fbpx
More

    Ulasan POCO X5 5G – Telefon kelas pertengahan dengan skrin dan hayat bateri mantap

    Sejak pengenalannya sebagai jenama kecil yang dinaungi oleh Xiaomi pada 2018, POCO telah menempa namanya dalam industri telefon pintar sebagai pembina peranti berkualiti tinggi yang dijual pada harga berpatutan. Telefon terbaru POCO X5 5G yang dilancar pada awal tahun ini meneruskan lagi legasi tersebut.

    Sungguh pun begitu, POCO X5 5G menghadapi saingan yang sengit dalam segmen telefon kelas pertengahan kerana banyak jenama lain turut menawarkan peranti berkualiti tinggi pada harga serupa. Jadi dengan harga bermula RM1,099, adakah ini telefon sempurna untuk anda? Ayuh baca ulasan yang ditulis oleh pengarang TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Kemas dan minimalistik

    Sekali pandang, POCO X5 5G mempunyai rekaan yang serupa dengan POCO X4 GT, terutamanya dengan warna hitam yang telah dipinjamkan kepada kami. Satu perbezaan yang terdapat pada X5 5G adalah ia mempunyai permukaan matte dengan kilauan ringkas yang akan memantulkan cahaya apabila ia disengetkan pada sudut tertentu.

    Permukaan matte ini bermaksud ia tidak akan meninggalkan kesan cap jari langsung. Ini adalah sesuatu yang dialu-alukan, terutamanya jika anda tidak mahu mengenakan sarung pada telefon ini. X5 5G turut ditawarkan dalam warna hijau dan biru.

    Apabila dilihat dengan lebih teliti, penulis amat menggemari sentuhan kecil yang terdapat pada rekaannya, seperti warna hitam yang lebih pekat pada logo POCO di atas bonggol kamera.

    Di samping itu, X5 5G mempunyai bahagian sisi yang rata dengan bucu yang melengkung sedikit (bevelled edges), menjadikannya lebih ergonomik dan selesa untuk dipegang dalam tempoh yang lama. Butang kawalan audio dan butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari berada di bahagian kanan peranti.

    Dulang dwi-kad SIM dan kad microSD berada di bahagian kiri, manakala bahagian atas pula menempatkan bicu audio 3.5mm, pemancar infra-merah (IR) dan lubang mikrofon. Di bawah pula terdapat port USB-C, lebih banyak lubang mikrofon dan pembesar suara mono.

    Secara keseluruhan, rekaan X5 5G adalah biasa sahaja dan agak bosan, terutamanya dalam warna hitam ini. Buat mereka yang lebih berkenan pada telefon berprofil rendah, X5 5G adalah peranti yang sesuai untuk anda.

    Spesifikasi teknologi

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk POCO X5 5G:

    • Skrin AMOLED 6.67 inci, resolusi 1080×2400, kadar segar semula 120Hz, nisbah skrin-ke-badan 85%, kecerahan puncak 1,200 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G
    • RAM 6GB atau 8GB
    • Storan UFS 2.2 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 13MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 33W
    • Sistem operasi MIUI 13.0.5 berdasarkan Android 12
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Bicu audio 3.5mm
    • Rating kalis air IP53
    • Sokongan Bluetooth 5.1, NFC
    • USB-C 2.0, OTG
    • Dwi-kad SIM
    • Ruang kad microSDCX (berkongsi dengan satu slot kad SIM)
    • Warna: Hijau, biru dan hitam
    Spesifikasi asas POCO X5 5G

    Ciri yang paling menonjol pada peranti ini pastinya adalah skrin dengan kadar tinggi 120Hz, resolusi Full HD+ dan panel AMOLED yang menghasilkan warna pekat serta hitam yang gelap. Ia juga mempunyai kecerahan maksimum 700 nits dan kecerahan puncak 1,200 nits, cukup terang untuk digunakan bawah cahaya matahari terik.

    Penulis sangat berpuas hati dengan skrin ini apabila menonton video dan bermain game kerana ini adalah skrin yang setaraf dengan telefon yang lebih mahal.

    Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G yang banyak terdapat pada telefon kelas pertengahan lain. Walaupun cipset yang diperkenalkan pada 2021 ini sudah mula menunjukkan usianya, ia masih lagi sebuah cipset yang bagus untuk kegunaan harian seperti melayari laman web dan media sosial. Lebih penting lagi, cipset ini menyokong rangkaian 5G, sesuatu yang dititik beratkan oleh lebih ramai pengguna.

    Untuk bateri, X5 5G dilengkapi kapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 33W. Hayat bateri telefon ini sangat cemerlang dan kadar pengecasannya lebih daripada pantas untuk telefon kategori ini. Lebih-lebih lagi, pengecasnya turut disertakan dalam kotak!

    X5 5G mempunyai sistem operasi Android 12 dengan antara muka MIUI 13.0.5, ia mudah digunakan namun susunannya agak rumit. Ia menawarkan banyak tetapan yang membenarkan anda untuk mengubah antara mukanya dalam pelbagai situasi, seperti sewaktu bermain game dan banyak lagi.

    Penulis bukanlah peminat rekaan MIUI dan lebih menggemari Android asal (stock), namun penulis boleh faham tentang tarikannya dan pelbagai tetapan untuk menghiasinya. Jumlah perisian remeh (bloatware) juga agak mengecewakan, namun ia masih boleh dinyahpasang (uninstalled) dengan mudah.

    Antara muka MIUI 13.0.5

    Daripada segi biometrik, pengimbas cap jari yang terdapat pada butang kuasa berfungsi dengan sangat pantas. Pengesahan muka juga berfungsi dengan baik kecuali dalam situasi gelap.

    Beralih kepada pengimejan, kamera X5 5G menawarkan lensa yang standard untuk sebuah telefon kelas pertengahan iaitu kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera mkro 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP dalam lubang punch-hole.

    Antara muka kamera dan fungsi yang ditawarkan

    Prestasi

    Seterusnya, penulis ingin mengulas prestasi X5 5G. Berikut adalah hasil penanda aras daripada Geekbency 5 dan 3DMark:

    Untuk tugasan harian, Snapdragon 695 5G boleh menjana prestasi yang cemerlang. Ia juga mempunyai RAM yang lebih daripada cukup untuk pengalaman multi-tugas yang lancar, terutamanya selepas anda mengaktifkan Dynamic RAM Expansion Technology 3.0. Apabila digabungkan dengan kadar skrin 120Hz, penulis tidak mempunyai banyak rungutan tentang pengalaman penggunaan telefon ini.

    Daripada segi gaming, usah jangkakan kelajuan mirip telefon andalan, memandangkan X5 5G hanyalah telefon kelas pertengahan sahaja. Walaupun begitu, telefon ini boleh memainkan game popular seperti PUBG Mobile atau Mobile Legends dengan lancar pada tetapan grafik yang sesuai. Tetapan grafik tinggi masih boleh diaktifkan, namun penulis mengesyorkan anda untuk gunakan tetapan rendah atau sederhana sahaja.

    Berikut adalah beberapa tangkapan skrin X5 5G dengan tetapan grafik lalai:

    Malangnya, kualiti pembesar suara X5 5G tidak cemerlang seperti skrinnya. Memandangkan ia hanya dilengkapi pembesar suara mono, lebih baik jika anda gunakan fon telinga untuk pengalaman audio yang lebih menyeluruh. Memandangkan ia mempunyai bicu audio 3.5mm, anda boleh gunakan fon telinga berwayar dengan telefon ini.

    Beralih kepada hayat baterinya, bateri 5,000mAh mampu menjana tenaga yang cukup selama dua hari jika digunakan secara biasa. Malah dengan penggunaan berat sekali pun, penulis menghadapi kesukaran dalam menghabiskan cas baterinya. Jika anda menggunakannya secara ringan dengan mod penjimatan kuasa, ia boleh bertahan sehingga lima hari.

    Untuk tempoh pengecasan pula, pengecasan penuh dengan kadar 33W mengambil masa sekitar 1 jam 25 minit. Bateri X5 5G memang adalah salah satu daripada ciri menarik untuk telefon ini.

