test, namun tidak sekata

    Seperti beberapa telefon Snapdragon 8 Elite yang kami telah ulas sebelum ini seperti realme GT 7 Pro dan ASUS ROG Phone 9 Pro, Magic7 Pro memang boleh mencatatkan markah penanda aras yang tinggi dan jauh meninggalkan cipset generasi sebelumnya, Snapdragon 8 Elite.

    Tetapi bagaimana markah yang tinggi ini diterjemahkan kepada penggunaan harian? Untuk situasi biasa seperti bermesej, melayari media sosial dan membaca laman web, memang tidak mempunyai sebarang masalah, malah anda boleh bertukar-tukar aplikasi dengan pantas. Untuk tugasan berat seperti bermain game pula, telefon ini tidak mempunyai masalah dalam memainkan grafik tinggi dalam tempoh yang lama.

    Saya memainkan game Genshin Impact dengan tetapan grafik paling tinggi dan kadar bingkai 60fps, dan saya langsung tidak mengalami penurunan kadar bingkai walaupun bermain selama sejam. Daripada segi suhu pula, jika saya memainkan dalam mod Balanced dalam Game Manager, telefon ini boleh mencecah 40°C iaitu masih lagi boleh diterima dan tidak terlalu mengganggu tapak tangan. Jika saya mainkan dalam mod Game sekali pun, suhu sekadar 41°C sahaja.

    Daripada segi hayat bateri, ia boleh bertahan selama sehari dengan selesa, walaupun jika anda banyak bermain game atau mengambil gambar. Sewaktu saya bermain Genshin Impact pula, sesi selama 30 minit akan menggunakan sekitar 10% daripada kapasiti bateri, tidak kisahlah sama anda ada dalam mod Balanced atau Game.

    Tiada masalah bermain Genshin Impact dengan grafik tertinggi
    Anda boleh pilih antara mod Balanced atau Game, di mana Game akan meningkatkan prestasi namun telefon akan menjadi lebih panas

    Dengan kadar pengecasan setinggi 100W, tentunya ia mempunyai tempoh pengecasan yang sangat singkat. Mengikut percubaan saya menggunakan pengecas 100W yang disertakan dalam kotak, pengecasan penuh daripada 0% mengambil masa sekitar 40 minit. Saya harus puji HONOR kerana masih lagi menyertakan pengecas dalam kotak telefon, sewaktu semakin banyak jenama lain tidak menyertakan pengecas dalam kotak telefon-telefon mereka.

    Perlu diketahui bahawa untuk mengaktifkan mod pengecasan 100W, anda perlu aktifkan secara manual dengan menekan lama pada skrin. Selain itu, suhu telefon sewaktu ia dicas dengan kadar 100W boleh jadi agak tinggi, sehingga 44°C, jadi saya nasihatkan anda untuk tidak gunakan telefon ini sambil mengecas bagi mengawal suhu bateri pada tahap optimum dan tidak menjejaskan kesihatan bateri.

    Anda perlu aktifkan sendiri jika ingin dapatkan kadar pengecasan tertinggi
    Pengecasan daripada 2% kepada 97% mengambil masa 37 minit (2:58pm hingga 3:35pm)

    Kini saya mahu ulas mengenai prestasi AI, terutamanya yang disediakan dalam aplikasi HONOR Notes. Seperti tahun lepas, Notes boleh membuat transkripsi dan terjemahan daripada rakaman audio yang panjang dan ia boleh digunakan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Mandarin, Sepanyol, Arab, Turki dan Melayu. Pujian harus diberikan kepada HONOR kerana tidak melupakan bahasa Melayu, kerana jenama-jenama lain masih tidak menyokong bahasa ini dalam fungsi AI mereka.

    Daripada segi kualiti transkripsi dan terjemahan, saya anggarkan ia mempunyai ketepatan sekitar 80%. Pada kebanyakan masa, ia boleh menghasilkan teks yang tepat, namun ada kalanya ia menghasilkan teks yang salah, terutamanya dalam bahasa Melayu, jadi anda harus semak dan buat pembetulan yang sepatutnya selepas habis transkripsi dan penterjemahan.

    Contoh transkripsi audio dalam Bahasa Inggeris dan Melayu, kualiti transkripsinya boleh diharap, tapi bukan tepat sepenuhnya

    Selain itu, jika anda merekod audio mesyuarat panjang yang disertai oleh beberapa individu serentak, AI Minutes boleh menghasilkan minit-minit mesyuarat dengan tepat serta boleh memisahkan suara individu yang berlainan dalam minit-minit tersebut. Malangnya, fungsi AI Minutes tidak boleh digunakan untuk bahasa Melayu.

    Selain itu, teks yang panjang pula boleh dirumuskan dengan AI Summary, atau diringkaskan kepada bentuk poin dalam AI Format dan saya dapati kualiti ringkasannya bagus jika anda tidak mempunyai masa yang lama untuk baca artikel panjang. Sungguh pun begitu, jika anda ingin meringkaskan artikel panjang dalam sebuah laman web, anda perlu simpan (save) dahulu artikel itu ke dalam Notes dengan meleret tiga jari ke bawah serentak, kemudian baru anda boleh buat ringkasan AI untuk artikel tersebut. Saya lebih gemar jika ringkasan AI itu boleh dibuat terus dalam pelayar web.

    AI Summary dalam Bahasa Melayu dan Inggeris

    Habis mengenai AI, kini saya ingin ulas prestasi kameranya pula. Sebagai sebuah telefon andalan, Magic7 Pro boleh menghasilkan gambar yang sangat cantik dalam situasi terang dan malap. Dalam mod foto, anda diberikan tiga pilihan profil warna iaitu Natural, Vibrant dan Authentic. Saya berpendapat mod Authentic adalah yang paling berbeza daripada warna sebenar, kerana ia cuba menghasilkan efek gambar yang diambil dengan kamera filem lama.

