fbpx
More

    Ulasan OPPOA 79 5G – Sekadar satu lagi telefon OPPO A

    Saban tahun, OPPO akan melancarkan beberapa model telefon dalam siri telefon pintar kelas pertengahan OPPO A dan yang paling terkini untuk pasaran Malaysia adalah OPPO A79 5G, dilancar pada awal bulan ini. Ia merupakan penyambung kepada OPPO A78 5G yang dilancar pada Januari tahun ini, namun kali ini OPPO A79 5G mempunyai rekaan yang lebih berlainan.

    Dengan harga pasaran RM1,199, adakah ini telefon pintar kelas pertengahan yang sesuai untuk anda dan adakah ia mampu bersaing dengan lambakan telefon jenama lain yang dijual pada kategori harga serupa? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya

    Rekaan – Sama macam telefon lain, bergantung kepada warna

    Jika OPPO A78 5G memperkenalkan jalur menegak pada bonggol kameranya, OPPO A79 5G meninggalkan konsep tersebut dan sebaliknya OPPO sekadar menggunakan rekaan yang sama seperti puluhan telefon kelas pertengahan lain, dengan bonggol kamera berbentuk petak dan dua bulatan besar untuk menempatkan tiga lensa kamera.

    Rekaan belakang OPPO A79 5G
    Bonggol kamera berbentuk petak dengan dua bulatan besar yang menempatkan tiga lensa, serta satu lampu denyar LED
    Kesan cap jari jelas terlihat di bahagian belakang telefon
    Di hadapan, ia mempunyai skrin dengan sempadan bezel agak tebal, namun boleh dijangka untuk telefon kelas pertengahan

    Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna hitam Mystery Black, ia mempunyai permukaan yang berkilauan dan sangat mudah meninggalkan kesan cap jari. Saya nasihatkan anda untuk terus pakaikan sarung lutsinar yang disediakan dalam kotak telefon ini untuk melindungi telefon daripada dicomotkan dengan cap jari anda.

    Sungguh pun begitu, jika anda inginkan OPPO A79 5G yang jauh lebih cantik, pilihan warna ungu Dazzling Purple nampak lebih menawan, terutamanya dengan tekstur yang nampak seperti batu marmar dan membuatkannya nampak lebih mewah. Pada pendapat saya, warna Dazzling Purple ini lebih padan dengan harga RM1,199 berbanding Mystery Black yang nampak kosong sahaja.

    Bahagian sisi OPPO A79 5G masih mengekalkan rangka plastik yang rata, membuatkannya nampak seperti iPhone namun ia tidak boleh didirikan secara menegak. Bahagian kanan menempatkan butang volume dan pengimbas cap jari yang bertindak sebagai butang kuasa, manakala bahagian kiri pula menempatkan slot dwi-kad SIM dan kad memori microSD.

    Sisi yang rata pada bahagian kiri menempatkan slot dwi-kad SIM dan kad microSD
    Sisi kanan pula menempatkan butang volume dan pengimbas cap jari
    Bahagian bawah menempatkan bicu audio 3.5mm, port USB-C dan satu pembesar suara
    Aksesori yang disertakan dalam kotak OPPO A79 5G

    Bahagian bawah pula menempatkan pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm yang kini semakin diancam kepupusan. Satu ciri menarik pada OPPO A79 5G ini adalah pembesar suara stereo (satu lagi pembesar suara berada di bahagian atas skrin) yang boleh menghasilkan tahap volume sehingga 300% untuk kelantangan yang amat tinggi. Kualiti audionya mula pecah apabila mencapai 200%, namun anda boleh tingkatkan tahap volume jika anda ingin buat gig kecil dalam bilik (cuma jangan ganggu jiran ya!).

    Spesifikasi – Sesuai untuk kegunaan harian sahaja

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO A79 5G:

    •  Skrin IPS LCD berukuran 6.72 inci, resolusi Full HD+ (2400 x 1080), kadar segar semula 90Hz, kecerahan puncak 680 nits
    • Cipset MediaTek Dimensity 6020 5G
    • RAM 8GB, boleh dibesarkan secara virtual
    • Storan dalaman 256GB, boleh dibesarkan dengan microSD
    • Kamera utama 50MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 33W SUPERVOOC
    • Sistem operasi Android 13 dengan antara muka ColorOS 13
    • Port USB-C, bicu audio 3.5mm
    • Pengimbas cap jari sisi

    Jelas sekali, spesfikasi dan prestasi bukanlah kekuatan utama telefon ini kerana ia tidak mempunyai apa-apa spesifikasi yang unik atau istimewa. Ia menggunakan cipset Dimensity 6020 yang dibina dengan nod proses 7nm dan boleh menawarkan prestasi yang memuaskan untuk peranti kelas pertengahan.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin IPS LCD dengan saiz 6.72 inci yang agak standard untuk telefon kelas pertengahan, dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Secara umumnya, saya tidak mempunyai banyak rungutan tentang skrin ini, namun kecerahannya yang mencapai setakat 680 nits sahaja membuatkannya sukar digunakan di bawah cahaya matahari terik.

