fbpx
More

    Ulasan Logitech G335 – Fon kepala untuk “gamers” yang utamakan keselesaan dan gaya

    Pada Julai lalu, Logitech Malaysia telah melancarkan fon kepala gaming terbaru iaitu Logitech G335. Fon kepala berwayar ini menampilkan skema warna yang sangat menarik perhatian dan dijual pada harga RM269 sahaja. Pastinya, ia bukanlah sebuah produk yang murah jadi anda pasti ingin tahu sama ada fon kepala gaming ini berbaloi untuk dibeli pada harga tersebut. Jadi tanpa membuang masa, ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui sama ada produk audio Logitech G ini layak “menghuni” kepala anda.

    Perkara pertama yang paling menonjol tentang G335 adalah corak warnanya yang terang. Ia ditawarkan dalam tiga gabungan warna iaitu hijau-ungu, putih-biru dan hitam. Warna yang kami dapat adalah putih-biru di mana rangka keseluruhan fon kepala ini mempunyai warna putih, manakala kusyen pada bahagian earcup dan headband pula mempunyai warna biru. Ia sememangnya adalah kombinasi warna yang sangat menarik dan telah menceriakan suasana meja kerja saya yang sebelum ini dihuni dengan warna komputer dan tetikus yang membosankan.

    G335 mempunyai badan yang dibuat dengan plastik tetapi ini tidak bermakna ia mempunyai mutu buatan yang rendah. Material ini membuatkan G335 terasa amat ringan malah rangkanya adalah sangat elastik, jadi anda tidak perlu risau sama ada fon kepala ini boleh terpatah kepada dua. Walau bagaimanapun, plastik juga membuatkan fon kepala ini tidak memberikan pengalaman premium sewaktu anda memegangnya.

    Kini mari kita beralih ke bahagian yang sangat penting iaitu keselesaan dan saya boleh katakan bahawa G335 memberikan pengalaman yang cemerlang dalam aspek ini. Dengan berat 240 gram sahaja, ini adalah antara fon kepala gaming paling ringan dalam pasaran dan membuatkan saya kadang-kadang terlupa bahawa saya sedang memakai sepasang fon kepala. Earcup fon kepala ini juga adalah berasingan (separated) dengan keseluruhan rangkanya, jadi kedudukannya boleh dilaras (swivel) untuk saiz kepala anda.

    Earcup adalah berasingan dengan rangka fon kepala ini, jadi ia boleh disesuaikan mengikut saiz kepala anda

    Selain itu, getah headband juga meningkatkan lagi tahap keselesaan di bahagian atas kepala sambil mengeratkan pemakaian fon kepala. Headband ini boleh dilaraskan antara dua tahap untuk disesuaikan dengan saiz kepala anda. Satu lagi perkara yang menarik tentang headband ini adalah ia mempunyai warna yang berlainan pada kedua-dua sisinya, jadi anda boleh ubah warna headband yang ingin ditunjukkan kepada penonton anda.

    Kenapa saya kata penonton? Ini adalah kerana saya berpendapat bahawa G335 merupakan fon kepala yang sangat sesuai buat golongan streamer. Memandangkan para penonton menumpukan pada kepala streamer di samping game yang dipaparkan, saya merasakan G335 adalah aksesori kepala yang menarik untuk menceriakan siaran anda. Warnanya yang terang juga amat sesuai jika streamer sudah mempunyai sebuah studio yang penuh dengan hiasan cantik.

    Saya selalu memakai G335 sewaktu menghadiri mesyuarat video dan rakan-rakan saya sering berjenaka bahawa fon kepala ini membuatkan saya nampak seperti seorang streamer yang sedang menyiarkan game.

    Walau bagaimanapun, satu aspek pemakaian yang saya kurang gemar tentang G335 adalah ia mempunyai saiz yang agak kecil. Saya mempunyai saiz kepala yang agak sederhana, tetapi saya perlu memakai G335 pada pelarasan (extension) tertinggi untuk membuatkan saya selesa sewaktu memakainya. Jika anda mempunyai saiz kepala yang besar, saya tidak mencadangkan anda untuk dapatkan fon kepala ini.

