More

    Ulasan HUAWEI MatePad 11.5″S PaperMatte Edition: Pengalaman kerja mewah dan skrin memukau!

    Untuk memudahkan kerja anda, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara hibrid, anda mungkin memerlukan peranti yang kecil dan ringan serta memenuhi segala keperluan anda selain daripada komputer riba. Keperluan yang dimaksudkan pastilah, tugasan kerja, hiburan dan game.

    Oleh itu, saya akan mengulaskan HUAWEI MatePad 11.5″ S PaperMatte Edition yang merupakan tablet yang agak bagus bagi kesemua keperluan di atas. Mungkin juga, ulasan ini akan membantu anda untuk memilih peranti yang bersesuaian dalam kehidupan seharian.

    Rekaan – Anggun, kemas dan kukuh

    HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition merupakan bukti kepada rekaan dan kualiti binaan yang halus. Estetikanya yang cantik dan elegan menjadikannya selesa untuk digunakan dan dilihat. Pembinaan unibody aluminium bukan sahaja menambah rasa premium tetapi juga memastikan ketahanan, manakala profil nipis 6.2mm dan ringan 510g menjadikannya sangat mudah alih tanpa memberikan sebarang masalah bengkok yang pernah berlaku pada iPad.

    Peranti ini mempunyai sedikit bonjolan kamera yang menyatu dengan baik dalam rekaannya. Pilihan reka bentuk yang cantik ini mengekalkan bahagian belakang yang licin dan bersih, meningkatkan keseluruhan penampilan dan rasa tablet ini. Kamera hadapan diletakkan dengan strategik dan sesuai untuk panggilan video dan swafoto tanpa mengganggu simetri tablet.

    Kesan cap jari kurang kelihatan pada peranti ini yang merupakan kelegaan bagi mereka yang lebih suka penampilan yang bersih dan rapi. Walaupun cap jari kurang kelihatan, tablet ini mungkin masih menarik kotoran dari semasa ke semasa, terutamanya dengan penggunaan yang kerap. Tapi, ini adalah perkara biasa kerana kebanyakan peranti anti cap jari juga masih meninggalkan kesan cap jari walaupun tidak terlalu jelas.

    Sistem audio sangat mengagumkan dengan empat pembesar suara di mana dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri bagi menyediakan pengalaman bunyi yang seimbang dan mengasyikkan. Penempatan butang audio di bahagian sisi atas dan butang kuasa di bahagian sisi kiri memastikan akses yang intuitif.

    Pengecasan adalah mudah dengan port USB-C yang terletak di sebelah kanan di antara dua pembesar suara, membolehkan sambungan yang lancar tanpa mengganggu penggunaan. Secara keseluruhan, HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition menggabungkan kepraktisan dengan keanggunan, menjadikannya pilihan yang menonjol bagi mereka yang mencari tablet yang direka dengan baik dan berfungsi.

    Di dalam kotak, anda akan menerima tablet, pengecas HUAWEI SuperCharge, kabel USB-C, manual dan kad waranti (bergantung pada pasaran). Pilihan tambahan termasuk Papan Kekunci Magnetik Pintar HUAWEI yang dikuasakan oleh NearLink yang memerlukan bayaran lebih atau anda boleh membelinya sewaktu promosi.

    "
    "
    Unibody aluminium yang kemas
    Bonggol kamera yang tidak tebal dan kecil
    Sisi kanan: Pembesar suara dan port USB-C
    Sisi kiri: Pembesar suara dan butang kuasa
    Butang kawalan audio

    Sekiranya anda mendapat Papan KeKekunci Magnetik Pintar HUAWEI, perkara ini mungkin dapat menarik perhatian anda. Ia sangat sejajar dengan penutup dan papan kekunci yang menawarkan paduan yang sempurna antara fungsi dan gaya. Penutup ini terdiri daripada dua bahagian iaitu satu untuk melindungi tablet dengan kaki sokongan, sesuai untuk menonton kandungan media dengan selesa dan lagi satu adalah papan kekunci magnetik.

