fbpx
More

    Ulasan realme GT3 – Telefon dengan pengecasan laju gila

    Setelah hampir setahun menunggu, akhirnya realme Malaysia telah mengumumkan kehadiran telefon pintar pertengahan atas (upper-midrange), realme GT3, untuk pasaran Malaysia bermula Disember 2023 dan dijual pada harga RM2,799. Walaupun agak lambat selepas pelancaran asalnya pada bulan Mac lalu di China (bahkan realme GT5 Pro sudah pun diumumkan di negara tersebut), sekurang-kurangnya rakyat Malaysia boleh menikmati sendiri teknologi pengecasan pantas yang unik pada telefon ini.

    Ciri utama pada realme GT3 adalah kadar pengecasannya yang terlaju dalam dunia untuk telefon pintar komersial pada waktu ini, iaitu SUPERVOOC 240W. Ini adalah lebih dua kali ganda berbanding telefon jenama lain yang sekadar menawarkan kadar pengecasan maksimum sekitar 100W hingga 120W, jadi anda pasti ingin tertanya-tanya tentang waktu pengecasan untuk realme GT3. Jadi tanpa membuang masa, mari kita lihat apa yang menarik tentang telefon ini:

    Rekaan – Pilihan warna yang menarik

    Rekaan belakang realme GT3 nampak agak asas, di mana ia hanya mempunyai tona satu warna yang rata dan tidak mempunyai sebarang corak atau pantulan cahaya. Elemen hiasan yang terdapat pada telefon ini hanyalah logo realme dan teks kecil yang berada di bahagian bawah.

    Permukaannya mempunyai sudahan pusam (matte) yang bermaksud ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan cap jari. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah putih dan jika anda tidak menyukai warna ini, ia turut ditawarkan dalam warna ungu. Secara keseluruhan, rekaan belakang telefon ini memang nampak seperti sebuah telefon kelas pertengahan dan ia bukanlah kekuatan utama padanya.

    Rekaan belakang realme GT3 berwarna putih
    Terdapat juga dalam warna ungu, dan varian ini mempunyai jalur Racing Stripes yang tidak ada pada warna putih

    Jika dilihat pada bahagian atas pula, terdapat segmen besar berwarna hitam yang menempatkan bonggol kamera dan satu tingkap unik yang menampakkan cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang dilengkapkan dalam telefon ini. Sepanjang saya bekerja sebagai pengulas peranti sejak tiga tahun lepas, ini adalah kali pertama saya melihat telefon dengan tingkap lutsinar yang memaparkan cipsetnya, jadi ini adalah agak unik.

    Apa yang menarik tentang tingkap ini adalah ia turut menunjukkan cahaya lampu LED RGB di sekeliling cipset. Anda boleh pilih warna yang ingin dipaparkan pada lampu ini dan ia akan menyala sewaktu anda bermain game, mendapat panggilan telefon, menerima notifikasi atau mengecas telefon.

    Anda boleh lihat cipset Snapdragon 8+ Gen 1 pada bahagian kanan
    Lampu LED akan menyala di sekeliling cipset sewaktu anda melakukan tugas-tugas tertentu
    Anda boleh pilih warna yang diinginkan untuk lampu di belakang

    Ini adalah ciri yang agak menarik perhatian, namun malangnya warnanya tidak boleh berubah secara automatik. Sebagai contoh, jika anda pilih warna biru, ia akan menyala dalam warna biru sahaja. Saya rasa ia akan nampak lebih menarik jika ia boleh bertukar-tukar warna seperti cahaya RGB pada komputer riba gaming atau telefon gaming.

    Bonggol kameranya pula tidak terlalu tebal dan saya rasa tidak akan tersangkut pada kain jika anda ingin masukkan dalam poket atau beg. Ia mempunyai dua bulatan besar, di mana bulatan atas menempatkan lensa kamera utama manakala bulatan bawah pula menempatkan lensa ultra-lebar dan lensa mikroskop.

    Di bahagian sisi, ia mempunyai permukaan yang melengkung seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan pada waktu ini, dengan butang volume di bahagian kiri dan butang kuasa di bahagian kanan.

    Di bahagian bawah pula menempatkan dulang dwi-kad SIM, port USB-C dan pembesar suara. Telefon ini memiliki pembesar suara stereo, bermaksud satu lagi pembesar suara berada di bahagian atas skrin.

