Xiaomi mencipta sejarah dengan melancarkan Xiaomi Pad 7S Pro 12.5 iaitu tablet pertama yang menggunakan cipset Xring O1 yang dibangunkan oleh Xiaomi sendiri. Ia hadir sebulan selepas Xiaomi 15S Pro dilancar sebagai telefon pertama yang dilengkapi cipset tersebut.
Cipset Xring O1 mempunyai prestasi yang boleh bersaing dengan cipset flagship lain seperti MediaTek Dimensity 9400, namun ia tidak setaraf Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Sebelum ini, tablet Xiaomi selalunya menggunakan cipset oleh Qualcomm atau MediaTek.
Tablet ini mempunyai skrin berukuran 12.5 inci dengan nisbah aspek 3:2 dan kadar segar semula sehingga 144Hz. Saiz ini merupakan tengah-tengah antara Pad 7 Pro (11 inci) dan Pad 7 Ultra (14 inci). Walaupun dengan skrin besar, ia mempunyai ketebalan yang nipis iaitu setakat 5.8mm sahaja, manakala beratnya pula sekitar 576 gram.


Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada varian memori 8+256GB, 12+256GB, 12+512GB, 16+512GB atau 16GB+1TB, bateri 10,610mAh dan pengecasan pantas 120W.
Untuk audio, ia mempunyai enam pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos. Ia juga boleh melakukan cerminan skrin (screen mirroring) dengan komputer Windows atau Mac.
Tablet ini boleh digabungkan dengan papan kekunci khas secara magnetik yang boleh menegakkannya dalam pelbagai sudut, serta boleh digunakan dengan aplikasi produktiviti seperti WPS Office.

Xiaomi Pad 7S Pro telah dilancar untuk pasaran China dengan harga bermula CNY3,300 (~RM1,950) untuk varian 8GB+256GB. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






