fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Note20 5G: Kerja dan hiburan jadi lebih menarik dengan S Pen!

    Sejak sekian lama, siri Samsung Galaxy Note terkenal sebagai telefon flagship yang dilengkapi stylus S Pen dan Samsung Galaxy Note20 5G masih mengekalkan ciri ikonik tersebut. Saya telah menunggu lebih setahun untuk telefon pintar ini dan kini saya berpeluang untuk mengulasnya.

    Beberapa minggu lalu kami telah pun mengulas Samsung Galaxy Note20 Ultra, jadi adakah ia banyak berbeza dengan Galaxy Note20? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan: Bergaya namun tidak terlalu menonjol

    Aksesori yang disertakan dalam kotak Galaxy Note20 5G: Alat kad SIM, kabel USB-C, fon telinga dan pengecas

    Sewaktu penulis memegang Samsung Galaxy Note20 5G buat pertama kali, rekaannya yang nampak ringkas membuatkannya tidak menonjol seperti kebanyakan telefon flagship yang lain.

    Namun, rekaan ringkas dengan permukaan kusam (matte) inilah yang memisahkannya dalam pasaran telefon flagship yang sengit. Kesan cap jari sukar ditinggalkan pada permukaannya, anda hanya perlu lap menggunakan tisu untuk memadamnya.

    Apa yang agak mengejutkan penulis adalah permukaan belakang Note20 5G yang dibuat daripada plastik. Semasa penulis mula-mula menggunakannya, penulis tidak sedar bahawa ia adalah plastik. Malah, penulis menyemak spesifikasinya di internet berulang kali bagi memastikan bahawa ia memang dibuat daripada bahan tersebut.

    Penulis mengagumi teknologi Samsung yang boleh membuatkan plastik rasa lebih premium. Walau bagaimanapun, plastik adalah tetap plastik, dan ia mungkin akan mengecewakan anda memandangkan harga telefon ini yang setinggi RM3,899.

    Port USB Type-C, pembesar suara, ruang S Pen
    Kamera hadapan berada di bahagian atas tengah skrin

    Kebaikan badan yang dibuat daripada plastik menjadikan Note20 5G peranti yang ringan. Apabila ciri tersebut digabungkan dengan rekaannya yang nipis, membuatkan telefon ini mudah dipegang dalam tempoh yang lama. Sebagai peranti flagship, kemudahan ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

    Tidak seperti Samsung Galaxy Note20 Ultra, Galaxy Note20 5G mempunyai permukaan skrin rata dan bukannya melengkung di bahagian sisi. Walaupun segolongan pengguna berfikiran bahawa permukaan rata tidak sebagus skrin melengkung, permukaan yang rata sebenarnya memudahkan tulisan S Pen. Apabila menulis, pen tersebut tidak akan terganggu dengan kesan lengkungan seperti yang terdapat pada Note20 Ultra. Pada masa yang sama juga, pelindung skrin untuk skrin rata juga adalah lebih murah.

    Bonggol kamera belakang

    Pada bahagian bucu pula, Galaxy Note20 5G mempunyai sudut yang tidak tajam dan melengkung sedikit. Sudut yang tidak tajam ini agak mengecewakan penulis, namun sekurang-kurangnya jari anda tidak terhiris sewaktu bermain game atau menonton video.

    Butang suis dan kawalan suara berada di sisi kiri, manakala di atas pula terdapat bingkai besi
    Stylus S Pen

    Bonggol kamera di belakang Galaxy Note20 5G adalah lebih nipis berbanding dalam Galaxy Note20 Ultra. Ini membuatkan Note20 5G mudah diletakkan secara rata pada atas meja dan fungsi penulisan pada skrin telefon sewaktu ia diletakkan secara rata juga tidak terganggu.

    Perlu diketahui bahawa bahagian atas bingkai Galaxy Note20 5G dibuat daripada besi. Bahagian ini akan menjadi panas sewaktu penggunaan yang intensif dan tentu akan mempengaruhi pengalaman penggunaannya.

    Spesifikasi: S Pen berfungsi seperti tongkat sakti

    • Skrin Super AMOLED Infinity-O 6.7 inci Full HD+, permukaan rata
    • Cipset Exynos 990
    • RAM 8GB
    • Storan 256GB
    • Kamera utama 12MP + kamera telefoto 64MP + kamera ultra-lebar 12MP | kamera swafoto 10MP
    • 3x zum optikal, 30x zum digital
    • Pengimbas cap jari di bawah skrin, IP68, NFC, port USB Type-C, dwi-pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • WiFi 6, Bluetooth 5.1, hubungan wayarles 5G
    • Bateri 4,300mAh dengan pengecasan pantas 25W

    Malang buat peminat Samsung di Malaysia, Galaxy Note20 5G tidak dilengkapi cipset Snapdragon 865 Plus seperti yang terdapat dalam beberapa negara. Selain itu, telefon ini juga tidak menyokong tambahan memori melalui kad microSD.

    Menyokong dua kad SIM, namun tiada ruang untuk kad microSD

    Daripada segi skrin, penulis sebenarnya berasa agak hairan dengan telefon ini. Anda perlu tahu bahawa Samsung Galaxy Note10 sebelum ini menggunakan skrin Dynamic AMOLED, namun Galaxy Note20 5G hanya menggunakan Super AMOLED dan kadar segar semulanya masih kekal pada 60Hz.

    Walau bagaimanapun, warna yang dihasilkan oleh skrin ini nampak sangat menakjubkan seperti yang boleh dijangkakan daripada Samsung. Penulis amat menikmati skrin ini sewaktu menonton drama televisyen. Sebenarnya jika kedua-dua telefon di atas tidak diletak bersebelahan, sukar untuk melihat perbezaan yang ketara.

    Skrin Super AMOLED+ FHD+ Infinity-O 6.7 inci

    Walaupun skrin Note20 5G tidak mempunyai kadar segar semula 120Hz yang terdapat pada Note20 Ultra, ini tidak menjejaskan pengalaman menggunakan S Pen. Pengalaman menulis dengan S Pen adalah serupa dengan penulisan tangan sebenar, namun rasanya bukan seperti menulis pada kertas. Ia rasa seperti menulis di atas kaca yang licin.

    Geseran yang kecil masih ada, jadi pengalaman menulis masih bagus. Selain itu, terdapat juga masalah di mana skrin tidak mampu mengikut kelajuan tulisan, namun masalah ini tidak akan timbul untuk penulisan biasa dan lakaran ringkas.

    Tiada masalah untuk membuat lakaran ringkas, namun lukisan dengan butiran halus adalah agak sukar

    Samsung Notes dalam Galaxy Note20 5G juga mempunyai fungsi rakaman yang baru. Selain merakam audio, tulisan juga boleh diselaraskan dengan rakaman tersebut agar audio yang spesifik hanya dimainkan bersama tulisan tertentu. Ini memudahkan pengguna untuk merujuk kembali nota yang diambil sewaktu mesyuarat atau kelas.

    Samsung Notes juga boleh digunakan untuk mengimport PDF, gambar dan fail audio untuk disunting. Sebagai contoh, jika anda ingin menggariskan perkara-perkara utama atau menandatangan dalam fail PDF, anda boleh berbuat demikian menggunakan S Pen. Pengguna tidak boleh berbuat demikian dengan aplikasi pihak ketiga atau mencetak dokumen tersebut, namun pengguna masih boleh menandtangan dalam Samsung Notes dan menghantar PDF itu kepada orang lain.

    Anda boleh menambah sebarang nota dan tandatangan pada fail PDF

    Samsung juga bekerjasama dengan Microsoft untuk melancarkan fungsi “Your Phone” yang boleh menyalin data telefon terus kepada komputer atau pun sebaliknya tanpa memerlukan kabel atau hubungan Bluetooth.

    Pada masa yang sama, anda boleh mengawal telefon daripada skrin komputer untuk melakukan pelbagai fungsi termasuklah untuk menggunakan kamera. Pengguna boleh mencari “Your Phone” dalam Microsoft Store dan memasangnya daripada situ.

    Disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penulis percaya kebanyakan orang terpaksa bekerja dari rumah dan hanya keluar apabila membuat tugasan penting. Walaupun penulis amat menyukai amalan bekerja dari rumah, namun ini membuatkan tugas-tugas fotografi agak sukar.

    Setakat ini, sebarang penggambaran hanya dihadkan kepada dalam dan sekitar rumah, dan penulis tidak boleh pergi jauh untuk mengambil gambar. Mujur Galaxy Note20 5G dilengkapi fungsi AR (augmented reality) Grafitti, jadi penulis tidaklah terlalu bosan sewaktu berada di rumah.

    Fungsi AR Grafitti amat menarik digunakan untuk ‘menconteng’ bilik anda

    Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mengimbas kawasan sekeliling dan ikut arahan yang diberikan. Selepas pengimbasan selesai, anda boleh melukis dalam kawasan sekeliling. Sewaktu Samsung melancarkan fungsi ini, penulis berasa pelik dengannya. Penulis menjangkakan ia bukanlah fungsi yang menarik namun selepas penulis mula menggunakannya, penulis amat menggemarinya. Pada waktu ini, S Pen seolah-olah sudah berubah menjadi tongkat sakti, menjadikan bilik yang penulis sudah biasa kepada sesuatu yang amat berlainan. Kini anda boleh hasilkan dunia imaginasi anda sendiri berdasarkan lokasi anda. Di samping itu, efek yang berlainan boleh dilihat daripada pelbagai sudut.

    Galaxy Note20 5G juga menyokong fungsi informasi dinamik, yang boleh menambah efek-efek khas kepada gambar atau video. Pengguna boleh memilih daripada pelbagai efek yang disediakan dan ini tentunya amat dihargai oleh pengguna media sosial. Selepas mengambil gambar dengan Note20 5G, pengguna boleh menggunakan S Pen untuk menulis teks dalam gambar tersebut agar media sosial anda boleh nampak lebih bergaya. S Pen juga boleh mengambil tangkapan skrin (screenshot) dengan mudah.

    Suntingan dengan efek khas yang ditulis menggunakan S Pen

    S Pen turut mempunyai operasi gerakan jari (gesture operation) untuk pelbagai tugas seperti mengambil tangkapan skrin. Walau bagaimanapun, pengguna perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan gerakan-gerakan tersebut dan penulis sendiri sering terlupa tentang gerakan jari.

    S Pen turut boleh digunakan untuk mengawal kamera, seperti menekan shutter daripada jauh tanpa menggunakan pemasa dan juga mengawal fungsi-fungsi kamera.

    Samsung Galaxy Note20 5G dilengkapi tiga kamera di belakang: kamera utama 12MP + kamera telefoto 64MP + kamera ultra-lebar 12MP manakala di hadapan pula adalah kamera 10MP.

    Kamera utama 12MP menyokong autofokus Dual Pixel dan fungsi penstabilan optikal, manakala kamera telefoto pula mempunyai zum optikal 3x dan zum digital 30x. Autofokus Dual Pixel adalah sangat pantas dan tepat, ia boleh mengesan objek sebaik sahaja ia diletakkan di depan kamera.

    Galaxy Note20 menampilkan pelbagai fungsi seperti mod malap, efek kabur, rakaman dengan efek kabur dan mod makanan

    Dibandingkan dengan generasi sebelumnya, selain penambahbaikan dalam fungsi kamera dan video, rakaman audio juga kini mempunyai lebih banyak kawalan. Pengguna boleh memilih untuk merekod audio daripada depan, belakang, seluruh arah (omnidirectional) atau mikrofon luaran USB dan Bluetooth. Daripada segi zum kamera, pengguna juga boleh melaraskan zum dengan lebih halus.

    Selain itu, Galaxy Note20 5G mempunyai mutu bunyi yang baik walaupun pada kelantangan tertinggi. Selepas Dolby Atmos diaktifkan, bunyinya bersifat lebih tiga dimensi dan berlapis.

    Telefon ini juga menyokong pembukaan skrin dengan pengimbasan muka serta cap jari. Kelajuannya adalah amat pantas dan ia boleh dilakukan dengan mengangkat telefon tersebut, namun kadang-kala pengimbas cap jari mungkin tidak boleh membaca cap jari pengguna.

    Prestasi: Bukanlah yang paling canggih, namun masih berkuasa

    Galaxy Note20 5G dilengkapi cipset Exynos 990, RAM 8GB dan storan 256GB. Dalam ujian penanda aras Geekbench 5, ujian teras tunggal merekodkan markah 921 mata manakala untuk multi-teras pula sebanyak 2759 mata. Daripada segi grafik, 3DMark menunjukkan markah 6558 dalam OpenGL ES 3.1, tinggi sedikit berbanding Galaxy Note20 Ultra.

    Jadi bagaimanakah markah ini diterjemahkan ke dalam penggunaan sebenar? Sewaktu penulis bermain game Honor of Kings, penulis tidak mengalami sebarang masalah kecuali sedikit skrin hitam namun itu mungkin masalah pada game itu sendiri.

    Tetapan grafik ultra boleh dihidupkan dan game langsung tidak mempunyai sela masa (lag). Sesi permainan Glory of the King selama 15 minit menggunakan 4-5% daripada cas bateri.

    Sewaktu bermain Original God pula, bingkai telefon menjadi suam namun langsung tidak menjejaskan prestasi game.

    Galaxy Note20 5G mempunyai bateri 4,300mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Pengecasan selama 20 minit akan mengecas sebanyak 40%, manakala pengecasan penuh mengambil masa 1 jam 7 minit. Daripada segi bateri ketahanan bateri, telefon ini menggunakan 15% untuk menonton video selama 1 jam 30 minit. Secara kasar, satu pengecasan penuh boleh bertahan sehingga dua hari.

    Sesi penggambaran

    Kamera Galaxy Note20 5G menghasilkan gambar dengan warna yang terang dan mirip perkara sebenar yang dilihat dengan mata. Selepas mod 64MP dihidupkan, warna gambar akan nampak sama dengan mod biasa, namun gambar tersebut boleh dizum dengan lebih jauh sebelum butirannya jadi kabur.

