fbpx
More

    Ulasan OPPO A96 – Telefon kelas pertengahan yang relevan untuk 2022

    Pada hari ini, OPPO Malaysia telah melancarkan sebuah lagi produk dalam siri telefon pintar kelas pertengahan OPPO A iaitu OPPO A96. Telefon ini dilengkapi spesifikasi yang boleh dijangkakan untuk sebuah peranti kategori ini pada 2022, dengan bateri besar, skrin berkadar pantas dan RAM maya.

    OPPO A96 dijual di Malaysia pada harga RM1,299, jadi adakah ia merupakan telefon terbaik dalam jurang harga tersebut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Tidak banyak beza dengan OPPO A sebelum ini

    OPPO A96 menampilkan rekaan belakang OPPO Glow Design yang memaparkan corak berlian dengan permukaan matte. Ini membuatkan permukaannya sukar untuk meninggalkan kesan cap jari, namun pada masa yang sama masih mempunyai kilauan yang membuatkannya nampak seperti telefon yang lebih mahal. Permukaan belakangnya dibuat daripada plastik, iaitu sesuatu yang boleh dijangkakan untuk telefon dalam kategori ini.

    Bonggol kameranya nipis sahaja dan ia menempatkan dua lensa kamera serta satu lampu kilat. Telefon ini turut disertakan dengan sarung (casing) silikon lutsinar dalam kotaknya jika anda ingin meratakan bahagian belakang telefon. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah putih Pearl Pink yang agak menonjol, jadi jika anda inginkan telefon yang lebih berprofil rendah, anda boleh dapatkan warna hitam Starry Black.

    Bahagian sisinya mempunyai rangka plastik yang melengkung (curved). Sisi kanan menempatkan sebuah pengimbas cap jari yang turut berfungsi sebagai butang kuasa, manakala sisi kiri menempatkan butang kawalan audio serta dulang kad SIM dan kad memori microSD. Bahagian bawah pula mempunyai satu pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm. 

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.59 inci dengan sempadan bezel yang agak nipis di bahagian atas, kiri dan kanan, manakala bahagian bawah pula mempunyai bezel yang agak tebal. Sebuah kamera swafoto pula berada dalam lubang punch hole di bahagian atas kiri skrin. Saya berpendapat rekaan telefon ini agak standard untuk sebuah telefon kelas pertengahan, namun ia tidak secantik OPPO A95 yang dilancar pada tahun lepas.

    Spesifikasi – Kompeten dengan telefon pertengahan lain

    Meskipun rekaan luarannya agak menghampakan saya, OPPO A96 ini mempunyai spesifikasi yang lebih menarik untuk sebuah telefon kelas pertengahan. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk telefon ini: 

    • Skrin LCD FullHD+ (1080×2412) 6.59 inci, kadar segar semula 90Hz, nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90.8%, DCI-P3 100%, NTSC 96%
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 680 4G
    • RAM 8GB, boleh dibesarkan dengan RAM Expansion sebanyak 5GB
    • Storan dalaman 256GB
    • Kamera utama 50MP + kamera bokeh 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 33W SUPERVOOC
    • Sistem operasi ColorOS 11.1 berdasarkan Android 11
    • Kalis air IPX4
    • Pengimbas cap jari di bahagian sisi
    • Dwi-pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm
    • Pilihan warna hitam Starry Black atau putih Pearl Pink
    Spesifikasi OPPO A96

    Walaupun telefon ini mempunyai panel LCD yang tidak boleh menghasilkan warna pekat seperti AMOLED, ia masih mempunyai kadar segar semula yang pantas iaitu 90Hz. Ini akan membuatkan penggunaan telefon ini terasa amat lancar sewaktu menatal (swiping) skrin. 

    Ia juga mempunyai Adaptive Refresh Rate Technology yang bermaksud skrin ini tidak akan memaparkan kadar 90Hz pada setiap masa, sebaliknya akan melaraskan kadar skrin secara automatik mengikut kandungan yang dipaparkan agar hayat bateri boleh dipanjangkan. Telefon jenama lain mungkin mempunyai kadar 90Hz juga, tetapi tidak semestinya ia boleh melaraskan kadar skrin secara automatik seperti OPPO A96.

    Masih boleh tonton video dengan cantik, walaupun bukan AMOLED

    Daripada segi cipset pula, Snapdragon 680 dengan nod proses 6nm menyediakan prestasi yang pantas untuk kegunaan harian termasuklah melayari internet, aplikasi pemesejan, media sosial dan lain-lain. Ini adalah cipset yang banyak digunakan dalam telefon jenama lain pada tahun ini dan pastinya akan kekal relevan dalam tahun-tahun akan datang.

    Modul kameranya pula agak kekurangan kerana ia hanya mempunyai dua lensa untuk kamera utama dan sensor kedalaman. Mereka yang menggemari fotografi ultra-lebar serta makro mungkin kecewa dengan ketiadaan lensa khas untuk dua mod tersebut.

    Satu ciri penting dalam OPPO A96 adalah pada kapasiti baterinya yang besar iaitu 5,000mAh, jadi ia pasti boleh bertahan lebih daripada sehari. Sewaktu mengecas pula, pengecasan 33W SUPERVOOC boleh mengecas penuh bateri ini dalam masa yang singkat. Anda pasti gembira tentang pengecasnya yang turut disertakan dalam kotak.

    Seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan pada waktu ini, OPPO A96 mempunyai fungsi RAM Expansion yang boleh membesarkan RAM sebanyak 2GB, 3GB atau 5GB. Daripada segi storan dalaman pula, telefon ini menawarkan kapasiti 256GB namun ia masih boleh dibesarkan dengan kad memori microSD.