    Lampiran magnetik antara penutup tablet dan papan kekunci adalah kuat dan selamat, mengubah MatePad menjadi peranti yang serba guna seperti sebuah komputer riba. Papan kekunci itu sendiri menawarkan pengalaman menaip yang memuaskan dengan kekunci yang responsif dan mempunyai bunyi klik yang elegan. Walaupun tiada pad ketik, navigasi tetap intuitif dengan menggunakan M-Pencil Generasi Ketiga atau hujung jari untuk menggerakkannya.

    Ia memiliki fungsi yang hampir seperti komputer riba, MatePad kekal nipis, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana tanpa mengorbankan kegunaan penuh. Ia menggunakan teknologi NearLink sama seperti M-Pencil, memastikan sambungan dan fungsi yang lancar.

    M-Pencil Gen-3, penutup dan papan kekunci
    Papan KeKekunci Magnetik Pintar HUAWEI
    Kekunci yang responsif dan mempunyai bunyi klik yang elegan
    M-Pencil dengan sentuhan yang tepat
    Penutup tablet dan papan kekunci adalah kuat dan selamat

    Spesifikasi – Lengkap untuk kegunaan harian dan kerja

    Berikut adalah spesifikasi ringkas pada HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition:

    1. Cipset Kirin 9000WL, Octa-core
    2. Skrin TFT LCD (IPS), kadar segar semula 144Hz 11.5 inci
    3. Nisbah Skrin-ke-badan 87%
    4. RAM 8GB dan ROM 256GB
    5. Kamera belakang 13MP
    6. Kamera swafoto 8MP
    7. Bateri 8,800mAh dengan pengecasan 10V
    8. Spesifikasi lain: Bluetooth, Disokong (arus keluaran maksimum 1A/5V semasa bekalan kuasa terbalik), 4 pembesar suara dan HarmonyOS 4.2

    Berbeza dengan kebanyakan tablet lain, MatePad ini berjaya menghilangkan 98% gangguan cahaya, menghasilkan paparan yang tetap jelas dan bebas daripada pantulan yang mengganggu. Ini merupakan suatu pencapaian yang sangat mengagumkan dan meningkatkan kegunaan dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

    Walaupun bezel di sekeliling skrin agak tebal, ia tidak mengurangkan fungsi atau keseronokan tontonan tablet ini, sama ada untuk bekerja atau menikmati filem. Tekstur skrin sendiri terasa sangat halus, membezakannya daripada tablet lain dan menambah kepuasan secara sentuhan dalam penggunaan peranti ini.

    Bebas daripada pantulan cahaya

    Walaupun paparannya tidak secerah skrin OLED, ia tetap menyampaikan warna-warna yang hidup, kontras yang mencukupi dan pengalaman visual yang terang untuk penggunaan pelbagai tab dan tugas harian. Ia juga cukup tahan terhadap cap jari, walaupun pembersihan sesekali mungkin diperlukan untuk mengekalkan kebersihannya secara menyeluruh.

    Dilengkapi dengan cipset Kirin 9000WL octa-core, RAM 8GB dan ROM 256GB, ia menjanjikan keupayaan prestasi yang mengagumkan seperti mengendalikan tugas-tugas harian dengan lancar dan menawarkan navigasi yang responsif tanpa lag yang ketara, memastikan pengalaman pengguna yang lancar dan menyenangkan.

    Walau bagaimanapun, walaupun spesifikasinya lengkap dan boleh tahan bagusnya, terdapat kekangan dengan beberapa aplikasi seperti Asphalt 9 yang tidak dapat dibuka walaupun telah dimuat turun daripada HUAWEI App Gallery. Isu ini mungkin mengurangkan pengalaman keseluruhan bagi pengguna yang gemar bermain game atau bergantung kepada aplikasi-aplikasi tertentu yang tidak sepenuhnya serasi.

    HarmonyOS 4.2 pada HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition menawarkan pengalaman pengguna yang biasa tetapi menyegarkan seperti Android dengan fungsi tambahan yang meningkatkan produktiviti dan serba boleh. Mengejutkan, sistem operasi ini termasuk perkhidmatan Google, membolehkan akses lancar kepada aplikasi dan perkhidmatan yang dikenali seperti pada telefon pintar, memastikan keselesaan bagi pengguna yang berpindah daripada Android.