    Skrin OPPO A79 5G boleh menghasilkan pengalaman tontonan yang menarik, namun kecerahannya agak rendah dan sukar digunakan bawah cahaya matahari terik
    Tahap volume boleh dinaikkan sehingga 300%, namun kualiti audionya mula pecah apabila anda melebihi 100%

    Untuk pasaran Malaysia, OPPO A79 5G hanya ditawarkan dalam satu varian memori sahaja iaitu RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. RAM telefon ini boleh dibesarkan lagi secara maya sebanyak 8GB, menjadikan RAM keseluruhannya kepada 16GB. Pada pendapat saya, itu adalah jumlah RAM yang agak besar untuk telefon ini, mungkin terlalu besar untuk kebanyakan pengguna.

    Mujurlah untuk storan, ia menyokong pembesaran dengan kad memori microSD, jadi jangan risau jika 256GB itu terlalu kecil untuk anda (walaupun saya tidak tahu apakah yang anda ingin buat jika inginkan storan yang lebih besar).

    Daripada segi antara muka ColorOS 13, ia mudah digunakan namun satu kritikan saya adalah ia mempunyai jumlah bloatware yang agak banyak, seperti Netflix, Lazada, Shopee, Booking.com dan banyak lagi. Mujurlah ia masih boleh dinyah-pasang (uninstalled), namun ia adalah agak leceh.

    Rekaan antara muka (UI) ColorOS 13.1 dalam OPPO A79 5G
    UI Game Engine yang diaktifkan secara automatik apabila anda bermain game
    Beberapa fungsi yang ditawarkan dalam Game Engine

    Sewaktu bermain game pula, anda boleh mengakses Game Engine yang menyediakan pelbagai fungsi standard seperti melaraskan prestasi antara Pro Gamer Mode, Balanced Mode dan Power Saving Mode, akses pantas kepada rakaman skrin (screen recording), pembacaan suhu dalaman telefon dan kadar bingkai, mematikan notifikasi atau panggilan telefon serta banyak lagi.

    Pengimbas cap jari yang berada di bahagian sisi pula berfungsi dengan pantas, dan jika anda lebih gemari membuka kunci dengan imbasan muka, ia juga berfungsi dengan baik.

    Prestasi – Memuaskan

    Apa prestasi yang anda harapkan daripada OPPO A79 5G? Semestinya anda tidak harapkan prestasi telefon gaming, dan jika anda letakkan jangkaan anda pada paras yang sepatutnya, anda tidak akan kecewa. Cipset MediaTek Dimensity 6020 5G boleh hasilkan prestasi pantas untuk kebanyakan tugas harian seperti bermesej, melayari media sosial dan menonton video, namun perkara sama tidak boleh dicakap untuk prestasi gaming.

    Keputusan penanda aras Geekbench 6, serta perbandingan dengan telefon lain yang lebih canggih. Jelas sekali, prestasi OPPO A79 5G mempunyai prestasi yang jauh lebih rendah berbanding telefon flagship
    Hasil penanda aras dalam 3DMark, telefon ini boleh mengekalkan prestasi yang stabil walaupun dalam tempoh lama, namun prestasinya tidaklah pantas

    Dalam game-game popular seperti Call of Duty Mobile dan PUBG Mobile, OPPO A79 5G boleh memainkannya dengan baik pada tetapan grafik sederhana, namun untuk game berat seperti Genshin Impact anda perlu letakkan tetapan grafik rendah untuk mendapatkan kadar bingkai yang selesa. Walaupun selepas bermain game selama sejam, bahagian belakang telefon ini tidak pernah rasa terlalu panas.

    Daripada segi penggunaan bateri, kapasiti 5,000mAh dalam telefon ini boleh bertahan selama lebih daripada sehari tanpa sebarang masalah, malah boleh dilanjutkan lagi  sehingga dua hari jika anda aktifkan mod penjimatan kuasa. Untuk penggunaan bateri sewaktu bermain game pula, walaupun saya aktifkan Pro Gamer Mode untuk kekalkan prestasi tinggi pada setiap masa, ia hanya menggunakan 10% untuk bermain game selama sejam.

