fbpx
More

    Ulasan Xiaomi Mi 10T Pro 5G – Hampir lengkap sebagai sebuah peranti ‘flagship’

    Pada tahun yang lalu, Xiaomi telah melancarkan siri telefon pintar yang menjadi kegemaran orang ramai iaitu siri Xiaomi Mi 9T. Siri telefon tersebut hadir dengan ciri teknologi dan spesifikasi yang menarik dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Kini, setahun lebih kemudian, Xiaomi perkenalkan generasi baru untuk siri Mi 9T iaitu siri Xiaomi Mi 10T. Siri ini hadir dengan dua model telefon iaitu Xiaomi Mi 10T 5G dan juga Mi 10T Pro 5G. Perbezaan yang ada antara kedua-dua model ini hanyalah pada ciri kamera telefonnya dan saiz storannya.

    Dalam ulasan ini, kami akan kongsikan pengalaman kami menggunakan telefon flagship, Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini selama beberapa minggu. Kami juga akan memberitahu anda akan kelebihan dan kelemahan yang ada pada peranti ini serta komen yang menyeluruh berkenaan ciri-cirinya dengan tanda harga yang ditawarkan.

    Reka Bentuk – Besar tetapi istimewa

    Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini hadir dengan reka bentuk yang istimewa terutamanya pada reka bentuk kamera di bahagian belakangnya. Reka bentuk kamera telefon ini adalah berbentuk petak dengan sebuah kamera utama yang gergasi. Kamera utama gergasi ini adalah kamera 108MP dan reka bentuknya dilihat seakan-akan sebuah lensa dari kamera profesional. Di bawah kamera gergasi tersebut, terletak 4 bulatan kecil yang kemas disusun rapi. Pada pendapat kami, ini adalah antara reka bentuk yang istimewa dan menyegarkan pada tahun ini.

    Telefon ini hadir dengan panel belakang kaca Corning Gorilla Glass 5 yang berkilauan apabila cahaya dipancarkan ke atasnya. Bukan panel sahaja, kamera telefon ini juga dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass 5. Namun, cap jari mudah untuk terlekat dan jelas terpampang pada panel belakang telefon ini selepas menggunakannya. Jadi, kami mengesyorkan pengguna supaya terus memakai pelindung silikon yang diberi percuma di dalam kotaknya. Rangka telefon ini diperbuat daripada aluminium, membuatkannya terasa kukuh dan premium apabila dipegang.

    Barang dalam kotak Mi 10T Pro 5G
    Perlindungan silicon yang diberi
    Reka bentuk kamera belakang dengan panel belakang kaca

    Pada bahagian depan pula, telefon ini hadir dengan skrin saiz 6.67 LCD beresolusi FHD+ dengan nisbah skrin 20:9 yang sedikit memanjang. Ya betul. Telefon flagship Xiaomi Mi 10T Pro 5G masih menggunakan skrin jenis LCD yang kualitinya tidak sehebat skrin AMOLED atau Super AMOLED. Namun, skrin LCD telefon ini mempunyai butiran yang banyak dan masih dapat menghasilkan warna yang tepat dan menawan.

    Skrin LCD telefon ini juga istimewa kerana ianya hadir dengan kadar segar semula setinggi 144Hz. Skrin 144Hz ini terasa sangat lancar dan menyedapkan mata sewaktu menggunakannya terutama ketika scrolling di media sosial. Ia juga menyokong ciri paparan ‘AdaptiveSync’ yang akan mengubah kadar segar semula secara automatik untuk menjaga bateri telefon.

    Kami juga merasakan bahawa warna telefon ini dilihat sedikit kekuningan ketika menggunakan mod warna automatik. Namun, jangan risau, anda boleh mengubah warna mengikut kesesuaian mata anda di tetapan telefon ini. Sama seperti panel belakangnya, skrinnya juga hadir dengan perlindungan kaca Corning Gorilla Glass 5

    Skrin 6.67 inci LCD dengan warna yang cantik
    Butang kuasa (sensor cap jari) dengan butang suara
    Port USB-C, pembesar suara serta slot kad SIM

    Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini adalah sebuah telefon yang berat jika dibandingkan dengan telefon flagship yang lain iaitu dengan berat 218g. Tambahan lagi, ianya juga hadir dengan ketebalan sehingga 9.3mm, antara ketebalan telefon yang paling lebar yang kami pernah gunakan setakat ini. Untuk pilihan warna pula, terdapat tiga warna berbeza untuk telefon ini iaitu Cosmic Black (Hitam), Lunar Silver (Perak) dan Aurora Blue (Biru).

    Mi 10T Pro ini juga hadir dengan pengimbas cap jari pada sisi yang dapat membuka telefon ini dengan pantas. Sedikit mengecewakan, telefon ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm yang masih lagi relevan pada tahun ini. Anda juga tidak boleh menambah storan menggunakan kad microSD pada telefon ini.

