fbpx
More

    Ulasan Lenovo Yoga Slim 7i Carbon: Kompak tapi grafik padu bawah RM5,000

    Jika anda sedang mencari komputer riba, fikirkan dahulu apakah keperluan anda untuk sebuah komputer riba. Adakah anda memerlukan komputer riba yang memiliki ciri produktiviti dan mudah alih yang bagus? Kebanyakan komputer riba kompak mudah alih hanya dilengkapi prestasi untuk tugasan pejabat harian atau tugasan ringan sahaja. Kali ini, kami akan mengulas mengenai Lenovo Yoga Slim 7i Carbon yang mempunyai keupayaan prestasi yang lebih baik dari komputer riba 13 inci yang lain di pasaran.

    Dilancar pada Oktober yang lalu, komputer Lenovo Yoga Slim 7i Carbon adalah antara pilihan komputer riba yang berprestasi tinggi dalam segmennya. Kebanyakan pengguna mungkin lebih memilih komputer riba dengan harga RM3,500 ke bawah, tetapi jika anda tidak kisah mengeluarkan sedikit tambahan wang, anda sebenarnya boleh mendapatkan komputer riba dengan prestasi dan ciri mudah alih yang lebih memudahkan urusan anda. Lenovo Yoga Slim 7i Carbon ditawarkan bermula pada harga RM4,399 bersama ciri kompak dan mudah alih. Namun, adakah ianya berbaloi untuk dibeli? Semak ulasan kami!

    Bermula dengan reka bentuk, ianya hadir dengan warna putih suci (Moon White). Pada mulanya, saya fikir ia akan cepat kotor namun pandangan pertama saya meleset kerana litupan pada komputer riba yang pusam membuatkan kesan cap jari tidak mudah melekat dan tidak mudah kotor. Litupan tekstur ini diperbuat daripada fiber karbon untuk bahagian hadapan dan aloi magnesium untuk bahagian papan kekunci, serta belakang. Disebabkan bahan binaannya seperti yang dinyatakan, membawa komputer riba ini ke mana sahaja tidak menjadi satu masalah atau beban kerana ia hanya seringan 996g. Lebih bagus, ia juga dilengkapi standard piawaian tahan lasak MIL-STD-810G.

    Sekali imbas, anda mungkin kecewa dengan kelengkapan portnya. Komputer riba ini dilengkapi 1x port USB 3.0 Gen 2 (Type-C), 2x port USB-C Thunderbolt 4, kombo fon telinga/mikrofon dan butang kuasa sahaja. Namun, Lenovo seperti sudah tahu tentang kekecewaan ini dan menyertakan Lenovo USB-C 3 dalam 1 Hub yang mengandungi beberapa port asas lain yang diperlukan oleh pengguna.

    Hub ini tidak berat dan mudah dibawa untuk disambungkan kepada komputer riba. Mungkin Lenovo ingin mengekalkan kenipisan komputer riba, oleh itu port HDMI hanya ada pada hub tersebut, bukan pada komputer riba.

    Apa yang saya sukakan pada komputer riba ini adalah ciri pada papan kekuncinya. Cahaya di belakang papan kekunci boleh ditetapkan pada tetapan automatik. Ini bermakna papan kekunci akan bercahaya secara automatik apabila komputer riba berada dalam bilik yang gelap.

    Beralih kepada prestasi komputer riba kompak ini, ia dilengkapi pemproses Intel Generasi ke-11 Core i7-1165G7 dengan integrasi grafik Intel Iris Xe terbaru. Untuk rujukan, kami telah mengujinya melalui aplikasi penanda aras PCMark yang berfokuskan kepada prestasi kasual dan 3DMark yang berfokuskan kepada prestasi gaming.

    Markah menunjukkan bahawa Lenovo Yoga Slim 7i Carbon adalah sebuah komputer riba yang lebih baik dari jenis komputer riba harian yang biasa, tetapi tidak boleh dibandingkan dengan komputer riba berfokuskan gaming. Namun, ia pastinya mampu melakukan tugasan grafik yang lebih baik berbanding komputer riba harian biasa.

    Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai gaming kerana komputer riba ini tidak berfokuskan kepada aspek tersebut, tetapi saya juga tidak akan mengetepikan fakta bahawa Intel Iris Xe baru ini mampu menangani game dengan grafik sederhana. Anda boleh memainkan game yang tidak terlalu memerlukan grafik yang intensif atau tinggi. Anda boleh melihat sendiri gameplay Dota 2 yang dimainkan dalam tetapan asal (default). Apa yang membanggakan adalah komputer riba sekecil ini masih mampu menangani grafik tertinggi pada tetapan Best Looking, walaupun terdapat sedikit kelewatan, tetapi tidak selemah komputer riba kompak yang saya pernah ulas.

    Beralih fokus kepada prestasi dari segi tugasan, Yoga Slim 7i Carbon berupaya menguruskan bukan sahaja tugasan pejabat atau grafik ringan, tetapi anda juga boleh menggunakannya untuk tugasan grafik seperti pengeditan video. Ia mungkin tidak selancar komputer riba dengan pemproses grafik yang sangat tinggi, tetapi untuk sebuah komputer riba kompak bersaiz 13 inci, prestasi grafiknya adalah sangat memuaskan. Untuk pencipta kandungan (bukan pembikin filem besar), komputer riba kompak ini mungkin dapat memudahkan urusan anda untuk menyelesaikan tugasan di mana-mana sahaja. Anda juga akan gembira dengan 2x pembesar suara 2W Dolby Atmos yang memberi kualiti audio yang baik.