    Tablet ini dilengkapi dengan pelbagai aplikasi berguna yang diprapasang terutamanya untuk tugas produktiviti seperti NotePad yang meningkatkan kecekapan kerja. Walau bagaimanapun, ciri utama adalah aplikasi GoPaint yang menandingi alat profesional seperti Procreate pada iPad. Aplikasi ini berfungsi dengan sangat baik bersama M-Pencil Generasi Ketiga, menawarkan ketepatan tekanan dan pelbagai jenis berus yang responsif.

    Penggiat seni akan menghargai responsiviti aplikasi GoPaint dan skrin anti-pantulan yang membolehkan kreativiti walaupun di bawah sinar matahari terang. Sama ada anda melukis di luar atau mengemaskan idea di dalam, MatePad memberikan platform yang sangat baik untuk ekspresi seni, menjadikannya pilihan menarik untuk profesional kreatif.

    Aplikasi GoPaint
    Lukisan yang dihasilkan di GoPaint

    Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai WPS Office PC dan WPC Office untuk anda melakukan kerja yang menyediakan kebanyakan fungsi-fungsi popular seperti Word, PowerPoint, Excel dan banyak lagi. Kebanyakkan kerja pejabat menggunakan aplikasi ini dan mungkin anda akan berada di dalam situasi di mana rakan sepejabat menghantar dokumen untuk diperbaiki secepat mungkin tanpa perlu pergi ke laman web rasmi yang mengambil sediki masa.

    Untuk mengemaskan lagi halaman antara muka anda, aplikasi yang telah dimuat turun boleh dimasukkan dalam satu folder dan saiz folder boleh dikecilkan atau dibesarkan mengikut pilihan anda. Kemudian, untuk memudahkan tugasan lain, anda juga boleh membuka satu tab kecil untuk memastikan pelbagai tugas berjalan dengan lancar sambil mengekalkan produktiviti. Sewaktu bermain game juga terdapat ‘Game Manager‘ untuk anda kekal fokus bermain game atau fokus pada dua benda dalam satu masa.

    WPC Office
    Saiz folder boleh dikecilkan atau dibesarkan
    Tab kecil untuk memastikan pelbagai tugas berjalan dengan lancar
    Game Manager

    Prestasi – Penggunaan kasual dan intensif

    Di bawah adalah keputusan 3DMark dan Geekbench 6 untuk HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition:

    Walaupun tablet ini lebih berfokuskan penggunaan kerja pejabat dan kreatif, ia tidak lari daripada kemampuan bermain game. Saya telah memuat turun dia alikasi game iaitu Mobile Legends: Bang Bang dan Asphalt 9 akan tetapi Asphalt 9 tidak dapat dibuka dan digunakan. Jangan risau, ini tidak terjadi pada aplikasi game pertama yang disebut tadi.

    Saya bermain Mobile Legends: Bang Bang selama tiga jam tanpa henti dan tablet ini tidak menunjukkan sebarang masalah malah skrinnya sangat responsif, tidak lag dan memberikan sentuhan yang selesa. Seperti yang dilihat pada tangkapan skrin, warnanya masih pekat sambil disokong oleh empat pembesar suara memberikan pengalaman gaming yang menyeronokkan.

    Mobile Legends: Bang Bang

    Selain prestasi game, tablet ini menampung kuasa bateri yang boleh tahan untuk kerja berat untuk dalam masa sehari. Sekiranya anda hanya menggunakannnya untuk kerja ringan seperti menatal Instagram dan tonton YouTube untuk dua jam sehari, ia mampu bertahan untuk lebih daripada tiga hari tanpa perlu dicas. Namun, kerja berat apa yang saya maksudkan?

    Saya telah menonton YouTube selama empat jam bermula daripada kuasa penuh pada 100% dan menurun kepada 74% memberikan penurunan jumlah kuasa 26%. Dengan tontonan YouTube, kemudian beralih kepada bermain game selama tiga jam tanpa henti, kuasa bateri menurun sebanyak 32% memberikan jumlah keseluruhan penurunan kuasa 58% (YouTube dan game).

    Dengan tujuh jam penggunaan tablet, ini cukup mengagumkan malah saya merasakan ia mampu bertahan sehingga separuh hari pada hari keesokkannya. Bukan itu sahaja, tablet juga tidak panas semasa penggunaan yang lama dan masih mengekalkan suhu yang sama ketika ingin mula bermain game.