    Bahagian sisi yang melengkung sedikit
    Bahagian bawah menempatkan slot dwi-kad SIM, port USB-C dan pembesar suara

    Spesifikasi – Bukan pengecasan saja yang laju, aspek lain pun power juga

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme GT3 di Malaysia:

    • Skrin AMOLED 6.74 inci, resolusi 2772 x 1240, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 1,400 nits, gamut warna P3 100%, sokongan HDR10+
    • Cipset Snapdragon 8+ Gen 1
    • RAM 16GB, boleh dibesarkan secara virtual sebanyak 4GB, 8GB atau 12GB
    • Storan dalaman 1TB
    • Kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX890 + kamera ultra-lebar 8MP + kamera mikroskop 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 4,600mAh
    • Pengecasan pantas SUPERVOOC 240W
    • Sistem penyejukan Stainless Steel Vapor Cooling System Max 2.0
    • Pembesar suara stereo
    • Pilihan warna putih Pulse White dan ungu
    • Pengimbas cap jari dalam skrin
    • Menyokong rangkaian 5G
    • Sistem operasi Android 13 dengan antara muka realme UI 4.0

    Di hadapan, realme GT3 mempunyai skrin yang agak cemerlang, dengan panel AMOLED, resolusi yang padat untuk saiz skrinnya dan kadar segar semula yang agak tinggi iaitu sehingga 144Hz. Ini menjadikannya hampir setaraf dengan telefon pintar gaming dan boleh menghasilkan pengalaman menatal yang amat lancar untuk kegunaan harian.

    Ia boleh menghasilkan imej yang sangat cantik untuk tontonan video dan filem. Sempadan bezel pula nampak nipis dan tidak mengganggu pengalaman tontonan saya. Walaupun dengan bahagian sisi yang melengkung, skrin telefon ini rata sepenuhnya walaupun di bahagian kanan dan kiri, jadi anda boleh menonton setiap butiran filem dengan lebih selesa.

    realme GT3 mempunyai skrin yang sangat cantik dan berkualiti tinggi
    Kadar segar semula boleh ditetapkan sehingga 144Hz, dan anda boleh tetapkan kadar segar semula yang berasingan untuk setiap aplikasi

    Kecerahannya pula agak rendah, di mana ia hanya boleh dinaikkan sehingga 1,100 nits secara manual, atau 1,400 nits sebagai kecerahan maksimum (peak brightness) jika diletakkan dalam tetapan auto. Saya merasakan ia sudah cukup terang untuk digunakan bawah cahaya matahari terik, namun mungkin tidak sama terang dengan telefon andalan seperti Samsung Galaxy S23 Ultra.

    Selain itu, pengimbas cap jari yang berada di bawah skrin juga berfungsi dengan sangat pantas dan saiznya agak besar. Daripada segi audio, kualiti bunyi yang dihasilkan pada pembesar suara stereonya adalah agak jelas dan kuat, namun tidak banyak bezanya dengan telefon pintar lain.

    Satu perkara yang saya harus puji realme Malaysia adalah daripada segi memori. Mereka hanya membawa satu sahaja varian memori untuk pasaran Malaysia iaitu RAM 16GB dan storan 1TB yang sangat besar, namun mereka masih menjual telefon ini pada harga yang sama dengan telefon kategori kelas pertengahan. Kapasiti memori besar ini memberikannya satu lagi daya tarikan yang penting, di samping kadar pengecasan yang amat tinggi.

    RAM boleh dibesarkan sehingga 12GB tambahan

    Jika anda ingin besarkan lagi RAM, ia boleh dibesarkan secara virtual sebanyak 4GB, 8GB atau 12GB, menjadikan RAM keseluruhan boleh capai sehingga 28GB. Mungkin jumlah itu agak keterlaluan untuk RAM, namun memandangkan storan anda sudah pun sebesar 1TB, apa salahnya anda aktifkan terus RAM 28GB itu, bukan?

    Bercakap tentang kadar pengecasan, umum diketahui bahawa telefon ini menyokong kadar pengecasan pantas 240W dan pengecas 240W itu turut disertakan dalam kotak. Malah, saiz pengecas 240W itu tidak banyak beza pun dengan pengecas yang kadarnya jauh lebih rendah. Malang sekali, telefon ini tidak menyokong sebarang pengecasan wayarles. Saya akan ulas prestasi pengecasannya dalam seksyen Prestasi nanti.

    Perbandingan saiz antara pengecas SUPERVOOC 240W (kiri) dengan pengecas SUPERVOOC 100W yang diambil daripada sebuah telefon jenama lain. Walaupun dengan kadar pengecasan yang jauh berbeza, saiz kedua-dua pengecas adalah hampir sama

    Sewaktu ulasan ini ditulis, realme GT3 masih lagi menggunakan sistem operasi Android 13, walaupun Android 14 telah dilancar pada bulan Oktober lalu. Saya tidak pasti bilakah realme GT3 akan menerima kemas kini untuk Android 14, namun saya pasti ia akan ditawarkan dalam masa terdekat. 

    Ia menggunakan sistem antara muka realme UI 4.0 yang mudah untuk digunakan dan tidak banyak beza dengan realme UI sebelum ini. Satu fungsi baharu yang mungkin menarik perhatian anda adalah fungsi untuk mengawal warna lampu LED di belakang. Di samping itu, telefon ini turut menawarkan GT Mode sewaktu bermain game supaya ia boleh mengutamakan prestasi yang tinggi pada setiap masa.

    Antara muka UI dalam realme 4.0
    Anda boleh aktifkan GT Mode sewaktu bermain game untuk meningkatkan prestasi

    Prestasi – Masih laju walaupun dengan cipset 2021!

    Berikut adalah markah untuk ujian penanda aras yang kami lakukan untuk realme GT3:

    Penanda aras Geekbench, dengan perbandingan bersama telefon lain yang setaraf. Jelasnya, ia setaraf dengan telefon yang dilancar pada 2022 atau 2021
    Keputusan dalam penanda aras 3DMark, prestasinya turun sedikit jika dilihat pada “loop” 15 dan 19

    Sepanjang penggunaan realme GT3 untuk ulasan ini, kami tidak pernah mengalami sebarang isu yang ketara walaupun sewaktu membuat tugasan berat seperti bermain game atau menggunakan kamera. Sebagai contoh, kami telah menggunakannya untuk bermain beberapa game terkini dan ia boleh memainkannya dengan tetapan grafik tertinggi.

    Cuma mungkin selepas anda bermain selama lebih daripada setengah jam, saya boleh merasakan kadar bingkai yang turun sedikit namun tidaklah terlalu banyak. Anda boleh lihat pada graf 3D Mark di mana ia menunjukkan prestasi yang turun sedikit dalam minit-minit terakhir sewaktu membuat penanda aras.

    Walaupun cipset Snapdragon 8 Gen 1+ ini adalah cipset yang dilancar pada 2021, ini tidaklah bermakna ia cipset yang ketinggalan. Malah, hampir kebanyakan game terkini boleh dimainkan dengan selesa pada telefon ini tanpa masalah besar dan saya ramalkan ia masih sesuai digunakan untuk beberapa tahun lagi.

    Daripada segi hayat bateri, walaupun dengan kapasiti 4,600mAh iaitu lebih rendah daripada realme GT2 sebelum ini (realme GT2 mempunyai kapasiti 5,000mAh), realme GT3 masih mempunyai tempoh bateri yang cemerlang. Ia boleh bertahan selama sehari tanpa masalah, namun jika anda kerap mengaktifkan GT Mode sewaktu bermain game, ia mungkin tidak cukup untuk bertahan selama sehari. Oleh yang demikian, saya nasihatkan supaya GT Mode itu hanya diaktifkan sewaktu anda bermain game dalam rumah supaya telefon ini senang dicas.

    Saya tidak pasti mengapa realme merendahkan kapasiti baterinya berbanding generasi sebelum ini, namun saya berpendapat ia mungkin bagi melindungi bateri sewaktu mengecas pada kadar 240W.

    Bercakap tentang pengecasannya pula, saya amat kagum dengan SUPERVOOC 240W yang dilengkapi dalam telefon ini. Pengecasan daripada 5% kepada 100% mengambil masa sekitar 10 minit 30 saat sahaja, memang sesuai dengan statusnya sebagai telefon dengan kadar pengecasan terpantas dalam dunia. Perlu diingati bahawa suhu telefon boleh jadi agak panas sewaktu mengecas dengan kadar pantas ini, jadi saya nasihatkan anda supaya tidak menggunakan realme GT3 sewaktu mengecas bagi melindungi kesihatan bateri.

