Sejak tahun lalu, syarikat teknologi Nothing yang masih boleh dianggap baru dalam pasaran telah mula menawarkan telefon pintar kelas pertengahan dengan memperkenalkan Nothing Phone (2a). Ia dijual pada harga yang lebih murah berbanding telefon andalan (flagship) Nothing namun masih mengekalkan estetika yang serupa, terutamanya lampu Glyph Interface di belakang.
Kini Nothing meneruskan lagi siri Phone (a) dengan melancarkan Nothing Phone (3a) Pro dan apa yang menarik untuk peranti ini adalah ia merupakan telefon Nothing pertama yang dilengkapi kamera telefoto. Ini bermaksud ia menawarkan kualiti gambar yang lebih jelas walaupun anda zum jauh dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk menyusun komposisi gambar. Tetapi adakah itu sahaja pembaharuan pada telefon yang berharga RM1,999 ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:
Rekaan – Banyak perubahan dari Phone (2a)
Secara kasar, Phone (3a) Pro masih mempunyai rekaan belakang yang serupa dengan Phone (2a), di mana separuh atas menempatkan lensa kamera dan lampu Glyph Interface, manakala separuh bawah menempatkan rekaan garisan yang menimbulkan keunikan siri Phone (a) jika dibandingkan dengan telefon kelas pertengahan jenama lain.
Sungguh pun begitu, masih terdapat beberapa perbezaan ketara. Corak garisan di belakang telefon Phone (3a) Pro adalah jauh berbeza berbanding Phone (2a). Sama ada ia lebih cantik atau lebih buruk, itu terpulang kepada anda.




Selain itu, Phone (3a) Pro mempunyai bonggol kamera yang lebih tebal, berbeza dengan Phone (2a) yang hampir rata sepenuhnya di bahagian belakang. Ketebalan ini mungkin kerana bagi menyediakan ruang untuk meletakkan kamera telefoto periskop untuk Phone (3a) Pro. Mengelilingi bonggol kamera bulat ini adalah tiga lampu Glyph Interface yang boleh menyala ikut tetapan anda sewaktu berdering, menerima notifikasi dan lain-lain fungsi.
Satu lagi perbezaan ketara adalah jika anda lihat di bahagian sisi kanan, di sebelah butang kuasa, terdapat satu lagi butang iaitu Essential Key. Butang ini lebih berkilauan berbanding butang-butang sisi lain atau rangka telefon ini dan ia menyediakan fungsi AI unik untuk para pengguna. Saya akan huraikan fungsi Essential Key dengan lebih lanjut dalam seksyen Spesifikasi.



Daripada segi bentuk luaran, Phone (3a) Pro tidak banyak berbeza dengan Phone (2a), dengan ukuran luaran 163.5 x 77.5 x 8.4mm, skrin 6.77 inci dan berat 211 gram. Rating kalis air dan debu telah dinaikkan kepada IP64, bermaksud ia boleh disimbah air dan masih berfungsi sepenuhnya. Pilihan warnanya ditawarkan dalam warna hitam (seperti yang dipinjamkan kepada kami untuk ulasan ini) dan kelabu.
Spesifikasi – Sesuai untuk mid-range 2025
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Nothing Phone (3a) Pro:
- Skrin AMOLED 6.77 inci, resolusi 1080×2392, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits, dilindungi kaca Panda Glass
- Cipset Qualcomm Snapdragon 7s Gen 3
- RAM 12GB
- Storan dalaman 256GB
- Kamera utama 50MP + kamera telefoto periskop 50MP + kamera ultra-lebar 8MP
- Kamera hadapan 50MP
- Bateri 5,000mAh
- Pengecasan pantas 50W (pengecas tidak diberikan)
- Sistem operasi Android 15 dengan NothingOS 3.1
- Akan menerima kemas kini utama Android selama tiga tahun
- Pembesar suara stereo
- Port USB-C 2.0, OTG
- Pengimbas cap jari optikal