    Untuk pengecasan pula, OPPO mengatakan pengecasan 33W SuperVOOC boleh mengecas penuh dalam masa 74 minit, namun mengikut penggunaan saya, ia sebenarnya lebih lama sedikit daripada itu iaitu sekitar 90 minit. Ia masih pantas, namun tidak sepantas yang diiklankan. Sekurang-kurangnya, pengecas 33W ini masih disertakan dalam kotak.

    Pengecasan daripada 5% kepada 99% mengambil masa 84 minit (3:06pm hingga 4:30pm)

    Kini beralih kepada prestasi kamera pula. Secara kasar, kualiti gambar dan video yang dihasilkan dengan kamera OPPO A79 5G adalah standard untuk telefon kategori ini. Gambarnya nampak cantik jika diambil dalam situasi cahaya yang terang, manakala jika anda ambil pada waktu malap pula, anda boleh ambil gambar dengan Night Mode untuk kualiti yang lebih jelas dan kurang noise, namun efek overprocessed itu masih boleh nampak.

    Kekurangan yang paling jelas pada kamera telefon ini adalah ketiadaan kamera ultra-lebar dan pada pendapat saya adalah kelemahan utama pada OPPO A79 5G. Terutamanya apabila anda boleh dapatkan telefon jenama lain pada harga serupa yang sudah dilengkapi kamera ultra-lebar.

    Untuk rakaman video, kualitinya nampak sederhana sahaja dan boleh diterima untuk telefon kategori ini. Anda hanya boleh merakam dalam resolusi sehingga 1080p 30fps sahaja. Satu ciri yang saya suka adalah penstabilannya yang boleh menstabilkan rakaman walaupun apabila saya merakam sambil berjalan dan memegang telefon dengan satu tangan. Ini adalah ciri yang bagus untuk telefon kelas pertengahan, jadi jika anda ingin gunakan telefon ini untuk vlog, kamera ini boleh diterima.

    Fungsi kamera yang ditawarkan dalam OPPO A79 5G
    Gambar mod auto
    Gambar mod malam
    Gambar swafoto waktu siang dan malam

    Kesimpulan – Tidak banyak naik taraf daripada A78 5G

    Jika anda berada dalam pasaran untuk membeli sebuah telefon pintar kelas pertengahan, OPPO A79 5G bukanlah pilihan yang salah. Ia sudah memadai untuk 90% daripada kegunaan harian anda, selagi anda tidak ingin memfokuskannya untuk aplikasi berat seperti bermain game. Selain itu, saya juga nasihatkan anda untuk dapatkan warna Dazzling Purple jika anda inginkan telefon yang nampak cantik.

    Warna ungu Dazzling Purple nampak jauh lebih menarik

    Cuma jika anda inginkan beberapa fungsi lain yang tidak ada pada OPPO A79 5G, ada telefon lain yang lebih murah atau dijual pada harga serupa. Sebagai contoh, HONOR 90 Lite (RM1,099) sudah mempunyai skrin AMOLED dan kamera ultra-lebar, manakala OnePlus Nord CE 3 Lite (RM1,099) mempunyai pengecasan yang jauh lebih pantas iaitu 67W. Malah jika anda beli OPPO A78 5G sekali pun, anda tidak akan mengalami banyak perbezaan daripada OPPO A79 5G.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    DNB, Ericsson bekerjasama untuk memajukan perusahaan di Malaysia melalui teknologi 5G

    Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson, sebuah syarikat teknologi komunikasi global yang terkemuka telah mengumumkan secara rasmi rancangan untuk memacu transformasi digital...

    Kempen Jualan Super 5.5 realme: Baucar sehingga RM1,800 di Shopee, Lazada dan TikTok Shop

    Bermula 3 Mei 2024, realme Malaysia bekerjasama dengan Shopee, Lazada dan TikTok Shop mengadakan Kempen Jualan Super 5.5. Dalam tempoh tiga hari,...

    OPPO A38 dan A18 kini mendapat penurunan harga sebanyak RM50

    OPPO Malaysia telah mengumumkan pelarasan harga yang ketara untuk model OPPO A38 dan A18 dengan menawarkan penjimatan sehingga RM50. Harga baharu itu...

    Sony Xperia 1 VI mungkin bawa peningkatan lensa telefoto, Snapdragon 8 Gen 3 dan...

    Sony bersedia untuk mendedahkan telefon pintar andalan terbaru mereka, Xperia 1 VI yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 17 Mei 2024. Walaupun dianggap...

    WhatsApp sedang uji ciri sekat pengguna sementara jika langgar dasar khusus

    WhatsApp memperkenalkan ciri sekatan akaun baharu seperti yang dilihat dalam versi beta Android baru-baru ini. Ciri ini akan sementara menghalang pengguna daripada...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X