    Beralih kepada kamera, ia setakat boleh tahan sebagai sebuat tablet kerana tangkapan fotografi yang berkualiti bukanlah fokus sesebuah tablet. Kamera belakangnya 13MP menghasilkan warna yang baik pada cahaya yang terang dan sedikit noise apabila di zum. Begitu juga sekiranya anda menangkap gambar di dalam bilik yang hanya mengharapkan cahaya daripada tingkap.

    Kamera swafoto 8MP tablet ini mampu mengesan wajah anda, sesuai untuk video mesyuarat walaupun ia mempunyai sedikit noise tetapi ini tidaklah menganggu. Sekiranya anda kelihatan lesu dan perlu melakukan video mesyuarat, anda boleh menggunakan ikon ‘Beauty’ yang disediakan.

    Kamera belakang
    Kamera belakang
    Kamera swafoto

    Kesimpulan – Kerja mudah dan nampak mewah

    HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition adalah tablet yang dibina dengan sangat baik dan mempunyai rekaan yang kemas. Prestasinya yang cemerlang memastikan penggunaan yang lancar dan produktif. Skrinnya adalah ciri utama yang benar-benar menonjol, memberikan pengalaman visual yang memukau dan responsif. Tablet ini memudahkan kerja harian dan sangat sesuai untuk tujuan kreatif, menjadikannya alat yang berharga bagi profesional dan peminat seni.

    HUAWEI MatePad 11.5”S PaperMatte Edition

    Walaupun terdapat beberapa aplikasi yang mungkin memerlukan sedikit usaha tambahan untuk dimuat turun melalui APKPure, ia tidak mengurangkan nilai keseluruhan tablet ini. Dengan harga RM2,499, HUAWEI MatePad 11.5”S menawarkan ciri dan prestasi yang setanding dengan iPad tetapi dengan harga yang lebih berpatutan. Ini menjadikannya pilihan yang sangat menarik bagi mereka yang mencari tablet berkualiti tinggi tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

    Sekiranya anda inginkan pilihan lain, saya boleh mengesyorkan Samsung Galaxy Tab S9 FE+ versi Wi-Fi dengan RAM 12GB dan ROM 256GB pada harga RM2,479 di Shopee. Ia dikuasakan oleh cipset CPU Exynos 1380 (5 nm), mempunyai skrin 12.4-inci IPS LCD. Ia mempunyai dwi-kamera belakang 8MP serta menyokong Wifi, Bluetooth, GPS, HSPA, LTE-A (CA) dan 5G.

    Anda juga boleh mempertimbangkan HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition yang dilancarkan pada tahun lepas membawa cipset Snapdragon 7 Gen 1, RAM 8GB dan storan 256GB. Peranti ini memaparkan skrin IPS LCD 120Hz 11.5 inci dengan resolusi 2.2K, bateri 7,700mAh dan menyokong pengecasan pantas 10V pada harga RM1,998 di Shopee.

    Adakah tablet ini mampu mengubah kehidupan harian anda? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Acer perkenal 3 tablet Iconia Duo di Computex 2026 — Skrin OLED 14.2”, bateri...

    Acer mengumumkan tiga tablet baharu dalam siri Iconia Duo berasaskan Android di Computex 2026 yang menyasarkan pengguna profesional yang memerlukan peranti mudah...

    HUAWEI nova 15 Max dilancar di Malaysia dengan bateri 8,500mAh berharga RM1,699

    HUAWEI Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan nova 15 Max yang memfokuskan kepada ketahanan bateri, paparan besar dan ciri ketahanan tambahan untuk kegunaan...

    OPPO dan vivo dilapor bangunkan kamera vlog sendiri, bakal cabar dominasi DJI

    Pasaran kamera vlog mudah alih yang didominasi oleh DJI mungkin bakal menjadi lebih sengit apabila dua pengeluar telefon pintar China, OPPO dan...

    Siri realme P4 rasmi di Malaysia: P4 Power 5G tampil dengan bateri 10,001mAh pertama...

    realme telah melancarkan siri P4 di Malaysia yang terdiri daripada tiga model iaitu realme P4 Power 5G, realme P4x dan realme P4...

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...