Spesifikasi Phone (3a) Pro memang setaraf dengan lain-lain telefon yang dijual pada harga seperti ini. Skrinnya mempunyai panel AMOLED dengan resolusi Full HD+ yang akan menghasilkan warna yang cantik, malah sempadan bezel yang sekata di keempat-empat sisi tidak akan terlalu mengganggu anda. Selain itu, kecerahannya yang boleh pergi setinggi 3,000 nits memudahkan anda untuk lihat skrin ini walaupun di bawah cahaya matahari terik.
Untuk cipset, ia menggunakan Qualcomm Snapdragon 7s Gen 3 yang prestasinya tidak banyak berbeza berbanding MediaTek Dimensity 7200 Pro yang digunakan pada Phone (2a) tahun lepas. Ia masih membawa penambahbaikan tetapi kecil sahaja. Saya akan ulas lanjut mengenai prestasi penggunaan dalam seksyen Prestasi.
Satu tarikan untuk setiap telefon Nothing ialah sistem operasi NothingOS yang nampak serupa seperti Android versi stok, jadi ia rasa sangat ringan dan jumlah bloatware yang dipasangkan dalam telefon ini juga minimal. Selain itu, ia juga menawarkan skema warna monokrom untuk semua ikon jika anda berminat dengan warna minimalis.


Ia juga menawarkan pelbagai widget menarik untuk diletakkan pada home screen dan anda boleh ubahsuai mengikut citarasa tersendiri. Dan sudah tentu, NothingOS menawarkan pelbagai pilihan untuk corak pencahayaan Glyph Interface di belakang telefon.
Tidak seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan jenama lain yang menawarkan fungsi-fungsi AI generatif, Phone (3a) Pro tidak menawarkan fungsi sedemikian, sebaliknya mereka menawarkan Essential Space yang boleh diakses menggunakan Essential Key di bahagian kanan telefon. Secara asasnya, Essential Space ialah memori kedua yang menempatkan fail-fail yang telah dicipta dengan butang Essential Key.
Buat masa ini, Essential Key boleh menangkap tangkapan skrin (screenshot) dengan sekali tekan, kemudian tangkapan skrin itu boleh disertakan dengan teks tambahan atau nota audio. Jika anda tekan lama (hold), anda boleh mengambil tangkapan skrin dan rekod suara anda pada masa yang sama untuk catatan tambahan.
Phone (3a) Pro kemudian akan mengimbas kandungan yang terdapat pada tangkapan skrin tersebut menggunakan AI kemudian ia akan membuat rumusan atau menjadualkan peringatan. Semua tangkapan skrin yang diambil dengan kaedah ini tidak disimpan dalam Gallery, sebaliknya ia disimpan dalam Essential Space yang boleh diakses dengan menekan Essential Key sebanyak dua kali.

Pada mulanya, saya sangka ini hanyalah gimik daripada Nothing, namun saya perlu akui bahawa ia agak membantu dalam tugasan harian saya. Sewaktu taklimat media untuk Phone (3a) Pro, pihak Nothing mengatakan lebih banyak ciri akan diberikan untuk Essential Key dan Essential Space pada masa akan datang. Menurut dokumen Reviewers’ Guide, fungsi Essential Space yang akan diberi adalah Camera Capture, Smart Collections, Focused Search dan Flip to Record.
Prestasi – Bagus untuk kegunaan umum
Berikut adalah markah penanda aras yang kami lakukan untuk Nothing Phone (3a) Pro:


Untuk penggunaan biasa seperti membalas mesej, membaca laman web, melayari media sosial dan menonton video, saya tidak mengalami sebarang masalah dengan telefon ini. Ia mempunyai RAM 12GB yang agak besar serta boleh buka beberapa aplikasi serentak dan masih berfungsi lancar, namun storannya yang sekadar 256GB mungkin agak rendah jika anda banyak memuat turun game atau mengambil gambar.
Bercakap tentang game, saya memainkan dua iaitu PUBG Mobile sebagai game popular yang tidak memerlukan spesifikasi tinggi dan Genshin Impact untuk lihat jika telefon ini boleh memainkan game dengan grafik tinggi.
Sepanjang pengalaman saya, PUBG Mobile boleh dimainkan dengan selesa pada tetapan grafik tinggi, namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk Genshin Impact. Walaupun apabila saya meletakkan kadar bingkai 60fps, telefon ini tidak boleh memainkan Genshin dengan lancar pada tetapan grafik tinggi, namun ia boleh diselesaikan dengan merendahkan tetapan grafik. Memandangkan prestasi gaming bukanlah kekuatan utama Phone (3a), ini adalah sesuatu yang boleh difahami.