    Tidak lupa kepada spesifikasi skrinnya, skrin 13.3 inci Quad HD beresolusi 2560 x 1600 piksel ini hadir dengan sokongan kecerahan sehingga 300 nits dalam keadaan luar yang bercahaya. Ciri skrin dengan warna gamut 100% sRGB dan sokongan Dolby Vision memberikan tayangan warna yang cantik. Tontonan skrin adalah memuaskan jika berada di dalam bangunan, namun tidak digalakkan untuk tontonan di bawah cahaya matahari terik. Sebenarnya, ini adalah perkara biasa untuk skrin anti silau. Anda masih boleh melihat tontonan skrin dengan jelas di bawah cahaya matahari, tetapi tidak sebaik jika berada di dalam bangunan.

    Berkenaan jangka hayat bateri, bateri 50Wh mampu bertahan jika anda keluar bekerja dengan menggunakan Lenovo Yoga Slim 7i Carbon sepenuhnya bermula pada waktu pagi, sehingga anda kembali pulang dari kerja pada waktu senja. Sebagai maklumat lanjut, Lenovo menyatakan ia mampu bertahan sehingga 15 jam untuk tontonan video dan berdasarkan pengalaman penggunaan saya, ianya adalah benar.

    Bergantung kepada penggunaan, komputer ini juga mampu bertahan sehingga sehari tanpa pengecasan. Dengan sokongan pengecasan Rapid Charge Boost, anda boleh mengecas komputer riba dari 0% hingga 100% sekitar 2 jam, sama seperti apa yang dikatakan oleh Lenovo. Penggunaan untuk tugasan yang tidak memerlukan grafik tinggi tidak memanaskan komputer riba, tetapi semasa bermain game secara berterusan selama satu jam, ianya agak panas. Sememangnya sistem penyejukannya memadai untuk tugasan selain gaming intensif.

    Dari segi sambungan, rasanya tidak ada yang boleh dirungut. Sambungan WiFi, Bluetooth dan sebagainya adalah memuaskan. Saya tidak mengalami sebarang masalah putus sambungan atau sebagainya.

    Kesimpulannya, Lenovo Yoga Slim 7i Carbon dengan harga bermula RM4,399 ialah komputer riba yang baik dari segi grafik dan keupayaannya dalam menangani tugasan yang lebih mencabar dari tugasan harian biasa. Jika anda sedang mencari komputer riba kompak yang mudah dibawa, tetapi dengan prestasi padu di bawah harga RM5,000, inilah dia. Jika anda inginkan komputer riba Lenovo yang lebih murah, anda mungkin boleh melihat Lenovo Yoga Slim 7, tetapi ianya bersaiz 14 inci dan lebih berat. Dalam kalangan komputer riba kompak premium, saya boleh katakan Lenovo Yoga Slim 7i Carbon adalah antara yang berpatutan dengan spesifikasi yang baik (selain dari kekurangan port tapi tidak mengapa kerana hub untuk port tambahan disediakan).

    Ciri teknologi dan spesifikasi Lenovo Yoga Slim 7i Carbon

    • Pemproses Intel Core i7-1165G7 dan grafik Intel Iris Xe
    • RAM sehingga 16GB (LPDDR4X)
    • SSD PCIe sehingga 512GB
    • Paparan 13.3 inci QHD IPS, 100% sRGB, anti silau kelulusan TUV Rheinland (resolusi 2560 x 1600 piksel), sokongan Dolby Vision
    • Berukuran 14.25mm-15mm x 295.9mm x 208.85mmmm, berat bermula 966g
    • Port yang disediakan – 1x USB 3.0 Gen 2 (Type-C), 2x USB-C Thunderbolt 4, kombo fon telinga/mikrofon, butang kuasa
    • Lenovo USB-C 3 dalam 1 Hub tersedia dalam kotak – 1x HDMI, 1x VGA dan 1x USB 3.0
    • Ciri – Microsoft Home & Student 2019 tersedia di dalam (pre-installed), 2x 2W sistem pembesar suara Harman Kardon, IR & Kamera 720p HD
    • Menyokong WiFi 6 AZ201 2x2ax, Bluetooth 5.0
    • standard piawaian tahan lasak MIL-STD-810G
    • Pengecas 65W dengan sokongan Lenovo Rapid Charge Boost, bateri 4 Sel Li-Polimer 50Wh
    • Windows 10 Home

    Kelebihan: Sokongan grafik yang baik untuk komputer riba 13 inci dan ada ciri premium seperti binaan karbon dan standard tahan lasak MIL-STD-810G, seringan 996g

    Kelemahan: Anda perlu membawa Lenovo USB-C 3 dalam 1 Hub kemana sahaja kerana ketiadaan port HDMI pada komputer riba

    Kesimpulan: Komputer riba kompak dengan ciri tambahan; tahan lasak, rekaan premium untuk golongan yang memerlukan komputer riba mudah alih berprestasi baik, tetapi tidak terlalu mahal

     

    Artikel Terkini

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X