    Sewaktu mengambil gambar mod potret, fungsi gubahan warna Harcourt Studio yang diperkenalkan dalam Magic6 Pro sebelum ini masih dikekalkan dalam Magic7 Pro. Saya mendapati gubahan warnanya masih nampak sangat menarik dan kemas, dan saya memang suka dengannya dan harap lebih banyak jenama akan menawarkan fungsi warna seperti ini.

    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera ultra-lebar
    Contoh gambar zum 3x
    Contoh gambar swafoto dalam mod potret
    Contoh gambar Night Mode
    Contoh gambar Harcourt Portrait dalam warna Harcourt Vibrant, Harcourt Colour dan Harcourt Classic

    Untuk gambar dalam Night Mode, ia boleh menghasilkan gambar yang cantik dengan jumlah noise yang rendah, namun garisan pantulan cahaya daripada lampu masih nampak jelas dan mungkin akan merosakkan gambar anda sedikit.

    Satu ciri baharu yang menarik adalah HD Super Burst yang boleh mengambil gambar sepantas 10 gambar sesaat. Anda hanya perlu menekan shutter dengan lama, kemudian telefon ini akan mengambil banyak gambar dengan pantas. Dalam satu burst, anda boleh ambil sehingga 100 gambar.

    Selain itu, AI Super Zoom pula meningkatkan kualiti gambar zum anda dengan pemprosesan AI. Walaupun anda zum jauh sehingga 100x, fungsi ini masih boleh menyelamatkan gambar anda supaya ia tidak nampak kabur. Pada pendapat saya, efek pemprosesan AI pada gambar dengan AI Super Zoom masih nampak jelas, namun saya lebih gemar pemprosesan AI ini daripada tiada langsung.

    Perbandingan zum: 1x
    Perbandingan zum: 6x
    Perbandingan zum: 50x
    Perbandingan zum: 100x
    Dengan HD Super Burst, saya boleh ambil detik yang paling menarik sewaktu saya melompat dengan papan selaju
    HD Super Burst boleh ambil banyak gambar dalam tempoh yang singkat, sepantas 10 gambar sesaat

    Untuk rakaman video, anda boleh rakam sehingga resolusi 4K pada kadar 60fps untuk semua kamera belakang dan kamera hadapan. Kualiti videonya nampak sangat cantik, dan penstabilannya juga cemerlang jika anda ingin merakam video sambil berjalan.

    Magic7 Pro juga mempunyai beberapa fungsi suntingan gambar yang menggunakan AI. Fungsi AI Eraser boleh memadam sebarang objek yang tidak diingini dalam gambar, dan saya berpendapat fungsi AI generatif yang akan mengisi ruang kosong selepas objek tersebut dibuang, nampak lebih kemas berbanding Magic6 Pro. Selain itu, fungsi AI Cutout boleh membuang latar belakang dengan sangat kemas dan pantas.

    AI Eraser boleh memadam lelaki berbaju hitam itu dengan kemas
    AI Cutout boleh memotong gambar burrito ini dengan kemas

    Satu perkara aneh adalah jika anda lihat dalam laman web HONOR, telefon ini sepatutnya mempunyai fungsi AI Outpainting yang boleh meluaskan sempadan gambar dengan teknologi AI generatif, namun sewaktu ulasan ini ditulis, fungsi AI Outpainting masih tiada dalam telefon ini.

    Kesimpulan – Telefon lengkap untuk 2025, jika anda tidak kisah dengan harga T20

    Jelasnya, HONOR Magic7 Pro menampilkan pelbagai fungsi canggih yang padan dengan statusnya sebagai telefon andalan pertama untuk 2025, terutamanya dengan prestasi pantas serta penambahbaikan dalam fungsi-fungsi AI. Sungguh pun begitu, saya merasakan kewujudan potongan berbentuk pil pada skrinnya membuatkan saya agak keberatan terhadap telefon ini kerana ia mengganggu pengalaman tontonan saya.

    Jika anda tidak kisah dengan isu tersebut, Magic7 Pro adalah sebuah peranti yang sangat mantap. Alternatif yang sesuai kepada telefon ini termasuklah OPPO Find X8 Pro (RM4,999) dan vivo X200 Pro (RM4,699) yang menawarkan fungsi fotografi yang sangat canggih, namun ia tidak dilengkapi fungsi AI yang eksklusif untuk HONOR seperti AI Deepfake Detection.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Gemini kini boleh diakses pada skrin kunci peranti Android

    Gemini kini boleh digunakan terus pada skrin kunci peranti Android anda. Ini membolehkan anda menjalankan beberapa interaksi kegemaran dengan Gemini tanpa perlu...

    iQOO Neo 10R akan dilancar pada 11 Mac 2025

    iQOO akhirnya mengesahkan tarikh pelancaran rasmi untuk iQOO Neo 10R iaitu pada 11 Mac 2025 di India selepas beberapa hari memberi petunjuk...

    PM Anwar nafi kenaikan tarif elektrik 14% Julai ini

    Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14% pada Julai ini....

    Nothing Phone (3a) dijangka hadir dengan butang kamera pada 4 Mac 2025

    Nothing akan melancarkan Phone (3a) pada 4 Mac ini dengan fokus utama pada prestasi kamera. Telefon ini akan menampilkan butang kamera khas...

    Telefon tri-lipat Samsung mungkin dinamakan sebagai Galaxy G Fold

    Apabula bercakap mengenai telefon lipat, jenama Samsung sudah tidak asing lagi dengan produknya Samsung Galaxy Z Flip6 dan Z Fold6. kini, laporan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured