Pada Januari 2025, Xiaomi telah melancarkan Redmi Watch 5 iaitu sebuah jam tangan pintar yang menawarkan pelbagai ciri menarik dengan harga yang berpatutan. Saya menerima unit berwarna hitam dan berpeluang menguji peranti ini secara mendalam selama 2 minggu. Berikut adalah ulasan terperinci mengenai reka bentuk, ciri, fungsi, pengalaman penggunaan dan integrasinya dengan aplikasi Mi Fitness.
Redmi Watch 5 menampilkan reka bentuk moden dengan skrin AMOLED berukuran 2.07 inci yang merupakan skrin terbesar dalam barisan peranti boleh pakai Xiaomi setakat ini. Dengan bezel nipis hanya 2mm dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 82%, paparannya memberikan pengalaman visual yang besar dan puas untuk mata. Kecerahan maksimum mencapai 1,500 nits memastikan keterbacaan yang jelas walaupun di bawah cahaya matahari terang.


Bingkai jam diperbuat daripada aloi aluminium dengan kemasan matte memberikan sentuhan premium yang dipadankan bersama butang mahkota. Jam ini tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Obsidian Black, Silver Gray dan Lavender Purple yang memberikan pengguna pilihan mengikut citarasa peribadi. Untuk saya, warna hitam sudah mencukupi kerana ciri maskulin dan low profile.
Redmi Watch 5 dilengkapi dengan lebih daripada 140 mod latihan termasuk pengesanan automatik untuk aktiviti seperti berlari, berjalan, berbasikal, eliptikal, mendayung dan lompat tali. Ini memudahkan pengguna untuk memantau pelbagai jenis senaman tanpa perlu menetapkan mod secara manual. Saya cuba untuk melakukan aktiviti seperti bersenam di rumah. Berikut merupakan contoh penjejakan kesihatan yang dihasilkan oleh jam tangan pintar ini.


Dalam sesi latihan teras (Core Training) selama 17 minit, Redmi Watch 5 membuktikan keupayaannya sebagai penjejak kecergasan yang efektif. Sepanjang sesi ini, jam pintar ini mencatat 205 kcal terbakar dengan purata kadar denyutan jantung (BPM) 117 dan kadar maksimum mencapai 138 BPM. Data ini memberi gambaran jelas tentang tahap intensiti senaman dan keberkesanan latihan yang dilakukan.
Selain itu, Redmi Watch 5 berfungsi dengan baik dalam memberikan maklum balas serta pemantauan masa nyata melalui aplikasi Mi Fitness. Setelah sesi tamat, data latihan disegerakkan ke dalam aplikasi yang membolehkan analisis lebih mendalam tentang prestasi latihan. Statistik ini amat berguna untuk melihat perkembangan kecergasan dari semasa ke semasa. Dengan rekaan yang ringan dan selesa, ia tidak mengganggu pergerakan semasa melakukan latihan teras seperti plank, sit-up atau leg raises.






Seterusnya, jam ini menawarkan pemantauan kadar denyutan jantung 24 jam, pengukuran tahap oksigen dalam darah (SpOâ‚‚), pemantauan tahap tekanan dan analisis tidur. Data kesihatan ini membantu pengguna memahami keadaan fizikal mereka dengan lebih baik dan membuat penyesuaian yang diperlukan dalam rutin harian. Ia akan dipaparkan dalam aplikasi Mi Fitness sama seperti Xiaomi Smart Band 9 Pro yang ulas sebelum ini.
Untuk pengalaman yang lebih komprehensif, Redmi Watch 5 boleh diselaraskan dengan aplikasi Mi Fitness. Aplikasi ini membolehkan pengguna melihat data kesihatan dan kecergasan secara terperinci, menetapkan matlamat latihan dan memantau kemajuan dari semasa ke semasa. Selain itu, terdapat lebih daripada 200 muka jam yang boleh dimuat turun melalui aplikasi ini yang membolehkan pengguna menyesuaikan paparan jam mengikut citarasa mereka.




Sekali lagi, untuk paparan, saya menggunakan muka jam yang ringkas dan mudah untuk dibaca apabila berada bawah cahaya matahari. Daripada segi bateri pula, Redmi Watch 5 dilengkapi dengan bateri berkapasiti 550 mAh yang mampu bertahan sehingga 24 hari dalam penggunaan biasa. Ini mengurangkan keperluan untuk kekerapan pengecasan dan menjadikannya sesuai untuk pengguna yang sering berada di luar atau kerap melakukan aktiviti luar.
Pengecasan dilakukan menggunakan kabel magnetik yang disertakan dalam kotak dan proses pengecasan daripada 0% ke 100% mengambil masa sekitar 2 jam sahaja. Lebih menarik, dengan pengecasan pantas selama 15 minit, saya sudah boleh mendapatkan bateri yang cukup untuk beberapa hari penggunaan.



Ini menjadikannya sangat praktikal terutama bagi mereka yang tidak mahu risau tentang kehabisan bateri ketika bersenam atau menjalani aktiviti harian. Ketahanan sehingga 24 hari dalam mod biasa dan 10 hari dengan penggunaan berat termasuk GPS aktif dan pemantauan kesihatan berterusan benar-benar membuktikan kecekapan bateri jam ini.
Semasa menguji Redmi Watch 5, saya mendapati antaramukanya mesra pengguna dengan navigasi yang lancar. Butang mahkota yang boleh diputar dan tekan memudahkan penjelajahan menu terutama apabila tangan basah atau berpeluh. Fungsi panggilan Bluetooth membolehkan saya menjawab panggilan terus dari pergelangan tangan dengan kualiti suara yang jelas. Walaupun begitu, kualiti mikrofon boleh ditingkatkan untuk memastikan komunikasi dua hala yang lebih baik.




Dalam julat harga yang sama, Redmi Watch 5 bersaing dengan Amazfit GTS 2 Mini, HUAWEI Band 8 dan realme Watch 3. Amazfit GTS 2 Mini menampilkan skrin AMOLED 1.55 inci, 70+ mod sukan dan bateri tahan hingga 14 hari sesuai untuk pengguna aktif. HUAWEI Band 8 pula menawarkan skrin AMOLED 1.47 inci, 100+ mod sukan dan ketahanan air 50 meter pada harga lebih mampu milik sekitar RM179.
realme Watch 3 hadir dengan skrin LCD 1.8 inci, 100+ mod sukan dan ketahanan air IP68, namun baterinya hanya bertahan sekitar 7 hari. Redmi Watch 5 mengatasi pesaingnya dengan skrin AMOLED lebih besar, ketahanan bateri hingga 24 hari dan integrasi Mi Fitness yang lebih menyeluruh menjadikannya pilihan terbaik dalam kategori ini.





Secara keseluruhan, Redmi Watch 5 menawarkan gabungan ciri-ciri canggih, reka bentuk elegan dan harga yang berpatutan. Dengan integrasi yang lancar dengan aplikasi Mi Fitness, saya dapat memantau kesihatan dan kecergasan dengan mudah. Ketahanan bateri yang lama dan pelbagai mod latihan menjadikannya pilihan yang ideal bagi mereka yang mencari jam tangan pintar serba boleh tanpa mengorbankan kualiti.
Spesifikasi lengkap Redmi Watch 5:
- Paparan AMOLED segi empat 2.07 inci dengan resolusi 432 × 514 piksel, 324 PPI, kadar segar semula 60Hz dan kecerahan puncak 1500 nits
- Berukuran 47.5mm × 41.1mm × 11.3mm dan berat 33.5g (tanpa tali)
- Bahan rangka: Aloi aluminium
- Bateri berkapasiti 550mAh dengan masa penggunaan sehingga 24 hari
- Penjejakan: Kadar denyutan jantung (bersama oksigen darah), akselerometer, giroskop, cahaya ambien dan kompas elektronik
- Sistem Penentududukan Satelit: GPS, Galileo, Glonass, BeiDou dan QZSS
- Ciri-ciri Lain: Penarafan 5ATM (tahan air sehingga 50 meter), pembesar suara dan mikrofon terbina dalam, panggilan Bluetooth, storan dalaman 164MB, sistem operasi Xiaomi HyperOS
- Keserasian: Menyokong peranti dengan Android 8.0 dan ke atas atau iOS 12.0 dan ke atas
- Warna: Obsidian Black, Silver Gray dan Lavender Purple
- Harga: RM379
Kelebihan: Skrin AMOLED besar dan terang, bateri tahan hingga 24 hari, lebih 140 mod sukan, serta integrasi Mi Fitness yang menyeluruh.
Kekurangan: Kualiti mikrofon boleh ditingkatkan untuk panggilan Bluetooth yang lebih jelas.
Kesimpulan: Redmi Watch 5 menawarkan ciri premium, ketahanan bateri yang luar biasa dan sokongan kecergasan yang komprehensif menjadikannya pilihan terbaik dalam julat harga ini.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.