Untuk hayat bateri, baterinya yang berkapasiti 5,000mAh memang boleh bertahan selama sehari dengan tiada masalah jika anda menggunakannya untuk tugasan harian. Daripada segi penggunaan bateri sewaktu saya bermain game, sesi 30 minit untuk PUBG Mobile menggunakan sekitar 7% manakala untuk game grafik tinggi seperti Genshin Impact, ia menggunakan sekitar 11% untuk tempoh 30 minit.
Sewaktu mengecas pula, telefon ini menyokong kadar 50W namun pengecas tidak diberikan bersamanya. Saya menggunakan pengecas pihak ketiga yang berkadar 65W dan ia mengambil masa sekitar sejam untuk mengecas penuh daripada kosong. Seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan, ia tidak menyokong pengecasan wayarles.

Kini mari kita bercakap tentang prestasi kameranya. Telefon ini mempunyai lensa serba lengkap untuk pelbagai situasi, termasuklah kamera utama, kamera ultra-lebar dan yang lebih menarik, kamera telefoto periskop yang boleh dikata jarang berada untuk telefon pada harga ini.
Secara amnya, kamera telefon ini boleh mengambil gambar yang cantik dan memuaskan, walaupun dalam situasi malap. Warnanya mungkin terlalu pekat untuk sesetengah pengguna, namun saya tidak kisah dengannya. Kamera hadapan juga boleh menghasilkan swafoto yang kemas.









Untuk zum, kehadiran kamera telefoto periskop menyediakan zum optikal sebanyak 3x dan zum digital sehingga 60x. Kualiti gambar zum 3x nampak cantik, malah sehingga 6x pun ia masih nampak bagus, cuma apabila anda capai 10x zum, gambar sudah mula nampak pecah.
Walapun ia tidak mempunyai lensa makro, telefon ini masih menawarkan mod Macro untuk ambil gambar subjek dengan sangat dekat dan ia nampak cantik. Satu lagi ciri yang menarik pada UI kamera ini ialah anda boleh cipta Preset untuk akses pantas kepada tetapan fotografi yang anda kerap guna.





Sewaktu merakam video pula, anda boleh rakam video dengan resolusi 4K sehingga kadar bingkai 30fps. Kualiti videonya nampak standard untuk telefon kelas pertengahan, namun anda perlu tahu beberapa perkara tentang rakamannya.
Pertama, jika anda rekod dalam 4K, ia tidak boleh menggunakan kamera telefoto, bermaksud ia tidak boleh menghasilkan video zum yang cantik. Kamera telefoto untuk video hanya boleh diguna sewaktu merakam dalam 1080p. Kedua, untuk rakaman ultra-lebar, telefon ini boleh merakamnya dalam 1080p namun tidak boleh dalam 4K. Saya tidak pasti kenapa telefon ini tidak boleh melakukannya.
Kesimpulan – Pilihan bajet untuk orang yang ingin cuba peranti Nothing
Nothing Phone (3a) Pro menawarkan pengalaman yang bagus untuk kebanyakan pengguna, lebih-lebih lagi dengan antara muka NothingOS yang sangat hampir dengan Android stock, namun masih mempunyai keunikannya yang tersendiri. Selain itu, rekaan luarannya juga membuatkannya lebih menyerlah berbanding telefon pertengahan lain, namun ia tidak terlalu keterlaluan seperti beberapa telefon gaming.
Kameranya juga menawarkan pengalaman fotografi yang lengkap, di mana anda boleh pilih zum yang lebih dekat dan masih lagi dapatkan kualiti gambar yang cantik. Sungguh pun begitu, saya berpendapat fungsi Essential Space masih belum lengkap jika anda berminat dengannya. Seperti yang pihak Nothing sendiri jelaskan kepada kami, lebih banyak fungsi Essential Space akan diberi dalam kemas kini akan datang, jadi anda tunggu dan lihat dulu apakah yang akan diberi oleh Nothing jika Essential Space ini menarik minat anda.

Jika anda mencari alternatif kepada telefon ini, anda boleh pertimbangkan Nothing Phone (3a) (RM1,699) yang sebenarnya mempunyai spesifikasi yang sangat serupa dengan varian Pro yang diulas dalam artikel ini, namun dijual pada harga lebih murah dan kebolehan zum optikal yang lebih pendek, sekadar 2x sahaja. Selain itu, Samsung Galaxy A56 (RM1,999) juga sesuai jika anda berminat dengan fungsi-fungsi AI generatif, atau OPPO Reno13 RM2,299) jika anda ingin telefon yang lebih anggun dan boleh ambil gambar sewaktu ditenggelami air.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.