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Hebat dan sangat menarik

    Xiaomi Mi 10T Pro 5G ditawarkan pada tanda harga RM1,999 untuk RAM 8GB serta storan 256GB. Telefon ini dilengkapi dengan pelbagai daya tarikan yang pastinya akan membuatkan anda puas hati selepas membelinya. Berikut adalah ciri teknologi dan spesifikasi yang ada pada Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini.

    • Berukuran 158.3 x 73.3 x 8.2 mm
    • Berat 218g
    • Cipset Snapdragon 865 5G (7nm), Adreno GPU 650
    • RAM 8GB + Storan 256GB, UFS 3.1
    • Skrin LCD 6.67 inci beresolusi 1080 x 2400 piksel (ratio 20:9) dengan kadar segar semula 144Hz, ciri AdaptiveSync , HDR 10
    • Perlindungan skrin Corning Gorilla Glass 5 , kerangka plastik
    • Kamera utama 108MP f/1.67 + 13MP f/2.4 (ultra lebar) + 5MP f/2.4 (makro)
    • Rakaman video 8K 24/30fps, 4K 30/60fps, slo-mo 1080p 120fps
    • Kamera swafoto 20MP f2.2
    • Pembesar suara stereo dengan Hi-Res Audio
    • Bateri 5,000mAh, sokongan cas pantas 33W
    • Sokongan Bluetooth 5.1, NFC
    • Sensor cap jari bahagian pada sisi
    • Antara muka MIUI 12 atas perisian Android 10

    Antara muka yang digunakan oleh Mi 10T Pro ni dilihat kemas dengan bentuk aplikasi yang mesra pengguna. Peranti ini juga hadir dengan ‘app drawer’ yang memudahkan anda mengatur aplikasi anda. Google Discover juga boleh diakses terus apabila anda meleret ke kiri dari ruang utama peranti ini. Perlu diingat, terdapat juga iklan pada aplikasi asas Xiaomi ini dan jika anda tidak mengemarinya, anda boleh membuangnya dengan beberapa langkah sahaja. Antara muka MIUI 12 ini juga hadir dengan beberapa perisian remeh (bloatware).

    Prestasi – Hebat seperti telefon flagship yang lain

    Xiaomi Mi 10T Pro ini menggunakan cipset flagship Qualcomm tahun ini iaitu Snapdragon 865 dan ianya menyokong 5G. Seperti yang anda tahu, cipset Snapdragon 865 ini mempunyai prestasi yang sangat bagus dan menyakinkan. Sepanjang kami menggunakan telefon ini, penggunaan telefon terasa lancar dan sebarang pembukaan aplikasi dan aktiviti multitasking adalah mudah tanpa sebarang sela masa (lag).

    Telefon ini hadir dengan satu varian memori sahaja iaitu RAM 8GB dengan storan 256GB. Berikut adalah hasil ujian beberapa aplikasi penanda aras yang telah lakukan menggunakan telefon ini.

    Seperti yang anda jangkakan, markah dari penanda aras ini adalah tinggi seperti telefon-telefon flagship yang lain. Jadi, anda tidak perlu risau akan prestasi telefon ini terutamanya untuk penggunaan harian anda.

    Sekiranya anda ingin membeli telefon ini untuk bermain game, anda membuat pilihan yang tepat. Prestasi gaming ini adalah sangat memuaskan dan anda boleh menetapkan tetapan kualiti grafik tinggi dan frame rate tinggi untuk game PUBG Mobile dan COD Mobile. Satu kelebihan peranti ini ialah anda boleh bermain game yang mempunyai tetapan untuk frame rate 90Hz atau lebih kerana skrinnya yang menyokong sehingga kadar segar semula 144Hz.

    Tetapan grafik yang tertinggi untuk PUBG Mobile
    Tetapan frame rate yang tertinggi untuk PUBG Mobile

    Xiaomi Mi 10T Pro ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000mAh yang dapat bertahan lebih dari satu hari penggunaan (bergantung kepada penggunaan anda). Mi 10T Pro ni menyokong pengecasan pantas 33W yang dapat mengecas telefon dari 0% sehingga 100% dalam masa 58 minit sahaja. Pengecas pantas ini diberi sekali di dalam kotak, jadi anda tidak perlu membelinya secara berasingan.

    Untuk kamera pula, Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini hadir dengan tiga kamera pada bahagian belakang dengan sensor cahaya untuk kawalan kecerahan skrin secara automatik. Kamera utamanya adalah bersaiz 108MP, saiz yang sangat besar untuk penghasilan gambar dengan butiran yang banyak. Ia juga hadir dengan kamera ultra lebar 13MP dan juga lensa makro 5MP. Telefon ini tidak hadir dengan kamera telefoto seperti Xiaomi Mi 10 Pro sebelum ini. Pada bahagian depan pula, ia hadir dengan sebuah kamera swafoto 20MP.

