Xiaomi kini melakukan perubahan besar dalam strategi pengimejan telefon pintarnya dengan menamatkan kerjasama penjenamaan bersama Leica bagi semua model sub-siri SM8850 yang akan datang termasuk Xiaomi 16, 16 Pro, 16 Ultra, 16 Ultra Max, Redmi K90 Pro dan POCO F8 Ultra.
Telefon ini dijangka akan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8 Gen 3 (Elite 2) dan akan bergantung sepenuhnya kepada teknologi pengimejan dalaman Xiaomi. Menurut maklumat daripada Digital Chat Station, peranti masa depan daripada Xiaomi dan Redmi akan menggunakan sistem pengimejan tersendiri atau penalaan warna tersuai yang diinspirasikan daripada siri utama Xiaomi, tanpa logo atau jenama luar seperti Leica.
Langkah ini menunjukkan keyakinan tinggi Xiaomi terhadap keupayaan pasukan penyelidikan dan pembangunan (Research & Development) dalaman mereka, di samping membantu mengurangkan kos pengeluaran. Kerjasama dengan Leica sebelum ini dilaporkan menambah kos sebanyak $3–$5 untuk setiap peranti, selain bayaran pelesenan tambahan.
Wang yang dijimatkan daripada penamatan kerjasama ini akan disalurkan kepada peningkatan perkakasan seperti sensor kamera yang lebih baik, teknologi fotografi berkomputasi yang dipertingkatkan, bateri bersaiz lebih besar dan paparan rata yang lebih moden. Redmi dijangka menerima peningkatan besar dalam keupayaan kameranya yang digambarkan sebagai peningkatan pada “tahap epik.”
Perubahan ini selari dengan trend industri yang lebih luas di mana pengeluar seperti HUAWEI juga telah beralih kepada sistem pengimejan sendiri (XMAGE) selepas berpisah dengan Leica. Dalam masa yang sama, jenama lain seperti vivo, OPPO dan HONOR masih mengekalkan kerjasama dengan Zeiss, Hasselblad dan Harcourt.
Strategi Xiaomi ini membolehkan mereka menawarkan ciri-ciri setaraf andalan pada harga yang lebih kompetitif. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina






