fbpx
More

    Ulasan OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – Gaya menyerlah untuk telefon kelas pertengahan

    Pasaran telefon pintar kelas pertengahan Android telah menjadi semakin sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana setiap syarikat ingin menghasilkan peranti yang paling menarik dan berbaloi dalam kategori harga berpatutan. Untuk OnePlus pula, mereka memperkenalkan OnePlus Nord CE 3 Lite 5G sebagai telefon kelas pertengahan terbaru untuk pasaran Malaysia, dengan harga bermula RM1,099.

    Harga ini membuatkannya lebih dekat kepada telefon kelas permulaan, namun ini tidak bermakna ia tidak boleh bersaing dengan telefon kelas pertengahan lain yang lebih mahal. Jadi adakah ini telefon yang sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan yang dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Seronok dan moden

    OnePlus Nord CE 3 Lite 5G menampilkan rekaan yang jauh berbeza daripada pendahulunya dan telefon OnePlus lain. Perkara yang paling jelas ialah rekaannya yang rata, berkotak dan tiada sebuah bonggol kamera yang tebal di belakang.

    Sebaliknya, tiga lensa untuk kameranya diletakkan dalam dua bulatan hitam yang tertimbul sedikit daripada permukaan belakangnya. Sebagai telefon kelas pertengahan yang murah, badannya dibina daripada plastik dengan sudahan yang berkilauan dan membuatkannya nampak seperti kaca.

    Bahagian belakang OnePlus Nord CE 3 Lite 5G
    Dua bulatan kamera
    Sarung silikon lutsinar turut disertakan dalam kotak

    Saya amat menggemari warna hijau Pastel Lime pada telefon ini yang memisahkannya daripada lambakan telefon kelas pertengahan lain. Malangnya, permukaan belakang yang berkilauan ini bermaksud kesan cap jari akan mudah tertinggal padanya. Dalam kotak, telefon ini turut disertakan dengan sarung silikon lutsinar jadi anda boleh lindungi telefon ini daripada kesan cap jari dan masih menunjukkan waranya yang menawan.

    Rekaan ini mengingatkan saya kepada ASUS Zenfone 9, namun dengan saiz yang lebih besar kerana Nord CE 3 Lite 5G mempunyai skrin IPS LCD berukuran 6.72 inci. Saya juga menggemari rekaan berkotak pada telefon ini yang membuatkannya nampak lebih moden. Lagipun, skrin yang rata sepenuhnya bermaksud anda tidak akan menyentuh bahagian sisi skrin secara tidak sengaja.

    Satu perkara yang saya kurang gemari adalah kedudukan lensa dalam bulatan kamera di belakang kerana dua lensa di bulatan bawah nampak agak aneh.

    Bahagian sisi kanan menempatkan butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari, manakala sisi kiri menempatkan butang kawalan audio serta dulang dwi-kad SIM dan kad memori microSD. Bahagian bawah pula terdapat port USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data, gril pembesar suara, bicu audio 3.5mm dan mikrofon.

    Sempadan bezel nipis pada skrin
    Bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa yang bertindak sebagai pengimbas cap jari
    Bahagian kiri: butang kawalan audio dan dulang kad SIM/microSD
    Bahagian bawah: Bicu audio 3.5mm, mikrofon, port USB-C, pembesar suara
    Satu lagi mikrofon di atas

    Di hadapan, ia mempunyai skrin IPS LCD berukuran 6.72 inci dengan sempadan bezel yang nipis di semua sisi kecuali bahagian bawah yang agak tebal. Skrin ini juga mempunyai lubang tebuk di bahagian atas kiri untuk kamera swafoto.

    Secara keseluruhan, rekaan ini nampak moden dan minimalis, manakala warna Pastel Lime adalah lebih disyorkan daripada kelabu Chromatic Grey. Ketiadaan butang gelongsor bunyi (alert slider) agak mengecewakan, namun saya faham kerana OnePlus ingin mengekalkan harga rendah untuk telefon ini.

    Spesifikasi teknologi – Standard untuk kategori pertengahan

    Spesifikasi dalaman Nord CE 3 Lite 5G mempunyai banyak persamaan dengan telefon sebelumnya, namun masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk telefon ini:

    • Skrin IPS LCD berukuran 6.72 inci, resolusi FullHD+ (1080×2400), kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz, nisbah skrin-ke-badan 87.1%, kecerahan puncak 680 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G
    • RAM LPDDR4X 8GB
    • Storan UFS2.2 256GB
    • Kamera utama 108MP + sensor kedalaman 2MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 67W SUPERVOOC
    • Sistem operasi OxygenOS 13.1 berdasarkan Android 13
    • Menyokong Bluetooth 5.1, A2DP, LE, aptX HD
    • Menyokong rangkaian 5G
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm
    • Dwi-kad SIM dan microSD
    • Pilihan warna Pastel Lime dan Chromatic Grey
    Spesifikasi OnePlus Nord CE 3 Lite 5G

    Telefon ini mempunyai skrin dengan panel IPS LCD yang tidak seterang atau segelap panel AMOLED, namun ia sudah memadai untuk tontonan video atau bermain game. Kadar segar semula 120Hz juga boleh menghasilkan animasi yang lancar setiap kali anda berinteraksi dengannya, manakala kadar bacaan sentuh 240Hz akan memastikan sentuhan yang responsif.

    Satu masalah pada skrin ini adalah ia mempunyai kecerahan maksimum 550 nits dan kecerahan puncak 680 nits yang tidak cukup terang jika anda ingin menggunakannya di bawah cahaya matahari terik.

    Sukar untuk melihat skrin di bawah cahaya terik

    Daripada segi sistem operasi, telefon ini menggunakan OxygenOS 13.1 berdasarkan Android 13 yang sangat hampir dengan versi Android stock. Antara mukanya (UI) mempunyai rekaan yang intuitif dan kemas, dengan beberapa fungsi khas dan penghiasan (customisations) yang boleh meningkatkan pengalaman pengguna tanpa rasa terlalu kalut.

    Fungsi khas ini termasuklah pengembangan RAM sehingga 8GB, pelancaran pantas (quick launch), pembahagian skrin (split screen) dan banyak lagi. OnePlus sering menawarkan kemas kini keselamatan untuk sistem operasinya dalam tempoh panjang, namun tidak pasti untuk telefon ini, selama manakah ia akan menerima kemas kini.

    Antara muka OxygenOS
    Ciri menarik pada UI OnePlus Nord CE 3 Lite 5G

    Untuk keselamatan biometrik, pengimbas cap jari yang berada di bahagian sisi berfungsi dengan sangat pantas dan cekap. Terdapat juga pilihan untuk menggunakan pengimbasan muka bagi membuka kunci skrin dan ia berfungsi dengan baik selagi anda tidak berada dalam suasana gelap.

    Berbanding telefon kelas pertengahan lain, OnePlus menawarkan satu kelainan untuk kamera telefon ini iaitu kamera utama 108MP dengan zum lossless 3x. Fungsi-fungsi yang terdapat pada kamera ini termasuklah AI, Pro, Extra HD, Portrait, Night, Panorama, Slow Motion, Time Lapse, Dual-View Video dan banyak lagi. Saya akan ulaskan prestasi fotografi dalam seksyen seterusnya.

    UI kamera OnePlus Nord CE 3 Lite 5G

    Prestasi – Cukup untuk tugasan harian dan bermain game ringan

    Kini saya ingin ulas tentang prestasi Nord CE 3 Lite 5G sepanjang saya menggunakannya. Mari kita lihat dulu keputusan ujian penanda aras Geekbench 5 dan 3DMark:

    Telefon ini dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G yang selalu digunakan dalam telefon kelas pertengahan, malah ia turut digunakan dalam telefon Nord CE 2 Lite sebelum ini. Walaupun cipset ini sudah pun berusia lebih dua tahun, ia masih lagi relevan dan boleh membuka aplikasi harian dengan pantas seperti media sosial dan pelayar web.

    Lagipun, Nord CE 3 Lite 5G mempunyai RAM yang cukup untuk menghasilkan pengalaman penggunaan yang lancar, terutamanya selepas saya hidupkan fungsi pengembangan RAM maya. Apabila digabungkan dengan paparan 120Hz, saya tidak mempunyai banyak rungutan tentang pengalaman pengguna untuk telefon ini.

    Sudah tentu kita tidak boleh jangkakan prestasi tahap flagship sewaktu bermain game kerana ini hanyalah peranti kelas pertengahan. Walaupun demikian, Nord CE 3 Lite 5G lebih daripada mampu untuk memainkan game popular seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends dengan lancar, walaupun dalam tetapan grafik tinggi. Sungguh pun begitu, saya mencadangkan anda untuk merendahkan tetapan grafik kepada medium atau rendah untuk pengalaman bermain yang lebih seronok.

    Berikut adalah beberapa tangkapan skrin daripada game yang saya mainkan dalam Nord CE 3 Lite 5G:

    Telefon ini turut mempunyai pembesar suara stereo yang menghasilkan kualiti audio memuaskan. Kelantangannya boleh jadi agak tinggi, dengan mod volum Ultra yang boleh memainkan audio pada tahap 200% namun kualiti audio akan jadi pecah.

    Mujur, ia masih lagi dilengkapi bicu audio 3.5mm untuk pengalaman audio yang lebih mengasyikkan dan tindak balas (latency) rendah, terutamanya sewaktu bermain game untuk pengawasan yang lebih peka.

    Beralih kepada hayat bateri, ia mempunyai kapasiti 5,000mAh dengan ketahanan yang mengagumkan. Ia boleh bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan asas dan sukar untuk dihabiskan walaupun dengan kegunaan berat. Jika mod penjimatan kuasa diaktifkan dan anda gunakan telefon ini secara ringan, baterinya boleh bertahan sehingga empat hari.

    Untuk kelajuan pengecasan pula, kadar 67W boleh mengecas penuh daripada 0% dalam masa 52 minit. Pastinya, hayat bateri dan pengecasan pantas merupakan kelebihan utama untuk telefon ini.

    Rekod penggunaan bateri OnePlus Nord CE 3 Lite 5G, dengan mod penjimatan kuasa
    Pengecasan daripada 2% ke 100% mengambil masa sekitar 52 minit

    Seterusnya, penggambaran. Telefon ini mempunyai tiga kamera, namun secara jujurnya saya berpendapat dua kamera tambahan itu hanyalah sekadar hiasan sahaja dan bukan untuk tujuan fotografi sebenar. Kamera yang paling penting adalah kamera utama 108MP yang menggunakan sensor Samsung HM6 1/1.67 inci dengan apertur f/1.75.

    Kualiti gambarnya sangat cantik dalam suasana yang terang, manakala pada waktu malam pula kualitinya agak memuaskan. Sungguh pun begitu, Night Mode sering terlalu menajamkan (oversharpen) kualitinya, menghasilkan noise dan objek asing (artefacts) yang agak jelas.

    Memandangkan saiz sensornya yang agak besar untuk kategori ini, anda boleh dapatkan efek kabur (bokeh) di latar belakang untuk gambar jarak dekat (close-up) yang lebih sinematik. Anda boleh gunakan keseluruhan sensor 108MP untuk butirang yang lebih tinggi, namun ia akan menggunakan lebih banyak storan dan pemprosesannya juga mengambil masa.

    Seperti yang disebut tadi, kamera ini menyokong zum lossless 3x yang berfungsi dengan agak baik. Walaupun pada tahap zum 3x, anda tidak akan kehilangan butiran yang banyak, malah tidak banyak berbeza dengan zum optikal.

    Perlu diingati bahawa telefon ini tidak mempunyai kamera telefoto dan kamera ultra-lebar yang pasti akan mengecewakan pelanggan. Walaupun demikian, saya berpuas hati dengan satu kamera utama 108MP yang berkualiti tinggi daripada dua kamera yang hambar.

    Di hadapan, kamera swafoto 16MP boleh menghasilkan gambar bagus dengan cahaya yang terang.

    Contoh gambar swafoto

    Seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan, kualiti rakaman video Nord CE 3 Lite 5G agak menghampakan. Ia menghasilkan video yang noisy dan bergegar kerana ketiadaan penstabilan optikal atau elektronik. Ini adalah sesuatu yang boleh dijangkan untuk telefon pada harga ini.

    Kesimpulan – Telefon kelas pertengahan yang boleh settle

    Dengan harga RM1,099, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G dijual pada harga yang sangat kompetitif untuk telefon kelas pertengahan. Kelebihan telefon ini termasuklah skrin 120Hz, hayat bateri yang tahan lama, kamera utama 108MP serta antara muka yang mudah digunakan, menjadikan telefon ini peranti yang sesuai untuk kebanyakan orang.

    Memetik cogan kata OnePlus “Never Settle”, ini adalah telefon yang boleh settle untuk ramai pengguna di luar sana.

    Jika anda ingin mencari alternatif pada harga ini, anda boleh lihat pada POCO X5 5G yang mempunyai cipset sama namun dengan skrin AMOLED 120Hz. Keburukannya adalah ia tidak mempunyai pembesar suara stereo dan pengecasannya lebih rendah iaitu 33W sahaja.

    Satu lagi alternatif ialah realme 10 (RM999) yang mempunyai spesifikasi serupa dengan Nord CE 3 Lite 5G namun pada harga lebih murah sebanyak RM100. Sungguh pun begitu, kekurangannya ialah ia sekadar mempunyai kadar skrin 90Hz dan tiada sokongan 5G.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X