    Untuk penggambaran pada waktu malap pula, butirannya nampak jelas dengan penghasilan imej yang baik. Penulis sendiri gemar menggunakan mod makanan untuk mengambil gambar makanan yang lebih cantik berbanding mod biasa.

    Gambar-gambar di bawah menunjukkan gambar dengan mod biasa:

    Gambar dengan zum 3x.
    Perbandingan zum, dari atas kiri mengikut pusingan jam: Kamera asal; zum 3x; zum 10; zum 30x

    Gambar yang diambil dengan kamera ultra-lebar:

    Gambar yang diambil pada waktu malap dengan mod biasa:

    Perbandingan mod biasa (kiri) dan Night Mode (kanan)

    Kesimpulan: Bukan sekadar telefon bisnes, penggunaan hiburan pun cemerlang

    Sejak model yang pertama, Samsung sudah pun menentukan hala tuju siri Galaxy Note ke arah pasaran yang jelas: Jika anda inginkan telefon Samsung dengan batang stylus, Galaxy Note adalah satu-satunya pilihan anda. Sesetengah orang mungkin berfikir stylus pihak ketiga boleh digunakan bersama mana-mana telefon pintar, namun fungsi unik yang ditawarkan oleh S Pen memisahkan Galaxy Note daripada telefon yang lain, malah ia turut mempunyai fungsi yang tidak terdapat dalam stylus tablet atau komputer.

    Galaxy Note20 5G telah membawa penambahbaikan yang banyak daripada segi prestasi, hayat bateri dan fotografi. Walau bagaimanapun skrinnya tidak sehebat yang diharapkan, lebih-lebih lagi apabila ia tidak dilengkapi kadar segar semula 120Hz. Perlu difahami bahawa kadar segar semula yang tinggi bukan sahaja memberikan pengalaman yang lebih lancar, malah amat penting untuk kegunaan S Pen.

    Jadi siapakah yang boleh memanfaatkan Galaxy Note20 5G? Walaupun ia dipasarkan sebagai telefon bisnes, penulis berpendapat ia juga boleh digunakan sebagai alat fotografi, hiburan dan juga mencipta pengalaman augmented reality. Jika anda memerlukan stylus untuk membantu dalam tugas harian dan fotografi, Galaxy Note20 5G yang bermula RM3,899 adalah produk sesuai untuk anda.

    Untuk mereka dengan bajet yang cukup dan inginkan fotografi yang lebih bermutu tinggi, hayat bateri yang lama dan kadar segar semula skrin tinggi, anda boleh pilih Galaxy Note20 Ultra berharga RM5,199. Jika stylus tidak menjadi keutamaan anda, ASUS ROG Phone 3 atau OnePlus 8 Pro adalah pilihan yang baik. ROG Phone 3 menawarkan skrin 144Hz dengan Snapdragon 865 Plus, manakala OnePlus 8 Pro mempunyai skrin 120Hz dengan resolusi 2K. iPhone 12 yang baru dilancar juga adalah alternatif yang baik.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dalam memilih telefon pintar dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Diterjemahkan daripada TechNave Chinese

     

    Artikel Terkini

    HUAWEI Watch 4 Pro Space Exploration dilancar: AMOLED LTPO 1.5″ berharga ~RM3,282

    HUAWEI Watch 4 Pro Space Exploration telah diperkenalkan di China dengan pra-jualan sedang dijalankan pada harga 4,999 yuan (~RM3,282) yang akan tersedia...

    Ini aplikasi untuk melancarkan perjalanan anda ketika musim perayaan!

    "Jika kita gagal merancang, maka kita rancang kegagalan" begitulah kata-kata yang boleh diberikan kepada mereka yang ambil lewa tentang pentingnya merancang perjalanan....

    Microsoft dakwa Snapdragon X Elite mampu kalahkan cip siri M Apple

    Microsoft meletakkan harapan yang tinggi kepada prestasi cipset Snapdragon X Elite dan mendakwa bahawa teknologi Rosetta mereka berfungsi lebih baik daripada Apple...

    Fahmi Fadzil: Meta, TikTok komited untuk elakkan penyebaran berita palsu, isu 3R

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah bertemu dengan wakil daripada pihak Meta dan TikTok bagi meningkatkan keselamatan dalam talian untuk golongan kanak-kanak bawah...

    Tesla Malaysia bakal pertontonkan Cybertruck kepada khalayak ramai kelak

    Tesla Cybertruck yang terkenal dengan reka bentuk sudut yang unik dan badan keluli tahan karat telah tiba di Malaysia untuk pameran di...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X