    Pengecasan daripada 2.6% kepada 99% mengambil masa 12 minit (1:07pm hingga 1:19pm)

    Kini mari beralih kepada prestasi fotografi pula. Saya berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan dalam kamera utama dan kamera ultra-lebar, dengan warna yang nampak natural dan kawalan cahaya yang baik. Di samping itu, gambar yang diambil pada waktu malam juga nampak cantik, walaupun dengan noise yang agak jelas, namun ini semua boleh diterima untuk telefon kelas pertengahan.

    Satu ciri menarik pada telefon ini adalah kamera mikroskop 2MP yang boleh mengambil gambar dengan sangat dekat. Ini adalah fungsi yang sangat seronok untuk digunakan, tetapi saya merasakan ini hanyalah gimik yang akan digunakan selama 10 minit pertama sahaja, kemudian anda akan melupakannya.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama dengan zum 3x
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar ultra-lebar
    Gambar ultra-lebar
    Gambar ultra-lebar
    Gambar mod malam
    Gambar mod malam
    Gambar mod malam
    Gambar swafoto
    Gambar swafoto
    Gambar mod mikroskop
    Gambar mod mikroskop

    Di hadapan, kualiti gambar swafotonya nampak memuaskan, walaupun kualitinya kadang-kala agak pudar. Sewaktu mengambil mod potret pun, pemisahan antara subjek dengan latar belakang boleh jadi salah.

    Sewaktu merakam video pula, realme GT3 boleh merakam dalam resolusi sehingga 4K 60fps dengan kamera belakang, manakala kamera hadapan boleh merakam dalam resolusi sehingga 1080p 30fps. Kualiti videonya nampak baik dan ia dilengkapi penstabilan imej elektronik (EIS) yang berfungsi dengan agak baik walaupun merakam sambil berjalan.

    Kesimpulan – Telefon mid-range yang sangat berbaloi!

    realme GT3 akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM2,799. Dengan harga sedemikian, saya rasa ini adalah pakej yang sangat berbaloi. Anda bukan sahaja boleh nikmati kadar pengecasan 240W yang terpantas dalam dunia, malah anda boleh dapatkan storan 1TB, RAM 16GB dan skrin yang sangat cantik.

    Benar, anda mungkin terpaksa redha dengan cipset yang ketinggalan, rekaan yang agak kosong dan kamera taraf pertengahan, tapi itu semua adalah kekurangan yang perlu diterima jika anda ingin nikmati kadar pengecasan pantas itu. Jika anda sekadar pengguna biasa yang ingin melakukan tugas-tugas harian seperti melayari media sosial, bermesej, menonton video dan membaca berita, telefon ini sangat sesuai untuk anda.

    Jika pengecasan 240W bukanlah keutamaan anda, alternatif yang sesuai termasuklah Xiaomi 13T Pro (RM2,499) jika anda inginkan kamera Leica, Nothing Phone (2) (RM2,999) jika anda ingin telefon dengan rekaan unik dan Samsung Galaxy S23 FE (RM2,999) jika anda inginkan kamera telefoto yang boleh zum jauh.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Kempen Jualan Super 5.5 realme: Baucar sehingga RM1,800 di Shopee, Lazada dan TikTok Shop

    Bermula 3 Mei 2024, realme Malaysia bekerjasama dengan Shopee, Lazada dan TikTok Shop mengadakan Kempen Jualan Super 5.5. Dalam tempoh tiga hari,...

    OPPO A38 dan A18 kini mendapat penurunan harga sebanyak RM50

    OPPO Malaysia telah mengumumkan pelarasan harga yang ketara untuk model OPPO A38 dan A18 dengan menawarkan penjimatan sehingga RM50. Harga baharu itu...

    Sony Xperia 1 VI mungkin bawa peningkatan lensa telefoto, Snapdragon 8 Gen 3 dan...

    Sony bersedia untuk mendedahkan telefon pintar andalan terbaru mereka, Xperia 1 VI yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 17 Mei 2024. Walaupun dianggap...

    WhatsApp sedang uji ciri sekat pengguna sementara jika langgar dasar khusus

    WhatsApp memperkenalkan ciri sekatan akaun baharu seperti yang dilihat dalam versi beta Android baru-baru ini. Ciri ini akan sementara menghalang pengguna daripada...

    Laporan IDC dedahkan HONOR menguasai pasaran telefon pintar di China

    Selain berita tentang ketersediaan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR dalam pasaran Malaysia pada 5 Mei nanti, laporan terbaharu daripada International Data Corporation...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X