    Pengecasan penuh mengambil masa 1 jam 25 minit

    Seterusnya, mari kita bincang tentang fotografi. Seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan, X5 5G boleh mengambil gambar yang cantik dalam situasi cahaya terang. Kamera utama 48MP menghasilkan kualiti gambar yang paling jelas, manakala kamera ultra-lebar dan makro pula menghasilkan gambar yang sekadar memuaskan.

    Dalam situasi malap, kamera utama 48MP boleh mengambil gambar yang cantik dengan butiran jelas. Night Mode boleh memperbaik gambar dalam situasi ini, namun kesan oversharpening boleh dilihat padanya.

    Untuk gambar ultra-lebar 8MP, ia boleh menghasilkan gambar memuaskan selagi anda berada dalam situasi terang. Kamera makro 2MP pula agak mengecewakan kerana kualiti gambarnya sering kabur.

    Kamera swafoto 13MP pula menghasilkan gambar yang cantik, dengan sudut penglihatan yang sangat memuaskan. Pastinya amat menarik untuk mereka yang gemar mengambil gambar diri sendiri untuk dimuat naik ke media sosial!

    Kualiti videonya pula agak rendah jika dibandingkan dengan telefon kelas pertengahan lain, dan noise akan nampak lebih jelas jika anda merakam dalam situasi malap. Resolusinya pula sekadar 1080p 60fps untuk kamera utama dan 1080p 30fps untuk kamera swafoto, sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon kategori ini.

    Kesimpulan

    Dengan harga RM1,099 (6GB+128GB) dan RM1,199 (8GB+256GB), POCO X5 5G menawarkan pakej yang sangat menarik dalam segmen telefon kelas pertengahan. Gabungan cipset Snapdragon 695 5G yang banyak terdapat pada telefon lain dan skrin AMOLED 120Hz membuatkannya peranti yang sangat bagus tanpa memerlukan perbelanjaan besar. Ia mantap untuk kegunaan harian, boleh memainkan game popular dan lebih penting, ia mempunyai bateri tahan lama.

    Jika anda mempunyai bajet yang lebih, anda boleh pertimbangkan POCO X5 Pro 5G (RM1,299) yang mempunyai skrin lebih bagus, kadar pengecasan 67W, kamera utama 108MP, pembesar suara stereo dan cipset Snapdragon 778G. Dengan tambahan RM200 sahaja, banyak penambahbaikan yang anda boleh nikmati dengan X5 Pro 5G.

    Satu lagi pilihan adalah realme 10 (RM999) yang mempunyai spesifikasi serupa dengan X5 5G namun harganya lebih murah sebanyak RM100. Perlu diingati bahawa peranti ni sekadar mempunyai skrin AMOLED 90Hz dan tiada sokongan 5G.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    WhatsApp sedang uji ciri benarkan anda melihat kenalan yang baru saja ‘online’

    WhatsApp sedang menguji ciri baru yang membolehkan pengguna dengan mudah melihat siapa daripada rakan atau kenalan mereka yang baru sahaja 'online'. Ciri...

    Laluan KTM Komuter Tg Malim – KL Sentral beroperasi dengan frekuensi 15 minit mulai...

    Pengumuman baharu Keretapi Tanah Melayu (KTM) memberikan berita gembira kepada penduduk di Lembah Klang apabila laluan Komuter Tanjung Malim ke KL Sentral...

    Ant International tubuhkan Pusat Niaga Digital baharu di Malaysia, tawarkan lebih 500 peluang pekerjaan

    Syarikat pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech) antarabangsa, Ant International, mengumumkan penubuhan Pusat Niaga Digital yang terbaru di Malaysia, terletak dalam menara...

    Xsolla Curine Video Game Academy dibuka di Malaysia untuk bangunkan bakat pembina “game” tempatan

    Syarikat kewangan video game global, Xsolla, telah bekerjasama dengan syarikat pembina usaha niaga (venture builder) antarabangsa, Curine Ventures, untuk membuka Xsolla Curine...

    Siri HUAWEI Pura 70 dilancar: Kirin 9010 dan sensor kamera 1 inci 50MP bermula...

    HUAWEI telah memperkenalkan telefon andalan siri HUAWEI Pura 70 di China, menampilkan empat model iaitu Pura 70, Pura 70 Pro, Pura 70...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X