    Tambahan RAM 2GB, 3GB atau 5GB
    UI ColorOS 11.1 dalam OPPO A96

    Untuk antara muka (UI) pula, perisian ColorOS 11.1 mudah untuk digunakan untuk pengguna Android namun ia mempunyai banyak perisian remeh (bloatware). Sewaktu bermain game pula, perisian Game Space memudahkan anda untuk mengakses fungsi yang kerap digunakan untuk gaming seperti peningkatan prestasi atau rakaman skrin (screen record). Pada waktu ulasan ini ditulis, OPPO A96 masih mempunyai sistem operasi Android 11, namun saya pasti ia akan menerima kemas kini Android 12 dalam masa terdekat.

    Prestasi – Lebih baik berbanding OPPO A sebelum ini

    Sebelum saya mengulas lanjut tentang prestasi telefon ini, berikut adalah keputusan yang dihasilkan daripada ujian penanda aras Geekbench dan 3DMark untuk OPPO A96 ini:

    Dengan cipset Snapdragon 680 ini, anda memang tidak boleh jangkakan prestasi yang sangat pantas untuk tugasan berat seperti gaming. Jika anda sekadar menggunakannya untuk tugasan harian, telefon ini boleh melaksanakannya dengan cemerlang lebih-lebih lagi dengan kadar skrin 90Hz yang boleh hasilkan pengalaman penggunaan lancar.

    Sewaktu bermain game seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Asphalt 9, telefon ini menjana prestasi yang biasa sahaja dalam tetapan grafik medium. Untuk pengalaman gaming yang lebih lancar, saya nasihatkan anda untuk letak tetapan grafik minimum sahaja.

    Untuk pengalaman audio, pembesar suara stereo dalam telefon ini menghasilkan kualiti bunyi yang sederhana sahaja, manakala kelantangan juga tidak begitu tinggi. Mujur telefon ini masih mempunyai bicu audio 3.5mm, sewaktu semakin banyak telefon kelas pertengahan jenama lain mula membuang bicu tersebut.

    Satu perkara yang saya sangat gemar dengan telefon ini adalah pada hayat baterinya yang sangat tahan lama. Ia mampu bertahan lebih daripada sehari dan jika skrinnya dibiarkan hidup dengan memainkan video berulang kali, ia berjaya mencatatkan masa hampir sembilan jam untuk bateri penuh. Jika anda ingin membuatkannya tahan lebih lama lagi, anda boleh mengaktifkan Power Saving Mode atau Super Power Saving Mode yang boleh meningkatkan hayat bateri sehingga tiga hari.

    Daripada segi pengecasan pula, kadar 33W SUPERVOOC boleh mengecas penuh bateri OPPO A96 daripada kosong dalam masa sekitar 1 jam sahaja, iaitu waktu yang sangat cepat untuk sebuah telefon kelas pertengahan.

    Penggunaan bateri daripada 100% ke 3% boleh menghidupkan skrin (screen on time) selama 8 jam 25 minit
    Pengecasan 4% ke 99% mengambil masa 1 jam 6 minit (10:05am hingga 11:11am) dengan kadar 33W

    Pengimbas cap jari yang berada di bahagian sisi kanan berfungsi dengan sangat pantas sewaktu membuka skrin. Selain cap jari, anda juga boleh gunakan imbasan muka untuk membuka skrin dan ia berfungsi dengan responsif, kecuali dalam waktu malap.

    Kini, saya ingin mengulas prestasi fotografi dalam telefon ini. Selain fungsi asas, OPPO A96 menawarkan fungsi tambahan seperti Portrait, Night, Slo-Mo, Panorama dan banyak lagi. Seperti kebanyakan telefon kelas permulaan lain, telefon ini boleh mengambil gambar yang sangat cantik jika anda berada dalam suasana yang terang. Jika dalam suasana malap pula, gambar boleh jadi kabur dengan mudah. Mod Night boleh mencantikkan sedikit gambar anda namun tidaklah begitu ketara.

    UI kamera OPPO A96

    Kesimpulan – Telefon kelas pertengahan yang banyak persaingan

    OPPO A96 menawarkan spesifikasi dan pengalaman yang lengkap untuk para pengguna, terutamanya untuk mereka yang sekadar ingin melakukan tugasan penting seperti aplikasi pemesejan dan melayari internet. Saya berpendapat anda tidak akan mengalami sebarang masalah dengan telefon ini. Sungguh pun begitu, dengan harga RM1,299, ini membuatkannya menghadapi saingan yang sangat sengit dalam pasaran telefon pintar.

    Ini adalah kerana anda boleh mendapatkan telefon alternatif lain yang menawarkan prestasi serupa pada harga lebih murah, atau prestasi lebih canggih pada harga yang sama. Sebagai contoh, Redmi Note 11 Pro 5G (RM1,199) menawarkan kamera utama 108MP manakala realme 9 Pro (RM1,099) menawarkan prestasi serupa dengan OPPO A96 namun ia mempunyai kamera yang lebih banyak termasuk kamera ultra-lebar. 

    Malah, OPPO A95 (RM1,099) juga masih sesuai dipertimbangkan kerana ia mempunyai skrin AMOLED, namun ia dibebankan dengan cipset lama dan mungkin tidak akan terima kemas kini Android 12. Sebenarnya telefon itu sendiri sudah ketinggalan sewaktu ia dilancarkan pada 2021.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X