    Gambar bunga yang menawan
    Gambar rempeyek
    Gambar barang di pasar raya
    Gambar buaian di taman permainan
    Gambar mesin kopi di kedai
    Gambar mod 108MP

    Gambar-gambar oleh kamera telefon ini dilihat mempunyai warna yang sedikit pekat dengan butiran yang cukup jelas dan cantik. Gambar 108MP dari kamera utamanya mempunyai butiran yang lebih banyak dan dilihat sedikit cerah daripada gambar normal. Untuk kamera ultra lebar pula, gambar yang dihasilkan mempunyai pengawalan cahaya yang baik dan tona warnanya adalah hampir sama dengan gambar dari kamera utamanya. Gambar dari kamera ultra lebar ini mempunyai butiran yang cukup, namun tidak dapat menandingi gambar 108MP.

    Untuk kamera makro pula, ia dapat menghasilkan gambar jarak dekat yang baik namun butirannya adalah lebih rendah berbanding kamera utama dan ultra lebar. Mi 10T Pro ini juga ada ciri mod malam untuk gambar yang mempunyai pengawalan cahaya yang lebih baik dari yang biasa. Walaupun mod malam tidak digunakan, gambar telefon ini juga mempunyai kecerahan yang sangat memuaskan.

    Gambar kamera utama (kiri), gambar kamera ultra lebar (kanan)

    Gambar 2x Zum
    Gambar mod potrait
    Gambar swafoto biasa
    Gambar swafoto potrait
    Gambar waktu malam tanpa mod malam
    Gambar waktu malam dengan mod malam

    Xiaomi Mi 10T Pro ini juga mampu merakam video sehingga kualiti 8K 30fps dan video slo-mo 1080P 120fps. Video 8K yang dihasilkan oleh kamera ini mempunyai butiran dan warna yang cantik namun ianya tidak begitu lancar jika anda merakam video yang mempunyai pergerakan yang banyak. Kamera ini juga datang dengan ciri penstabilan imej yang dapat hasilkan video yang sangat stabil seperti video dari sebuah gimbal.

    Namun, perlu diingat, sekiranya anda mengaktifkan ciri ini, kualiti video akan berubah ke 1080P 30fps secara automatik. Secara menyeluruh, kami berpuas hati dengan hasil gambar dan video oleh kamera Xiaomi Mi 10T Pro ini.

    Video dari Xiaomi Mi 10T Pro dengan ciri ‘Steady Video’
    Video 8K 30fps dari Xiaomi Mi 10T Pro

    Kesimpulan – Sebuah telefon flagship yang istimewa

    Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini adalah sebuah telefon flagship yang menarik dengan pelbagai spesifikasi dan ciri teknologi yang istimewa. Secara menyeluruh, Mi 10T Pro ini sesuai untuk digunakan oleh semua jenis pengguna. Namun, ianya tetap hadir dengan beberapa kekurangan yang mungkin menjadi penghalang dari membeli telefon ini. Mi 10T Pro hadir dengan kualiti skrin LCD sahaja, tidak mempunyai bicu audio 3.5mm dan agak berat terutamanya untuk pengguna wanita yang inginkan telefon yang ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.

    Dengan harga RM1,999, Mi 10T Pro sememangnya adalah sebuah telefon flagship yang sangat berbaloi. Kekuatannya terserlah pada skrin dengan kadar segar semula 144Hz dan kamera utama 108MP yang mampu merakam video 8K. Jika anda seorang gamers, anda juga akan berpuas hati dengan prestasinya secara menyeluruh. Sekiranya anda ingin mencari telefon bawah harga RM2000, selain dari telefon ini, anda juga boleh lihat juga telefon vivo V20 Pro, OnePlus Nord, POCO F2 Pro, iPhone SE 2020 dan Samsung Galaxy A71 untuk ciri-ciri yang tidak hadir pada peranti ini.

    Bagaimana dengan telefon Xiaomi Mi 10T Pro 5G ini? Beritahu kami ulasan anda atau pendapat anda di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri realme P1 Pro 5G dilancar: AMOLED 120Hz, bateri 5,000mAh, cas pantas 45W bermula...

    realme telah memperkenalkan siri telefon pintar kelas pertengahannya yang terbaru di India iaitu siri realme P. Dua produk pertama dalam siri ini...

    Adakah anda masih boleh gunakan telefon atau peranti dengan versi Android lama? Ini yang...

    Pada waktu ini, kebanyakan jenama telefon pintar dengan sistem operasi Android menjanjikan tempoh kemas kini utama (major updates) selama sekurang-kurangnya dua tahun...

    X bakal kenakan ‘yuran kecil’ kepada pengguna baru untuk siarkan kandungan

    Platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, akan memperkenalkan yuran kecil untuk pengguna baharu, meliputi aktiviti seperti menyiarkan kandungan, menyukai,...

    Penerangan lanjut oleh Apple mengenai penghapusan emulator iGBA Game Boy

    Apple dengan pantas mengalih keluar emulator iGBA Game Boy daripada App Store iPhone kerana pelanggaran garis panduan semakan aplikasinya berkenaan isu spam...

    HUAWEI siri-P kini dijenamakan semula kepada ‘Pura’ selepas 12 tahun

    Awal hari ini dalam satu langkah yang mengejutkan, Richard Yu, Ketua Pegawai Eksekutif BG Pengguna di HUAWEI Technologies mengumumkan bahawa syarikat itu...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X