fbpx
More

    Ulasan OPPO A95 – Telefon cantik dengan bateri tahan lama

    Awal bulan ini, OPPO Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan OPPO A95 yang menampilkan spesifikasi lengkap untuk mereka yang sekadar ingin laksanakan tugasan harian dalam telefon. Walaupun spesifikasinya terdiri dengan komponen asas, ia mempunyai reka bentuk yang agak unik berbanding telefon jenama lain dalam kategori ini.

    Dengan harga bermula daripada RM1,099, adakah OPPO A95 menawarkan kelebihan yang tersendiri dalam kategori telefon sekitar seribu Ringgit yang penuh dengan pelbagai pilihan daripada jenama lain? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui sama ada ia berbaloi dengan harga tersebut:

    Rekaan – Permukaan matte yang berkilauan

    Walaupun ia adalah sebuah telefon kelas permulaan, reka bentuknya membuatkan OPPO A95 nampak lebih mahal daripada harga asal. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah putih Glowing Rainbow Silver yang menampilkan kilauan pelangi apabila anda melihat telefon ini daripada pelbagai sudut. Jika anda inginkan warna yang tidak menonjol, ia turut ditawarkan dalam warna hitam Glowing Starry Black.

    Permukaan OPPO Glow Design ini mempunyai sudahan matte yang tidak meninggalkan kesan cap jari. Seperti kebanyakan telefon dalam kategori ini, badan OPPO A95 dibuat dengan plastik jadi ia mungkin rasa murah sedikit apabila anda memegang telefon ini, namun sekurang-kurangnya ia mempunyai estetika yang lebih cantik berbanding telefon kelas permulaan lain. Jika anda ingin memiliki telefon cantik tanpa perlu berbelanja besar, OPPO A95 adalah peranti untuk anda.

    Bonggol kameranya tidaklah terlalu tebal dan boleh diratakan jika anda menggunakan sarung (casing) lutsinar yang disertakan dalam kotak. Di bahagian sisi pula, ia mempunyai rangka melengkung (curved) yang dihiasi dengan kilauan besi dan meningkatkan lagi kecantikan keseluruhan OPPO A95. 

    Butang kuasa berada di bahagian sisi kanan manakala butang kawalan suara serta ruang dwi-kad SIM dan kad memori microSDXC berada di bahagian kiri. Di bawah, telefon ini menawarkan bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara mono. Seperti kebanyakan telefon kelas permulaan, OPPO A95 tidak dilengkapi pembesar suara stereo.

    OPPO A95 mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.43 inci dengan resolusi Full HD+ (1080 x 2400) serta nisbah aspek 20:9. Ia mempunyai sempadan bezel yang nipis pada bahagian sisi dan atas, namun di bahagian dagu pula, sempadannya agak tebal berbanding telefon lain namun ia tidaklah terlalu mengganggu apabila anda menonton video. Kamera swafoto pula berada dalam lubang punch hole kecil yang berada di bahagian atas kiri skrin.

    Aksesori yang disertakan dalam kotak: pengecas 33W, sarung lutsinar, kabel USB-C

    Spesifikasi – Agak ketinggalan?

    Walaupun OPPO A95 mempunyai rekaan yang cantik, spesifikasinya bukanlah kekuatan utama untuk telefon ini.  Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO A95:

    • Skrin AMOLED Full HD+ 6.43 inci, nisbah aspek 20:9, nisbah skrin-ke-badan 90.8%
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 662
    • RAM 8GB dengan fungsi RAM Expansion sebanyak 5GB
    • Storan dalaman 128GB, boleh dibesarkan dengan kad memori microSDXC
    • Kamera utama 48MP + sensor kedalaman 2MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Fungsi fotografi Night Mode, AI Scene Enhancement, AI Beautification
    • Fungsi rakaman Steady Video EIS, Slo-Mo sehingga 120fps
    • Bateri 5,000mAh, menyokong fungsi Super Power Saving Mode
    • Pengecasan pantas 33W Flash Charge, menyokong fungsi Battery Guard dan Charging Heat Control
    • Kalis air IPX4
    • Pengimbas cap jari dalam skrin
    • Sistem operasi ColorOS 11.1 berdasarkan Android 11
    • Fungsi gaming: Hyper Boost, Game Space, Game Focus Mode, Game Assistant
    • Berat 175g, tebal 7.95mm
    • Pilihan warna hitam Starry Black atau putih Glowing Rainbow Silver
    Spesifikasi utama OPPO A95

    Anda boleh lihat bahawa cipset Snapdragon 662 adalah cipset yang agak ketinggalan untuk sebuah telefon yang dilancar pada November 2021. Secara teori, cipset 11nm ini masih boleh menghasilkan prestasi yang pantas untuk kegunaan harian, namun ia mungkin tidak boleh menjana prestasi yang memuaskan untuk gaming.

    Selain itu, modul kameranya tidak dilengkapi kamera ultra-lebar jadi ia mungkin menghadkan kebolehan OPPO A95 untuk mengambil pelbagai jenis fotografi. Jika anda adalah pengguna yang mengutamakan kamera versatil dalam telefon, ketiadaan kamera ultra-lebar mungkin akan mengecewakan anda dan mungkin boleh lihat pada telefon lain.

    Mujur sekali, OPPO A95 masih mempunyai spesifkasi lain yang menarik seperti bateri berkapasiti besar 5,000mAh yang pasti boleh bertahan selama sehari, malah sehingga dua hari jika mod penjimatan kuasa diaktfikan. Bateri ini turut didampingi pengecasan pantas 33W Flash Charge jadi anda tidak perlu menunggu lama untuk mengecas bateri ini sehingga penuh. 

    Pelbagai fungsi bateri dalam OPPO A95

    Malah, bateri ini mempunyai ciri yang setakat ini hanya terdapat dalam telefon lebih mahal seperti Optimized Night Charging di mana jika anda mengecas pada waktu malam, ia hanya akan mengecas sehingga 80% manakala baki 20% akan dicas beberapa minit sebelum anda bangun pada waktu pagi. 

    Selain itu, seperti kebanyakan telefon yang dilancar pada tahun ini, OPPO A95 mempunyai fungsi RAM tambahan (expansion) yang menggunakan sebahagian daripada storan dalaman untuk dijadikan RAM. Anda boleh menambah RAM sebanyak 2GB, 3GB atau 5GB, menjadikan keseluruhan RAM kepada 13GB. Ini akan membenarkan anda untuk membuka pelbagai aplikasi serentak, tanpa mengorbankan prestasi keseluruhan telefon.

    Pilihan RAM tambahan 2GB, 3GB atau 5GB

    Perisian antara muka (UI) ColorOS 11.1 pula mudah digunakan dan ia turut menawarkan beberapa fungsi menarik seperti Always On Display dan melaraskan tema (Personalization) dengan lebih terperinci. Sewaktu anda bermain game pula, Game Space memudahkan anda untuk mengakses fungsi yang kerap digunakan untuk gaming seperti peningkatan prestasi atau rakaman skrin (screen record).

    Home screen untuk OPPO A95. Ia tidak mempunyai app drawer
    Perisian Game Space yang boleh diakses sewaktu bermain game

    Prestasi – Bateri tahan lama!

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk prestasi daripada Snapdragon 662, OPPO A95 bukanlah telefon dengan pengalaman penggunaan terpantas. Telefon ini masih boleh digunakan dengan selesa untuk tugasan harian seperti menonton video, melayari media sosial atau membaca dokumen, namun terdapat juga sedikit (lag) apabila anda ingin membuka atau menukar aplikasi yang dipaparkan.

    Jika anda bermain game dalam telefon ini, prestasinya agak perlahan dalam tetapan grafik asal (default). Walaupun saya bermain game dengan keperluan spesifikasi rendah seperti COD Mobile atau PUBG Mobile, saya perlu merendahkan tetapan grafik untuk meningkatkan kadar bingkai (frame rate).

    Keputusan penanda aras daripada Geekbench (kiri) dan 3D Mark Wild Life (kanan), kedua-duanya menghasilkan markah yang sederhana

    Jika saya kekal dengan tetapan grafik asal, ia akan membuatkan permainan saya lebih perlahan dan menyukarkan saya untuk menumpaskan musuh. Untuk game dengan grafik tinggi seperti Asphalt 9, kadar bingkainya tetap rendah walaupun jika dimainkan dengan tetapan grafik rendah.

    Mujur sekali skrin AMOLED dalam telefon ini boleh memaparkan sebarang kandungan media dengan cantik. Warna yang dihasilkan nampak pekat dan jika anda ingin melaraskan skema warna, OPPO A95 menawarkan pilihan seperti mod warna dan suhu warna. Seperti kebanyakan telefon dalam kategori ini, kadar segar semula OPPO A95 adalah sekadar 60Hz sahaja.

