Petronas dan CelcomDigi menggumumkan kerjasamanya selama dua tahun untuk memacu usaha transformasi tekno-digital negara melalui penggunaan 5G. Ia juga bertujuan untuk menyepadukan penyelesaian tenaga bersih ke dalam tawaran perusahaan CelcomDigi bagi memacu penerapannya dalam kalangan perniagaan.
Sebelum ini, Petronas telah pun menerapkan rangkaian persendirian 5G di Terminal Pengegasan Semula di Sungai Udang (RGTSU) untuk meningkatkan kecekapan operasi. Dengan kerjasama CelcomDigi ini, Petronas merancang untuk bina satu infrastruktur rangkaian kukuh bagi memenuhi kenaikan permintaan internet berkelajuan tinggi dalam sektor minyak dan gas.
CelcomDigi juga telah membina rangkaian 4G LTE persendirian di 21 platform luar pesisir untuk pelbagai kes kegunaan digital, sejak Angsi menjadi platform pertama yang dilengkapi rangkaian tersebut pada 2019. Pada masa hadapan, mereka akan menambah baik infrastruktur 5G merentasi bidang perniagaan yang lain untuk merealisasikan matlamat tenaga bersih dalam sektor minyak dan gas.
Selain itu, kedua-dua pihak akan menambah baik infrastruktur kesalinghubungan loji-loji Petronas bagi meningkatkan kecekapan operasinya. Projek terbaharu yang akan dihasilkan melalui kerjasama dua syarikat ini adalah rangkaian 5G persendirian pertama di Kasawari Carbon Capture and Storage (CCS) di Sarawak.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.