    Bahagian earcup pula dibuat dengan kusyen yang sangat lembut dan amat selesa untuk diletakkan pada telinga. Apa yang saya suka tentang kusyen ini adalah ia dibuat dengan material jaringan sports mesh yang tidak terlalu memerangkap udara dalam telinga anda, jadi ia tidak akan terasa panas walaupun anda memakainya dalam tempoh yang lama. Saya sering memakai fon kepala ini selama berjam-jam dan telinga saya rasa selesa sepanjang tempoh tersebut. Sungguh pun begitu, sports mesh ini juga bermaksud ia tidak dapat menghalang bunyi persekitaran (noise cancellation) dengan begitu baik.

    Sports mesh dalam earcup ini sangat selesa apabila bersentuhan dengan kulit

    Kini mari kita bincangkan tentang kualiti bunyi yang dihasilkan oleh G335. Saya telah menggunakannya untuk mendengar pelbagai genre lagu dan saya berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan. Di samping itu, saya juga telah bermain game Prey (2017) iaitu sebuah game seram sains fiksyen dan G335 berjaya membuatkan saya menghayati atmosfera seram dalam game ini.

    Ia dilengkapi pemacu neodymium 40mm yang mampu menghasilkan bunyi yang bagus namun pada pendapat saya, mutu bunyi bukanlah penarik utama pada fon kepala ini. Ini bukanlah bermakna ia tidak menghasilkan bunyi yang bagus kerana saya masih dapat menikmati kualiti audio yang sangat jelas daripada lagu, filem dan game, namun saya merasakan kualitinya tidak terlalu berbeza berbanding fon kepala yang lebih murah. Turut mengeruhkan keadaan adalah audio G335 tidak boleh dilaraskan dalam perisian Logitech G HUB.

    Mikrofonnya yang telah menerima pengiktirafan Discord Certified pula berfungsi dengan agak baik. Walaupun mutu suara yang dirakam tidaklah begitu cemerlang, mikrofon ini mampu mengasingkan bunyi bising dengan elok, jadi suara saya masih boleh didengari oleh pemain lain dalam game. Saya telah mencuba mikrofon ini dalam game VRChat dan rakan-rakan saya boleh mendengar suara saya dengan jelas. Mikrofonnya boleh dilipat ke atas untuk dimatikan. 

    Roda kawalan bunyi diletakkan di bahagian kiri, sama seperti wayar dengan bicu audio 3.5mm jadi anda boleh gunakan fon kepala ini untuk pelbagai peranti seperti komputer dan telefon pintar. Malang sekali, kedudukan wayar ini tidak boleh dipindahkan ke bahagian kanan. G335 juga tidak mempunyai pencahayaan RGB namun ia adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk fon kepala pada harga ini.

    Secara keseluruhannya, Logitech G335 menawarkan pengalaman audio yang sekadar memuaskan, namun kekurangan daripada segi audio itu diganti dengan reka bentuk yang sangat cantik dan selesa. Malah, saya berpendapat bahawa tidak ada fon kepala lain yang lebih bergaya berbanding G335. Jika anda ingin menceriakan suasana bilik gaming atau mahu nampak lebih bergaya dalam siaran langsung (stream), Logitech G335 adalah pilihan yang tepat.

    Layari laman web Logitech jika anda berminat untuk membeli fon kepala ini. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Ukuran: Panjang 189mm, lebar 180mm, tebal 79mm
    • Berat: 240g termasuk kabel
    • Pemacu neodymium 40mm
    • Tindak balas frekuensi 20Hz-20kHz
    • Impedance: 36 Ohms, sensitiviti: 87.5 dB SPL/mW
    • Corak mikrofon kardiod (satu arah), frekuensi 100Hz – 10kHz
    • Bicu audio 3.5mm

    Kebaikan: Rekaan berwarna-warni, kusyen selesa

    Keburukan: Tidak sesuai untuk kepala besar, audio tidak boleh dilaras dalam Logitech G Hub

    Kesimpulan: Fon kepala sempurna untuk gamers yang pentingkan gaya

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X