    Tetapan suhu warna (kiri) dan mod warna skrin (kanan)

    Satu kelebihan yang ketara untuk OPPO A95 adalah pada baterinya yang berkapasiti 5,000mAh. Sepanjang penggunaan saya, bateri tersebut boleh bertahan sehingga sehari dalam mod asal. Ia turut menawarkan mod penjimatan kuasa iaitu Power Saving Mode dan Super Power Saving Mode, di mana mod yang kedua itu boleh memanjangkan hayat bateri sehingga dua hari, namun prestasi telefon akan diperlahankan sedikit.

    Selain itu, pengecasan pantas 33W Flash Charge juga akan memudahkan anda jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk mengecas telefon. Pengecas 33W yang disertakan dalam kotak itu boleh mengecas penuh bateri OPPO A95 dalam masa sekitar satu jam 15 minit.

    Untuk tujuan biokeselamatan, OPPO A95 dilengkapi pengimbas cap jari optikal bawah skrin dan ia boleh membaca cap jari anda dengan pantas, namun tidaklah sepantas telefon kategori yang lebih mahal. Selain pengimbas cap jari, kamera swafotonya menyokong fungsi pengimbasan muka dan ia sangat responsif, kecuali dalam suasana malap.

    Sekarang mari kita beralih kepada bahagian fotografi dalam telefon ini. OPPO A95 menawarkan fungsi fotografi asas seperti mod Potret, Panorama, Macro dan Night Mode dan kesemuanya berfungsi dengan baik.

    UI kamera OPPO A95 (kiri), fungsi fotografi tambahan (tengah), zum 5x (kanan)

    Dalam mod auto dan di bawah pencahayaan yang terang, telefon ini boleh mengambil gambar yang sangat cantik dengan warna yang seimbang. Dengan lensa khas untuk mod makro dan sensor kedalaman untuk mod potret, ia boleh menghasilkan gambar yang sekadar memuaskan dalam kedua-dua mod, seperti yang dijangka untuk sebuah telefon kelas permulaan.

    Kamera ini boleh zum digital sehingga 10x, namun butirannya akan jadi semakin kabur apabila anda zum lebih daripada 4x. Daripada segi penggambaran malap pula, kamera ini tidak mampu menghasilkan gambar yang jelas dan Night Mode juga tidak menawarkan penambahbaikan yang ketara.

    Untuk rakaman video, OPPO A95 sekadar boleh merakam dalam resolusi 1080p pada kadar 30fps sahaja. Kualiti rakamannya sekadar memuaskan sahaja dan boleh dijangka untuk telefon kategori ini, namun ia dilengkapi teknologi penstabilan imej elektronik (EIS) jadi anda boleh merakam video yang stabil walaupun sewaktu berjalan. Penstabilan ini diproses sebaik sahaja anda habis merakam, jadi walaupun video anda nampak bergegar sewaktu merakam, ia akan distabilkan sebaik sahaja anda menonton semula video tersebut dalam galeri.

    Kesimpulan – Istimewa pada rekaan dan hayat bateri

    Pada pendapat saya, OPPO A95 mempunyai dua kelebihan yang memisahkannya daripada produk pesaing iaitu reka bentuk yang cantik serta hayat bateri yang panjang. Selain daripada dua ciri ini, OPPO A95 tidak mempunyai tarikan yang tersendiri terutamanya dengan cipset Snapdragon 662 yang menjana prestasi sederhana sahaja. Jika anda mengutamakan dua kelebihan tersebut dalam penggunaan anda, saya sangat mengesyorkan OPPO A95 yang dijual dengan harga RM1,099 ini.

    Jika anda tidak berminat dengannya, terdapat pelbagai alternatif yang sesuai dan dijual pada harga tersebut. Sebagai contoh, Redmi Note 10 Pro (RM999) dilengkapi kamera ultra-lebar dan cipset Snapdragon 732G, POCO X3 GT (RM1,199) menawarkan skrin 120Hz dan pengecasan 67W manakala Samsung Galaxy A32 (RM1,099) pula dilengkapi skrin AMOLED 90Hz dan menyokong rakaman video 4K.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OPPO A95 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    HONOR MagicBook X 16 2024 rasmi di Malaysia dengan Intel i5-12450H, skrin 16″ berharga...

    Selain telefon pintar dan tablet, komputer riba HONOR MagicBook X 16 2024 juga dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan pemproses Intel...

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X